in

Astro Bella Tawar Ujian Saringan Pap Smear Percuma

Sempena bulan kesedaran kanser serviks Januari ini, Astro Bella (Saluran 133) dan Persatuan Sokongan Kanser Serviks Malaysia (SEROJA) akan bergabung tenaga untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia berkenaan kanser serviks yang cukup digeruni kaum Hawa kerana dikategorikan dalam penyakit berisiko tinggi dan kanser kedua membunuh wanita Malaysia selepas kanser payu dara.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2013 menunjukkan kira-kira 17.9 daripada 100,000 wanita dalam kalangan usia reproduktif di negara ini berisiko mengalami kanser serviks setiap tahun.

Astro Bella Dan SEROJA Jalin Kerjasama Tingkat Kesedaran Kanser Serviks

[dropcap]J[/dropcap]usteru, sebagai sebuah saluran yang khusus memenuhi cita rasa penonton wanita, Astro Bella akan melancarkan kempen Kesedaran Kanser Serviks sepanjang bulan Januari bermula 4 Januari 2016 hingga 31 Januari 2016.

Menurut Pengurus Saluran Astro Bella, Natasha Hashim,

“Saya mewakili pihak Astro Bella amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pihak SEROJA untuk menjayakan kempen kesedaran sepanjang bulan ini. Ia merupakan satu usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap kanser serviks dan mencipta satu semangat baharu mengenai pentingnya menjaga kesihatan memandangkan masyarakat pada hari ini berkejar dengan waktu kerana sibuk dengan urusan harian.

Kempen kesedaran ini juga merupakan inisiatif kami selepas melihat beberapa kejayaan program yang dianjurkan Astro Bella seperti Astro Bella Runs With Makna sempena Kempen Barah Payu Dara, Astro Bella Malaysia Women Marathon 5KM Run 2015 sempena hari Wanita Sedunia, Astro Bella Untukmu sempena Hari Ibu dan penganjuran Astro Bella Pink Charity Ride 2015 sempena Barah Payu Dara yang berlangsung Oktober tahun lalu.”

Sepanjang kempen ini, para pelanggan Mustika Pek dapat mengetahui lebih lanjut mengenai kanser serviks atau lebih dikenali sebagai barah pangkal rahim di Astro Bella dengan menekan butang merah di alat kawalan jauh Astro. Ini adalah antara inisiatif Astro Bella untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kanser serviks yang menjadi ketakutan wanita hari ini.

Selari dengan kempen itu, Astro Bella akan turut menyampaikan pesanan khidmat masyarakat dengan menyiarkan klip-klip temu bual bersama rakyat Malaysia yang terdiri daripada para doktor, penghidap kanser, bekas penyakit kanser dan juga individu yang kehilangan insan tersayang akibat penyakit kanser serviks sepanjang bulan Januari ini.

Manakala di pengakhiran kempen ini, Astro Bella akan menganjurkan satu seminar khas yang memberi fokus mengenai kanser serviks di Pantai Hospital Kuala Lumpur pada 30 Januari 2016. Lebih istimewa, 100 pendaftar terawal berpeluang untuk menjalani ujian saringan Pap Smear secara percuma.

Untuk mengikuti taklimat dan berpeluang menjalani ujian saringan secara percuma kepada 100 pendaftar terawal ini, penonton hanya perlu mengesahkan (RSVP) kedatangan dengan emelkan maklumat peribadi (Nama, No.Kad Pengenalan dan No.Telefon) di [email protected] sebelum 20 Januari 2016.

Dalam pada itu, Astro Bella juga turut berkerjasama dengan stesen radio Sinar FM yang bertindak sebagai radio rasmi dengan memberikan 50 ujian saringan pap smear percuma kepada persatuan ibu tunggal terpilih.

“Sejak dari dulu sehingga sekarang, golongan wanita memainkan peranan penting dalam masyarakat. Sumbangan mereka tidak ternilai dalam sektor pekerjaan, kekeluargaan, pendidikan tanpa sempadan dan sebagainya.

Justeru kami begitu berbesar hati untuk menganjurkan satu seminar khas untuk para wanita bagi berkongsi akan kemudaratan kanser serviks dan dalam masa yang sama turut memberi peluang kepada 100 pendaftar pertama untuk menjalani saringan pap smear. Pemeriksaan ini cukup penting kerana ia mampu menyelamatkan nyawa anda.

Diharapkan semua aktiviti dan maklumat yang disediakan ini akan menjadi satu batu asas dalam membentuk kesedaran dan pendidikan untuk orang ramai terhadap usaha pencegahan kanser serviks yang kami jalankan sepanjang bulan ini.” jelas Natasha.

Satu usaha yang murni dan bagus. Tahniah Astro!

Untitled

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Filem THE MERMAID Arahan Stephen Chow

Drama Terbaik SHE WAS PRETTY Ditayangkan di Saluran Oh!K