Namun, pelbagai isu yang mengakibatkan ramai diantara artis di Malaysia terjejas pendapatan gara-gara masalah cetak rompak dan kebajikan tidak dijaga. Dalam pada itu, Ziana mengatakan pembahagian keuntungan disifatkan tidak seimbang.
“Kalau nak diikutkan, kami artis di Malaysia, kaya sebenarnya, malah boleh jadi jutawan, jika dinilai kepada hasil karya.
“Tetapi disebabkan cetak rompak, kami tak dapat apa yang sepatutnya. Tetapi, badan-badan yang mengutip duit, mereka lebih kaya sekarang. Kami yang penat menyanyi, berpuluh album tapi akhirnya mereka yang kaya. Padahal, mereka tak ada hasilkan apa-apa pun,” katanya.
“Pembahagian keuntungan langsung tidak seimbang. Tiba-tiba mereka dapat pula beli bangunan RM14 juta, contohnya. Yang urus bahagian royalti kami, gajinya RM15,000 sebulan. Tetapi kami para artis, dapatlah RM500 atau RM600. Adilkah?” katanya.
Mengakui sudah penat bercakap tentang isu cetak rompak, Ziana berkata sehingga kini tiada pihak yang tampil membantu memberi jalan penyelesaian. Ujarnya, mungkin perlu ada penguatkuasa yang menjaga isu hak cipta dan mengambil tindakan jika ada yang melanggar undang-undang.
“Sepatutnya ada satu pihak penguatkuasa yang menjaga isu hak cipta dan boleh terus bertindak apabila berlakunya pelanggaran undang-undang.
“Contohnya di internet, kenakan sekatan. Apabila anda nak download lagu, kena bayar dulu. Tak kisah sumber dari mana tapi kalau nak dengar dan download, ada satu jumlah perlu dibayar.
“Saya kesal kerana tidak ada siapa yang mahu bertindak. Pada mereka, hasil karya dan lagu itu macam tak ada nilai, sedangkan itulah duit kami. Benar, penyanyi dan artis itu hak masyarakat, tetapi tidak bermakna orang bebas buat apa sahaja,” katanya.
*Sumber: Astro Awani