Konsert solo Anuar di Bukit Jalil gabung tenaga kerja, kreativiti terbaik
[dropcap]T[/dropcap]inggal sebulan saja lagi sebelum Konsert Muzik, Cinta dan Sanubari Anuar Zain berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil. Ketika ini, penyanyi bervokal mantap itu sibuk dengan persiapan untuk menghadapi hari yang penuh bersejarah buatnya sebagai seorang penghibur.
[pullquote align=”right”]Sekian lama menanti, peminat Anuar kini berpeluang menyaksikan konsertnya berskala mega selepas tiga dekad dia menceburkan diri dalam seni.[/pullquote]
Selain Anuar, antara insan belakang tabir yang bertungkus-lumus menjadikan persembahan itu sebagai kenangan terindah buat peminat ialah pengarah muzik konsert, Mac Chew, dan pengarahnya, Jennifer Thompson.
Kedua-duanya bulan calang-calang nama. Selain berpengalaman dalam bidang muzik berdekad lamanya, mereka banyak membabitkan diri di belakang tabir konsert artis popular tanah air lain. Justeru, tidak hairanlah andai Anuar memilih dua insan seni ini untuk bekerjasama.
Berkongsi cerita persediaan konsert, Mac berkata dia amat berpuas hati dengan komitmen Anuar.
“Muzik bagi semua lagu sudah siap disusun berdasarkan apa yang dimahukan Anuar. Memandangkan konsert ini ialah hadiah Anuar buat peminatnya, jadi dia lebih mementingkan lagu yang membolehkannya menyanyi bersama-sama mereka. Justeru, dari segi gubahan muzik, saya kena panjangkan tempoh lagu itu dan membuat perubahan dari segi korus.
“Anuar banyak memberi input dan idea dari segi muzik. Senang bekerja dengan Anuar kerana dia faham apa yang diinginkan,” kata Mac yang banyak bekerja dengan penyanyi terkenal seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Datuk Sheila Majid.
Katanya, bagi menjadikan sesebuah konsert berjaya, ia bukan bergantung kepada muzik semata-mata. Sebaliknya ia harus dilengkapi dengan penyanyi yang hebat serta elemen sokongan lain.
“Sebagai pengarah muzik, saya kena banyak bekerjasama dengan pengarah konsert, iaitu Jennifer, untuk memastikan persembahan itu bukan saja bagus dari segi muzik tetapi turut diadun cantik dengan elemen visual, sekali gus menjadikan konsert Anuar sebagai yang terbaik pernah diadakan,” katanya yang akan menggunakan khidmat 30 pemuzik bagi mengiringi penyanyi itu.
Guna kepakaran tempatan
Jennifer pula berkata, konsert terbabit banyak bermain dengan visual bagi menterjemahkan temanya ini iaitu Muzik, Cinta dan Sanubari, dengan lebih jelas.
“Buat masa ini, kami sibuk menyiapkan bahan visual dan sebahagiannya kami buat khas untuk konsert ini. Apa yang boleh saya katakan, konsep yang diketengahkan adalah untuk membuatkan peminat berasakan mereka lebih intim dengan Anuar. Maklum saja, konsert ini sendiri menjadi penghargaan Anuar untuk peminat yang sudah tiga dekad menyokong kerjaya seninya,” katanya.
Berhubung rekaan set dan sistem bunyi yang dikatakan paling mahal pernah digunakan untuk konsert penyanyi tempatan setakat ini, Jennifer menafikan perkara itu.
“Untuk menjadikan konsert ini sebagai yang terbaik, bukan kos yang menjadi ukuran. Sebaliknya, semua elemen iaitu muzik, penyanyi dan pelbagai faktor lain turut memberi sumbangan. Ia bagaikan melengkapi antara satu sama lain. Untuk makluman semua, segala peralatan dari segi teknikal yang digunakan semuanya barangan tempatan,” tegas Jennifer yang turut menghulurkan khidmatnya bagi acara anugerah seperti Anugerah Bintang Popular BH dan Anugerah Industri Muzik.
Memandangkan tinggal sebulan saja lagi untuk konsert itu berlangsung, Jennifer berkata, dia dan 130 kru produksi kini bertungkus lumus menyiapkan visual yang dianggap antara elemen menarik untuk menghidupkan lagi konsert penyanyi yang terkenal dengan lagu Ajari Aku itu.
Seperkara menarik mengenai konsert ini, buat julung kali peminat akan dapat menyaksikan klip video terbaru Anuar berjudul Sempurnakan Aku, iaitu kesinambungan kisah dipaparkan dalam klip Ajari Aku sebelum ini.