Lebih sepuluh artis dan personaliti tempatan berkampung di Pulau Banding sempena program “Artis Lestari di Hutan Belum” yang dianjurkan oleh Artis Pencinta Alam dengan kerjasama Yayasan EmKay.
Antara yang terlibat ialah penyanyi Fauziah Latif, Amanda Imani, Farah Asyikin, Ezlynn, Sabhi Sadhi, pelakon Hasnul Rahmat, pengacara terkenal Yasmin Hani, personaliti Rafidah Ibrahim, penyampai radio Isma Halil, Miss Universe Malaysia 2010 Nadine Ann Thomas dan Angkasawan Negara Mejar Dr Faiz.
Bagi penyanyi Teratai Layu Di Tasik Madu, Fauziah Latif yang pernah menjejakkan kakinya ke Hutan Belum sebelum ini, aktiviti sebegini akan membuatkannya lebih menghargai kehidupan.
“Apa yang kita lihat hari ini memberikan peluang kepada kita untuk lebih menghargai kehidupan yang telah dikurniakan Allah. Ada di antara mereka (masyarakat orang asli) yang tidak memiliki kehidupan yang bertuah, namun mereka masih berusaha untuk mengekalkan budaya mereka. Ia membuka fikiran kita untuk melihat dengan lebih mendalam pada sebuah kehidupan.” ulas Fauziah yang lebih senang bersendirian buat masa ini.
Menginap di Belum Rainforest Resort, para selebriti dan wakil media diberikan peluang untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat orang asli suku Jahai dan Temiar di Sg Tiang, Hutan Belum.
“Yang paling Amanda tidak boleh lupakan adalah sewaktu melihat kehidupan orang asli di sini. Mereka gembira dengan apa yang mereka ada, berbeza kita di bandar yang tidak pernah puas dengan apa yang kita ada. Namun dengan adanya tetamu seperti kita mereka sedikit sebanyak didedahkan dengan dunia luar dan berpeluang untuk berinteraksi dengan kita semua. Walaupun nampak daif, mereka diberikan peluang untuk menikmati pendidikan dan masih mengekalkan budaya mereka.” tambah Amanda Imani.
Tetamu turut berpeluang melawat Sungai Enam Base Camp untuk merentas hutan dan melihat bunga Rafflesia.
“Sangat indah kehidupan semulajadi di sini. Memang susah nak dapat di mana-mana. Saya yang berasal dari Sabah juga tidak pernah melihat sendiri bunga Rafflesia dan tadi saya dapat lihat bunga itu. Memang real. Ini khazanah negara yang perlu kita jaga.” jelas Sabhi Sadhi.
Yayasan Pulau Banding diwujudkan bertujuan melestarikan kehijauan dan kesegaran khazanah alam di sekeliling Belum-Temenggor Rainforest Complex. Untuk itu, Artis Pencinta Alam merupakan susulan bagi mencapai matlamat tersebut. Kerjasama antara Yayasan Pulau Banding dan pihak artis dalam menggabungkan kelebihan dan kebijaksaan masing-masing demi menyampaikan mesej tentang pemuliharaan alam sekitar dengan keseimbangan ekologi dunia.
Hutan Belum merupakan antara hutan hujan tertua di dunia yang berusia lebih 150 juta tahun. via Portal GUA