Sekian lama berdiam mengenai keadaan dirinya, Ashraf akhirnya berkongsi luahan hati menerusi entri Instagram (IG), tengah hari ini. Ashraf memohon maaf kepada semua pihak termasuk rakan media kerana memilih tidak memberikan sebarang kenyataan.
Ashraf juga meminta semua orang supaya berprasangka baik pada Allah. Katanya, hanya Dia yang memberi penyakit dan Dia juga adalah penyembuhnya.
Pada perkongsian video berdurasi dua minit dan 21 saat dimuat naik di Instagram TV (iGTV) itu, Ashraf dilihat sebak ketika menaiki ambulans yang membawanya ke hospital.
Video yang sudah ditonton lebih 12,000 kali oleh warganet di Instagram Ashraf, turut menerima lebih 250 komen yang kebanyakannya meminta pelakon terbabit terus positif, tabah dan banyakkan doa kepada Allah SWT.
“Tanggal 12 April lalu menjadi jawapan bagi saya mengenai keputusan ujian COVID-19.
“Ya, saya dijangkiti virus COVID-19. Sewaktu itu walaupun sebak mendapat tahu jawapannya, tetapi saya reda dengan pilihan Allah.
“Ada hikmah di sebaliknya. Datang ‘nervous’ dan macam-macam perasaan apabila masuk ambulans.
“Maafkan saya ahli keluarga, sahabat dan rakan,”
– Ashraf Muslim
Menurut Ashraf, beliau merasa sebak apabila mengetahui keputusan daripada saringan COVID-19 miliknya yang dilaporkan positif, namun redha dengan ketentuan Allah SWT. Dalam entri itu, Ashraf turut memohon doa orang ramai untuknya dan mereka yang disahkan positif COVID-19.
Melalui video IG TV tersebut, Ashraf Muslim mendedahkan Hospital Sungai Buloh menjadi lokasi untuk beliau menjalani rawatan dan kuarantin.
“Tolong doakan yang baik untuk saya dan pesakit COVID-19. Semoga Allah jauhkan wabak ini, tidak berterusan dan menyihatkan semua.
“Saya juga ingin memohon maaf kepada rakan wartawan yang menghubungi saya. Harap faham dengan situasi saya sekarang.
“Tak lupa kepada petugas barisan hadapan seperti doktor, pembantu perubatan, jururawat dan mereka yang terbabit. Terima kasih, kalian adalah hero kami,”
– Ashraf Muslim
Pelakon filem Aku Masih Dara dan Bukan Cinta Malaikat itu berkata, dia berharap keluarganya mendoakannya dijauhi segala kesulitan.
Di kesempatan itu beliau turut meminta agar orang ramai mendoakan kesihatan dirinya dan pesakit-pesakit lain agar kembali sembuh dan juga memohon maaf pada semua.
“Kepada Mama, Ibu, Sarah, Adam, Anas dan Safiyyah, doakan ayah supaya pulih daripada virus ini dengan cepat. Supaya kita dapat berjumpa beramai-ramai.
“Ayah rindu sangat, tetapi jangan risau ayah okay, sihat, boleh solat dan baca al-Quran seperti biasa.
“Berprasangka baik pada Allah. Hanya Allah memberikan penyakit dan memberikan kesembuhan,”
– Ashraf Muslim
Kumpulan produksi drama Demi berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu, sebelum kes penularan COVID-19 ketara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum dikuat kuasa.
Seramai 18 tenaga kerja termasuk pengarah, pelakon dan kru yang menjalani penggambaran drama 26 episod siaran RTM itu tiba di Kuala Lumpur pada 31 Mac lalu.
Sebelum ini, lapan tenaga kerja pasukan produksi termasuk pengarah, Rahila Ali dan pelakon, Puteri Aishah dan Puteri Rayyana Rayqa disahkan positif COVID-19.
Sumber: BH Online & IG TV Ashraf Muslim