in

Astro Lancar 10 Saluran Baharu Untuk Pelanggan Astro HD

Para pelanggan Astro akan menikmati lebih pilihan dengan tambahan 10 saluran baharu yang dilancarkan hari ini. Kesemua 10 saluran baharu yang akan bersiaran bermula 16 November 2014 ini mengandungi lapan buah saluran Berdefinisi Tinggi (HD) dan dua buah saluran Definisi Standard (SD).

Saluran HD Astro bermula dengan hanya empat buah saluran sewaktu dilancarkan pada 2009 sebelum bertambah ke 40 buah saluran. Pelancaran lapan buah saluran HD pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 48 buah saluran HD. Saluran baharu HD yang dilancarkan adalah Fox Family Movies HD (Saluran 434), Fox Action Movies HD (Saluran 430), HITS HD (Saluran 720), FYI HD (Saluran 736), Astro AEC HD (Saluran 306), Astro Shuang Xing HD (Saluran 307), DIVA HD (Saluran 723) dan FOX HD Saluran 724) manakala saluran SD baharu pula adalah ZooMoo (Saluran 619) dan Celestial Classic Movies (Saluran 321).

Launch of Astro's 10 New Channels

[pullquote]Pelanggan Astro Nikmati Lebih Pilihan Dengan Pelancaran 10 Saluran Baharu. Pratonton dibuka kepada pelanggan Astro HD dari 16 November 2014 sehingga 28 Februari 2015. [/pullquote]

Dengan penambahan 10 saluran baharu ini, para pelanggan Astro kini mempunyai pilihan lebih 180 buah saluran yang ditawarkan menerusi pelbagai pakej menarik.

Buat pertama kalinya, Astro berbesar hati menawarkan kandungan video atas permintaan (VOD), Astro Plus, yang mengandungi lebih seribu jam tayangan filem Hollywood, program televisyen dari Amerika Syarikat dalam musim lengkap dan rancangan untuk kanak-kanak. Para pelanggan hanya perlu mempunyai sambungan internet menerusi Rakaman Video Peribadi (PVR) atau Astro on the Go (AOTG) untuk menonton kesemua program kegemaran mengikut keinginan, masa, tempat dan keselesaan mereka sama ada menerusi televisyen, komputer peribadi atau tablet mahupun telefon bimbit.

Astro turut melancarkan dua pakej baharu iaitu Fans Pack (Value Pack 4) dan Astro Super Pack Plus yang menawarkan lebih pilihan dan nilai kepada para pelanggan mengikut pilihan pakej mereka. Fans Pack yang boleh dilanggan dengan bayaran RM99 sebulan, bakal menarik peminat sukan yang gemar tayangan berbentuk HD di samping berpeluang menonton kandungan hiburan terbaik tempatan dan Asia.

Astro Super Pack Plus yang bermula dengan RM178 menawarkan perkhidmatan video atas permintaan terbaharu, Astro Plus, pilihan pek premium seperti Mustika, Dynasty, Astro On Demand, Astro Box Office, Maharaja dan Chakravathy serta saluran seperti A-List dan termasuk akses Astro’s Listen dan perkhidmatan digital Read dan Play. Pelanggan Astro PVR dengan Super Pack akan menikmati pratonton secara percuma kepada semua perkhidmatan dan saluran Astro Super Pack Plus bermula 1 Disember 2014 sehingga hujung Februari 2015!

Sementara itu, yuran HD juga akan dinaikkan dari RM20 ke RM25 bermula 1 Disember 2014. Ini merupakan kenaikan pertama yuran perkhidmatan HD sejak diperkenalkan pada 2009. Bermula 16 November 2014 sehingga penghujung Februari 2015, kesemua pelanggan Astro HD akan menikmati pratonton percuma untuk kesemua saluran HD dan SD baharu termasuk capaian kepada Astro on the Go bermula 1 Disember 2014 sehingga penghujung Februari 2015.

Henry Tan, Ketua Pegawai Operasi, Astro berkata:

“Para pelanggan sentiasa memberikan inspirasi kepada kami untuk terus melakukan pembaharuan. Kami sentiasa konsisten membawakan pelbagai program terbaik dan terkini dari dalam dan luar negara, mengurangkan tempoh menunggu, serta menjadi peneraju siaran digital serta perkhidmatan inovatif seperti HD, 3D, PVR, VOD dan Astro on the Go. Kami amat percaya bahawa kejayaan kami bergantung kepada pilihan para pelanggan yang lebih terbuka.

Kami juga sedar bahawa perubahan perlu untuk terus maju. Bagi menjaga para pelanggan sedia ada dan menarik lebih ramai untuk melanggan Astro, kami perlu terus inovatif dan meningkatkan mutu perkhidmatan menerusi kandungan program yang hebat agar tawaran yang diberikan berbaloi dan memudahkan para pelanggan menonton kandungan kegemaran mereka pada setiap masa dan lokasi yang mereka inginkan.”

Sehingga ke hari ini, perkhidmatan kami sudah dinikmati 4.2 juta isi rumah dan 16 juta penonton serata dunia. Astro kini merupakan pilihan lebih 60 peratus rakyat Malaysia yang memperuntukkan dua pertiga daripada masa mereka untuk menonton rancangan Astro. Dalam ruang digital, kami mencapai 1.2 juta muat turun menerusi aplikasi AOTG dengan lebih 500,000 pengguna berdaftar yang menikmati lebih 30 buah saluran dan 6,000 jam kandungan video atas permintaan pada bila-bila masa dan di mana-mana yang mereka suka!

Astro menawarkan rangkaian terluas saluran HD di Malaysia dengan kandungan yang terbaik di peringkat antarabangsa, serantau dan tempatan seperti Sukan, Filem, Drama, Dokumentari, Berita, Gaya Hidup, Komedi dan Hiburan untuk disesuaikan dengan kepelbagaian bangsa, etnik dan bahasa di Malaysia.

Joon Lee, Pengarah Urusan Hong Kong & Southeast Asia di FOX International Channels berkata, “Kami amat teruja untuk menambah lagi saluran HD yang sedia stabil dan kukuh dan berharap agar dapat terus menghiburkan para peminat dan pencinta televisyen di seluruh negara menerusi penjenamaan FOX, FOX Family Movies dan FOX Action Movies.”

Avi Himatsinghani, Pengasas & CEO Rewind Networks berkata, “HITS membawa antara kandungan televisyen terbaik yang pernah dicipta, segalanya di satu tempat. Kami amat berbangga kerana pelanggan Astro kini mempunyai peluang untuk menonton program televisyen terbaik kegemaran mereka untuk kali pertamanya dalam kualiti HD dan berharap HITS HD akan menjadi saluran kegemaran di kalangan penonton Malaysia”.

“Pelancaran DIVA HD di Astro menunjukkan komitmen berterusan NBCUniversal untuk menayangkan program terbaik kami kepada para penonton di negara ini. Kerjasama yang dijalin dengan Astro ini menunjukkan bahawa kami mampu untuk mencipta pengalaman paling diingati dengan hasil produksi Diva yang hebat dan tayangan hari sama dengan tayangan di Amerika Syarikat dalam bentuk HD,” kata Christine Fellowes, Pengarah Urusan, Asia-Pacific, Universal Networks International.

“Misi FYI adalah untuk menginspirasi kreativiti peribadi yang memberi nilai kepada kehidupan” kata Michele Schofield, Naib Presiden Kanan, Program & Pemasaran A+E Networks Asia. Kami menonjolkan gaya hidup dengan cara yang lebih peribadi dengan memfokuskan kepada bidang fesyen, makanan dan reka bentuk dalaman serta minat masyarakat.”

David Haslingden, CEO dan Pengasas ZooMoo berkata: “Kami amat berbesar hati kerana kesudian Astro untuk membawakan ZooMoo, sebagai peneraju saluran interaktif sepenuhnya untuk pra-sekolah untuk ditayangkan di Malaysia. Setiap ibu bapa maklum, bahawa kanak-kanak mempunyai hubungan dan rasa kasih sayang semulajadi terhadap haiwan dan Zoo merupakan saluran terbaik untuk membawa kanak-kanak menyelusuri keajaiban kehidupan haiwan ini.”

“Celestial Classic Movies menjanjikan filem aksi dan klasik popular Kung Fu dari arkib Shaw untuk menghiburkan penonton di Malaysia,” kata Ofanny Choi, Naib Presiden Eksekutif, TV Networks, Celestial Tiger Entertainment.

Henry Tan, COO Astro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Milan To Host The 2015 MTV EMA

Riezman Khuzaimi Nafi Bergaduh Dengan Afiq Muiz