Ashira ketika dihubungi berkata, dia dan Bad akan dahulukan perkara yang wajib dan penting terlebih dahulu.
“Kami akan selesaikan yang wajib (nikah) dahulu. Manakala, untuk majlis resepsi pula, Insya-Allah akan diadakan pada Jun nanti.
“Namun, semuanya bergantung kepada situasi kerana sekarang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak aspek perlu dilihat untuk mengadakan majlis keramaian,” katanya kepada Harian Metro.
Berkongsi mengenai hubungannya dengan Bad, Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz berkata, kedua-dua mereka mula rapat selepas Indigo tersingkir daripada program Gegar Vaganza 7 (GV7).
“Ketika dalam GV, kami tak rapat sangat dan berbual pun tidak. Tapi, selepas Indigo tersingkir, kami ada berbual menerusi mesej.
“Satu hari saya termimpikannya dan bila terbangun dari tidur, saya tertanya-tanya kenapa dia muncul dalam mimpi saya.
“Sejak dari situ, kami mula berborak dan lebih rapat lagi. Rasa cinta ini pun muncul tanpa disangka. Alhamdulillah, Allah buka hati saya untuk menerima cinta baharu semula,” katanya.
Ashira dan Bad masing-masing sudah bertemu anggota keluarga, termasuk anak-anak bagi mendapat persetujuan mereka.
“Anak saya pun okay dan rapat dengan Bad. Dia cakap, dia tumpang bahagia kalau saya rasa bahagia.
“Sebelum kita melalui PKP kedua ini, Bad pun dah bawa kami jumpa anak-anaknya dan nampaknya, mereka mula selesa dengan kehadiran saya,” katanya.
Ashira bersatus ibu tunggal pada 2015 dan memiliki seorang anak lelaki, Megat Shazril Haziq Hadi, 15.
Manakala, Bad pula sudah bergelar bapa tunggal sejak 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Rayyan, 12, dan Rania, 11.
*Sumber: Harian Metro