Menurut As’ad, 18, dia kini semakin terbuka dalam menerima kecaman dan komen negatif netizen malah hal-hal sedemikian tidak pernah membuatkan dirinya tertekan mahupun berada dalam fasa kemurungan.
As’ad Motawh ditemui media semasa menghadiri majlis sidang media Shopee MAKNA Big Sale 11.11 yang berlangsung di W Hotel, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.
Dua tahun lalu As’ad pernah dikecam apabila suaranya dikatakan sumbang dan tidak boleh menyanyi secara ‘live’ ketika menjayakan sebuah program hiburan di Indonesia.
Dalam rancangan itu, Asad menyanyikan lagu Asalkan Kau Bahagia yang merupakan dendangan asal Armada Band.
Dalam pada itu, As’ad meluahkan rasa syukur apabila buat kali pertama, single terbaharunya yang berjudul Selamanya tidak menerima kecaman daripada netizen.
Bagi As’ad, dia menyedari ada segelintir netizen tidak berniat untuk melemparkan kata-kata negatif sebaliknya mereka hanya lebih mahukan perhatian daripadanya.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur apabila lagu terbaharu saya iaitu Selamanya tidak ada orang kecam buat pertama kali. Ramai orang memberi respon yang positif mengenai lagu tersebut.
“Saya gembira dengan perkhabaran itu sampaikan saya buat sujud syukur apabila tidak ada komen-komen negatif yang diterima,” ujarnya sambil berseloroh.