Astro Malaysia Holdings Berhad (“Astro”) dan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd (“Karangkraf”) hari ini menandatangani satu Memorandum Persefahaman (“MoU”) yang membentuk sebuah syarikat usahasama (“JV Co”) untuk penghasilan dan penjanaan keuntungan menerusi pemilikan kandungan di Malaysia dan rantau Nusantara.
Astro & Karangkraf Jalin Kerjasama Strategik Untuk Menghasilkan Dan Mengedarkan Kandungan IP Di Semua Platform
Dato’ Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro berkata, “Matlamat utama kolaborasi ini, kami menyasarkan penghasilan bersama kandungan harta-harta intelek atau IP yang komprehensif meliputi segmen Melayu dan Islamik. Trend penggunaan media digital pada masa kini, baik berbayar mahupun menerusi iklan, telah meluaskan jangkauan Astro terhadap para pelanggannya di Malaysia daripada isi rumah ke segmen individu dengan sangat ketara. Menerusi misi utama untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggan yang mempunyai latar belakang berbeza, daripada teater ke televisyen, sehinggalah ke digital dan perdagangan, kami memerlukan IP yang pelbagai untuk memenuhi kehendak setiap segmen pengguna. Pemilikan IP ini membolehkan kami untuk memaksimumkan potensi aliran masuk kewangan daripada pelesenan, Adex, langganan dan perdagangan, yang mana pada masa yang sama juga memberi peranan jangka masa panjang yang mampan kepada kami dalam rantaian media.
Kami juga mengambil kira permintaan yang semakin meningkat terhadap kandungan vernakular yang segar dan berbeza di seluruh rantau Nusantara, sebahagiannya disebabkan oleh percambahan platform over-the-top atau OTT terus ke pengguna. Dalam usaha untuk meletakkan Astro sebagai pemain utama di ruang lingkup industri ini, kami mengukuhkan pelaburan kami menerusi kandungan yang menggunakan bahasa perantaraan yang sama (vernakular utama) dan harta intelek (IP) ASEAN, untuk menjadi lebih relevan kepada penonton serantau.
Kumpulan Media Karangkraf merupakan satu kuasa besar dalam industri kreatif terutamanya di kalangan komuniti berbahasa Melayu menerusi senarai aset media yang dimilikinya, dan hari ini, kami amat berbangga mengumumkan usahasama yang dijalinkan dengan Karangkraf bagi membangunkan jenama dan seleksi kandungan IP yang hebat bersama-sama. Usahasama ini menyatukan dua entiti yang membawa misi yang sama dengan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan masing-masing untuk membuka peluang perniagaan baru bagi mencipta harta-harta intelek Nusantara yang boleh digunapakai bukan sahaja di Malaysia malahan memiliki nilai komersial yang tinggi untuk dibawa menjelajah ke negara-negara serantau.”
Dato’ Hussamuddin Hj Yaacub, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karangkraf berkata, “Kumpulan Media Karangkraf amat teruja untuk menjalinkan kerjasama yang lebih rapat lagi dengan Astro, terutamanya setelah terlibat dalam pelbagai kempen sebelum ini, seperti Projek Ngaji, Quran Hour dan sebagainya. Dengan gabungan jumlah jangkauan yang memberangsangkan, kami merasakan bahawa Astro merupakan rakan strategik yang paling tepat untuk membantu memperluaskan kandungan harta intelek kami di pelbagai platform seperti televisyen, OTT dan di ruang digital di Malaysia dan di negera-negara yang berikutnya. Usahasama ini akan membolehkan kami memiliki ekuiti dalam penguasaan kandungan Melayu dengan aspirasi serantau serta mempelbagaikan perniagaan baru seterusnya memacu inovasi digital.”
Jalinan usahasama yang memberi fokus ke atas penghasilan dan penjanaan keuntungan menerusi pemilikan kandungan di Malaysia dan Nusantara
Hari ini, industri kandungan di rantau Nusantara menguasai pasaran dengan mencatatkan nilai RM48 bilion, yang mana menjadikan vernakular tempatan dan kandungan IP dari negara-negara ASEAN sebagai sebuah kandungan premium yang baru. Astro dan Karangkraf berharap kerjasama ini akan saling melengkapi kekuatan masing-masing dalam menghasilkan sejumlah kandungan IP yang berkualiti serta pada masa yang sama memupuk budaya inovasi dan memiliki nilai yang tinggi bagi tujuan pengedaran untuk memenuhi kehendak industri yang semakin meningkat.
Kerjasama antara Astro dan Karangkraf adalah selaras dengan strategi utama Astro dalam menguasai pemilikan bersama kandungan IP utama yang mempunyai daya tarikan serantau, dan memenuhi aspirasi syarikat untuk menjadi pembekal, pengumpul dan pengedar utama kandungan di Asean. Hari ini, Astro telah menguasai sebanyak 71% daripada keseluruhan isi rumah di Malaysia, merangkumi 21 juta individu di semua platform paparan, di rumah, secara langsung, di aplikasi mudah alih ataupun di on demand manakala Karangkraf pula memiliki 15 juta pembaca merentasi penerbitan bercetak dan aset digital mereka.