in

Astro Bella Kini Berwajah Baru

Tampil dengan empat slot utama Oktober ini demi memenuhi keperluan wanita masa kini. Mulai hari ini, Astro Bella tampil dengan konsep dan wajah baru dengan pengenalan empat slot terkini yang berunsurkan gaya hidup iaitu SUUDU, MICASA, SIHAT dan PASPORT demi memenuhi kehendak pelanggan dan bergerak seiring dengan peredaran masa yang sentiasa menginginkan pembaharuan. Keempat – empat slot ini akan bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 9 pagi bagi slot SUUDU, jam 10 pagi bagi slot MICASA, jam 5 petang bagi slot SIHAT dan jam 6 petang bagi slot PASPORT.

Objektif utama saluran Astro Bella melalui fasa pembaharuan ini adalah untuk menambahbaik pakej Mustika yang sedia ada. Pengenalan slot-slot baharu di saluran Astro Bella ini memberi nilai tambah kepada para penonton. Dengan cara ini, Astro berharap ia mampu menarik lebih ramai pelanggan baru mahupun sedia ada untuk melanggani pakej Mustika yang didatangkan dengan pek Astro Bella, Astro Citra dan Astro Warna.

Bersesuaian dengan saluran Astro Bella yang menyasarkan golongan wanita berumur 25 tahun keatas, program yang terkandung di dalam setiap slot menepati gaya hidup masa kini golongan tersebut di mana rata-rata mereka berkerjaya dan berkeluarga, mementingkan kesihatan serta gemar mengembara.

Menarik lagi, selain program tempatan, terdapat juga banyak program yang didatangkan khas dari pelbagai negara seperti Indonesia, Afrika, Amerika Syarikat, Kanada, India, Singapura dan sebagainya yang mana akan disiarkan dengan sarikata Bahasa Melayu.

Pengurus Saluran Astro Bella, Natasha Hashim berkata,

“Rancangan-rancangan yang disiarkan di saluran Astro Bella perlu diperbaharui dan dikemaskini dari tahun ke tahun untuk memastikan konsep dan imej sesebuah rancangan itu terus berkembang, segar dan lebih mantap. Pengenalan empat slot baharu ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek penting terutamanya dari segi memenuhi kehendak penonton yang hari ini rata-rata mementingkan kandungan editorial yang mantap, kekuatan visual dan montaj, interaktif sosial dan keunikkan sesebuah rancangan. Slot-slot baharu ini bakal menawarkan pilihan yang lebih pelbagai kepada para penonton sebagai tambahan kepada siri-siri telenovela yang sedia ada.

Kami yakin dengan wajah dan imej baharu ini, ia akan menarik lebih ramai penonton terutamanya golongan wanita yang berumur 25 tahun ke atas yang menyukai cabaran dan aktiviti percutian, mengamalkan gaya hidup sihat, gemar memasak dan minat mendekorasi untuk menontonnya.”

Slot SUUDU akan memaparkan seleksi program-program masakan terbaik dari seluruh dunia. Uniknya, program-program masakan tersebut memaparkan cara memasak yang mudah dan pantas, sesuai bagi wanita yang berkeluarga dan berkerjaya seperti Ikon Kuliner Nusantara, sebuah program daripada produksi Indonesia, Food In A Flash sebuah program daripada produksi Afrika, Peggy Kitchen Cures sebuah program daripada produksi Amerika Syarikat dan banyak lagi.

Slot MICASA pula menawarkan seleksi program-program dekorasi terbaik dari seluruh dunia. Program di bawah slot MICASA akan memperlihatkan dekorasi dan pengubahsuaian terkini rumah, taman dan sebagainya serta tips-tips daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang ini.

Apa yang menariknya, setiap dekorasi yang dipertontonkan amat mudah untuk dilakukan dan diaplikasikan sendiri (format DIY) oleh golongan wanita.

Seterusnya, seleksi program-program kesihatan dan kecergasan terbaik dari seluruh dunia boleh ditonton melalui slot SIHAT. Slot ini selari dengan trend masa kini yang mana golongan wanita dilihat mula menunjukkan minat dalam penjagaan kesihatan.

Justeru itu, selain daripada program-program kesihatan dari luar negara, slot SIHAT telah turut memperkenalkan program kecergasan terbitan Astro Bella iaitu sebuah program realiti fitnes pertama di Malaysia, Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari yang telahpun memulakan siarannya pada Ahad, 4 Oktober lalu.

Program ini mempertaruhkan 12 orang peserta yang bersaing untuk merebut gelaran Juara dan bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 20,000.00, trofi beserta hadiah-hadiah menarik yang lain. Yang paling utama, para peserta program ini akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan cabaran kecergasan untuk mengurangkan berat badan dalam jangka masa 30 hari.

Slot terakhir iaitu slot PASPORT bakal menyajikan seleksi program-program travelog terbaik dari seluruh dunia. Bagi yang gemar meneroka negara orang, mempunyai minat untuk mengenali budaya luar dan ingin mencuba sesuatu yang berbeza, program di slot PASPORT ini merupakan pilihan tontonan yang tepat, menarik dan tidak harus dilepaskan.

Hal ini kerana, program travelog yang dibawakan dari luar negara seperti Kanada, India, Indonesia dan banyak lagi memberi pengalaman pengembaraan yang berbeza dan diyakini mampu memberi inspirasi kepada para penonton dalam merancang percutian mereka.

Mengulas mengenai keempat-empat slot yang diperkenalkan, Natasha berkata,

“Astro Bella sentiasa peka dengan kehendak wanita masa kini. Oleh itu, kami berusaha untuk memenuhinya dengan memperkenalkan program-program yang dapat menepati kehendak mereka ini terutamanya yang rata-rata berkerjaya dan sentiasa mempunyai jadual harian yang padat.

Adalah penting untuk kami memastikan pemilihan setiap program dilakukan dengan teliti agar matlamat kami untuk memenuhi kehendek golongan wanita selari dengan peredaran zaman dan objektif kami memperkenalkan empat slot baru di saluran Astro Bella iaitu SUUDU, MICASA, SIHAT dan PASPORT tercapai. Kami yakin, kesemua program yang dipertontonkan mampu memberi kepuasan dan manfaat kepada golongan wanita.”

Astro Bella yang dilancarkan pada bulan Mac 2012 merupakan salah satu saluran di bawah pakej Mustika selain Astro Warna dan Astro Citra dan bersiaran di saluran 133. Ia merupakan salah satu saluran Astro yang memberi keutamaan kepada rancangan-rancangan berbentuk telenovela dan drama-drama yang berunsur melodramatik.

Kini, dengan wajah dan imej baharu, Astro Bella yakin dengan misi utama untuk mempelopori industri penyiaran tanahair apabila menjadi saluran pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada gaya hidup terkini khas untuk para wanita.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Malaysia The Most Bored Nation?

Konsert Air Supply World Tour Final Finale di Malaysia