Mulai 1 April ini, semua artis Maestro yang seramai 37 orang artis akan diserap bawah Astro Entertainment Sdn. Bhd.
Ini adalah untuk memperkukuhkan lagi aktiviti pengurusan seni artis. AESB akan mengambil alih tugas dalam menguruskan kerjaya seni artis-artis di bawah naungan Maestro seperti yang tertera dalam kontrak masing-masing.Â
AESB yang telah ditubuhkan sejak dua tahun lalu juga terus komited dalam melahirkan bintang-bintang tempatan yang bakal mewarnai dunia seni hiburan tanahair dan akan terus memberikan sokongan kepada mereka dalam mengembangkan kerjaya seni mereka. Antara bintang Maestro yang menyinar ialah Mawi, Stacy, Dafi, Farah dan Mila. Juara Raja Lawak musim ketiga, kumpulan Sepah adalah artis terbaru di bawah pengurusan syarikat Maestro.
Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah berkata:
“Kami mengambil pendekatan untuk melihat kemajuan Astro dan kami tidak mahu masuk kepada aspek kepincangan. Kami membuat keputusan ini selepas membuat penilaian dari segi saiz empayar. Perubahan ini merupakan satu kitaran yang akan dilakukan oleh mana-mana syarikat. Kita masih buat perkara yang sama dilakukan oleh Maestro dan tidak akan berhenti menerbitkan lagu. Kita akan buat berpuluh lagu lagi untuk artis kerana mereka juga nak cari makan.”
Maestro merupakan anak syarikat Astro yang meliputi Maestro Talent, Maestro Records dan Maestro Publishing. Maestro Talent & Management Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 24 Julai 2003, dan beroperasi sebagai sebuah syarikat pengurusan artis yang dilahirkan meneruisi pelbagai program terbitan Astro. Maestro mempunyai 13 staf dan mengendalikan lebih 30 artis beroperasi di Plaza Damansara, Bukit Damansara.