SHAH ALAM: Jenazah Ustaz Asri telah selamat dikebumikan pada jam 9.00 malam ini di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21. Sebelum itu, jenazah telah dibawa ke rumahnya di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, di sini.
Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar. Antara rakan-rakan dan kaum keluarga yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah Asri.
Menurut salah seorang anggota Rabbani, Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, arwah jatuh pengsan semasa raptai dalam sidang media program ‘Syahadah’ di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Balu arwah, Haliza Shahadan hadir di hospital beserta dengan beberapa rakan artis seperti penyanyi Nash, Yasin Sulaiman dan Mas Omar. Suasana sedih menyelubungi rumah arwah di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam.
Selain itu, lebih 100 orang melibatkan rakan terdekat dan ahli keluarga arwah turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.
Dua hari lalu, Asri bersama anggota Rabbani yang lain menghadiri majlis sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti.
Rabbani akan mengadakan persembahan sepanjang ramadan di Hotel Singgahsana sambil menghiburkan para pengunjung yang hadir serta menikmati hidangan yang bertemakan ‘Citarasa Ramadan 1 Malaysia’ bermula 1 Ramadan nanti.
Rabbani telah bekerjasama dengan Hotel Singgahsana selama 18 tahun dan sejak itu Rabbani telah menghiburkan para pengunjung hotel tersebut yang datang untuk berbuka puasa dengan persembahan ‘live’ mereka.
Tinggal kenangan..Asri (dua dari kiri, bawah) ketika bersama anggota Rabbani yang lain pada dua hari lalu ketika majlis sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti. -foto The Star
Dalam sidang media itu, Asri berkata mengadakan persembahan di Hotel Singgahsana merupakan satu ibadah bagi dirinya. Amy Search juga hadir sebagai penyanyi yang pernah berduet dengan arwah.
“Saya rasa ibadah puasa saya tidak lengkap jika tidak mengadakan persembahan di hotel ini. Orang kata bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja, banyakkan ibadah, tetapi pada saya ini merupakan ibadah saya,” katanya.
Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor. Selain seorang balu, Haliza, 38, arwah turut meninggalkan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4. Asri menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.
Mas Omar turut hadir.
Sebelum Rabbani, kumpulan itu dikenali sebagai Nada Murni yang ditubuhkan sekitar tahun 80-an. Asri juga pernah menyanyi secara duet dengan beberapa penyanyi terkenal seperti Mawi menerusi lagu ‘Saksi’ dan ‘Mentari Merah Di Ufuk Timur’ nyanyian bersama Amy Search.
Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi sekaligus memberikan kejayaan kepada Rabbani dan industri muzik nasyid.
Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapan tahun berturut-turut.
Yasin antara artis yang hadir.
Tidak kurang juga anugerah yang dicapai di Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti Album Nasyid Terbaik 2001 (Iqrar – 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).
Revolusi muzik nasyid yang dilalui Rabbani selama berjuang dalam industri hiburan seringkali mencetus pelbagai perdebatan. Ada yang berpendapat, lagu-lagu nasyid nyanyian Rabbani tersasar daripada landasan muzik nasyid yang sedia ada.
Sebelum ini, kumpulan ini pernah merakamkan lagu Pergi Tak Kembali ciptaan KRU berteraskan genre pop yang mendakwa Rabbani seperti meminggirkan objektif utama lagu nasyid. Antara anggota kumpulan Raihan yang hadir melawat jenazah Asri.
Namun,kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini tampil dengan konsep yang tersendiri.
Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti ‘ARAH Dari Mana… Ke Mana…’ (1997), ‘Pergi Tak Kembali’ (1999), ‘Intifada’ (2000), ‘Yalla Beena’ (2004) dan yang terbaru, ‘Nostalgia Nada Murni’.
Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik, melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era yang terkini. Juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.
Disamping itu ditampilkan dengan adunan muzik ala melayu timur dan digabungkan dengan adunan muzik timur tengah. Dan kini Rabbani muncul pula dengan konsep yang lebih global dalam bidang muzik tanpa mengurangkan kualiti mesej yang akan disampaikan dengan menampilkan world music didalam lagu-lagu terbarunya.
Ini adalah untuk menjadikan irama nasyid ini akan terus segar dari semasa ke semasa dan terus diminati oleh semua golongan tanpa mengira had bangsa dan negara. Bagaimanapun dalam menyampaikan irama nasyid ini mesej adalah yang paling utama sekali dengan berpersepsikan bentuk nasihat, dakwah dan panduan.
Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit pendidikan secara tidak langsung itu berjaya masuk ke ruang fikiran sambil berhibur. Lantaran itu juga boleh mendorong sikap kita ke arah kebaikan. [sumber]
Ini pula dipetik dari Berita Harian:
KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim (gambar), meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai (PMC), Bangsar, di sini akibat sakit jantung, pagi semalam. Allahyarham rebah kira-kira jam 10.30 pagi ketika raptai pelancaran program Syahadah musim kelima, di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum dihantar ke PMC untuk rawatan.
Adik iparnya, Adha Buyong, berkata Mohd Asri, 40, dan berasal dari Klang, Selangor menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.
“Saya menerima panggilan memaklumkan abang ipar saya pengsan. Pagi tadi (semalam) memang abang Asri mengadu tidak sihat dan muntah-muntah, namun dia tetap menyertai raptai itu,” katanya ketika ditemui di PMC.
Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Jannah Shahdan, 38, dan enam anak, Mohd Nasimuddin, 15; Mohd Fathi, 14; Nor Afikah, 12; Mohd Ilham, 10; Sofiyah Munawarah, 6, dan Hamidi Rabbani, 4. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam selepas Maghrib, semalam.
Allahyarham adalah vokalis utama Rabbani bersama lapan lagi anggota terdiri daripada Azadan Abdul Aziz, Rahmat Shafie, Mohd Asri Ubaidullah, Lokman Abdul Aziz, Rithahudeen Yaakob, Mohd Nazrul Azhar Tamrin, Zulkifli Azman dan Affendi Shahabudin.
Antara lagu popular nyanyian Mohd Asri bersama Rabbani ialah Pergi Tak Kembali, Subhanullah, Intifada, Assalamualaikum, Iqra, Di Ambang Syawal, Ingat Lima Sebelum Lima dan baru-baru ini berduet dengan Amy Search menyanyikan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.
Kumpulan itu dinobatkan sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lapan tahun berturut-turut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya, berkata ketika kejadian beliau dalam perjalanan dari pejabatnya ke auditorium untuk menghadiri pelancaran program Syahadah yang akan disiarkan di RTM sempena Ramadan ini.
“Apabila sampai di situ, saya lihat orang ramai mengusung beliau untuk dibawa ke hospital. Tidak lama selepas itu, kami dimaklumkan Asri meninggal dunia. Majlis diteruskan, tetapi tanpa persembahan perasmian, sebaliknya memainkan lagu tema program Syahadah menerusi cakera padat,” katanya.
Penerbitan dan Penyelaras Program Syahadah, Ibrahim Zaidi Ismail, berkata beliau terkejut apabila melihat Asri tiba-tiba jatuh sebelum program bermula.
“Kira-kira jam 10.30 pagi Asri masuk studio. Asri memegang mikrofon, tetapi beberapa saat sebelum program bermula Allahyarham rebah ke lantai,” katanya.
Rakan karibnya yang juga anggota kumpulan Raihan, Che Amran Idris menganggap Mohd Asri sebagai idola kerana beliau mula mengenalinya sebelum kemunculan kumpulan nasyid kontemporari lain.
“Malah, banyak kumpulan nasyid sekarang, termasuk Raihan sendiri cuba meniru gaya dan penampilan arwah. Kami menganggap arwah sebagai pahlawan dan ikon nasyid,” katanya.
Ini petikan dari Harian Metro:
Asri rebah dalam studio
Oleh Nor Akmar Samudin
[email protected]
SHAH ALAM: “Balik malam tadi (kelmarin), Asri mengajak saya keluar makan malam, perkara yang jarang dapat kami lakukan bersama kerana kesibukannya. Kami keluar berdua kerana anak-anak sudah tidur dan Asri kata pesan (makanan) apa saja. Selepas itu kami menonton televisyen berdua dan berbual lama. Bagaimanapun, ketika keluar hendak menjayakan rakaman program Syahadah di RTM (Radio Televisyen Malaysia), pagi tadi (semalam), Asri mengadu tidak sihat dan batuk lalu dia minta saya menghantarnya ke pejabat Rabbani Productions di Taman Manjalara, Kepong.
“Itu pertemuan terakhir saya dengannya sebelum diberitahu dia sudah tiada, lebih kurang jam 11 pagi,” kata Nur Jannah Shahadan, 39, isteri vokalis utama Rabbani, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, 40, ketika ditemui di rumah keluarga arwah di Kampung Bukit Lanchong di sini.
Asri meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham meninggalkan enam cahaya mata, Mohd Nasimuddin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilham, 10, Soffiyah Munawwarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 5.
Menurut Jannah, walaupun tidak menyangka Asri akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya begitu cepat, dia tetap bersyukur kerana Allah SWT memberikannya kekuatan untuk menerima kenyataan suami tercinta sudah pergi menghadap Ilahi.
“Komitmen Asri terhadap kerjaya seninya menjadikan saya seorang yang berdikari. Allahyarham seorang suami dan bapa yang baik. Tidak ada apa yang terkilan di hati cuma pagi tadi (semalam) sebelum dia keluar rumah, saya tidak dapat memeluknya erat. Kenangan paling manis baru-baru ini kami dapat menunaikan umrah bersama-sama sambil berziarah di Istanbul. Asri menyifatkan pemergian kami ke Tanah Suci itu untuk mengerjakan umrah sambil berbulan madu selepas 16 tahun kami berkahwin.
“Insya-Allah, saya akan tabah mengharungi kehidupan ini membesarkan anak bersendirian,” katanya.
Azadan Abdul Aziz, 36, seorang daripada anggota Rabbani dan yang paling rapat dengan Allahyarham berkata, dia dan anggota lain akan meneruskan perjuangan kumpulan nasyid paling popular itu.
“Asri bukan hanya kawan dan rakan seperjuangan dalam dunia seni yang berdakwah menerusi lagu nasyid, malah dia pemimpin dan bapa kepada kami. Namun, Allah lebih menyayanginya dan kami reda pemergiannya. Meskipun beliau sudah tiada, semangat dan kekuatannya akan terus bersama kami untuk meneruskan perjuangan Rabbani. Banyak program dirancang pada Ramadan ini terutama persembahan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.
“Selepas ketiadaan Asri, saya akan kumpulkan semua anggota Rabbani untuk membina semula kekuatan bagi menghadapi hari esok. Perjuangan Rabbani dalam bidang seni akan diteruskan. Meskipun saya dan anggota lain dapat menerima ketentuan Allah SWT, kami semua tetap terkejut kerana pemergian Asri terlalu mendadak. Sebelum itu kami pernah berbual berdua, macam mana dengan Rabbani jika berlaku apa-apa dengan Asri. Tak sangka pula perbualan kami menjadi kenyataan.
“Pun begitu kami bersyukur kerana Asri pergi dalam keadaan tenang dan wajahnya seperti orang tidur,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 di sini, selepas Maghrib malam tadi, bersebelahan pusara bapanya yang meninggal dunia hampir setahun lalu.