Syarikat pengurusan Armani Entertainment Sdn Bhd telah memfailkan saman terhadap pengarah dan penerbit terkenal, Michael Ang. CEO Armani Entertainment Sdn Bhd, Dato KK Chua, mengumumkan bahawa syarikatnya akan menuntut wang sejumlah RM500,000 daripada Michael kerana melanggar kontrak yang telah ditandatangani pada 1 Oktober 2021.
Menurut Chua, pihaknya telah membayar RM500,000 kepada Michael Ang; RM250,000 secara tunai dan RM250,000 lagi untuk sumbangan renovasi rumahnya di Desa Park yang direkod dalam rancangan ‘Fix It Til You Make It’.
Chua menjelaskan bahawa tuntutan ini dibuat kerana Michael gagal melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan dalam kontrak tersebut. Antaranya, Michael sepatutnya mendapatkan sekurang-kurangnya empat pelakon dari Armani Entertainment sebagai watak utama dan enam pelakon pembantu dalam drama yang dihasilkannya.
Selain itu, dia juga perlu memasukkan lagu-lagu terbitan Armani Entertainment sebagai original soundtrack (OST) dalam drama yang dihasilkan serta mendapatkan 20 orang bakat baru untuk dijadikan artis naungan Armani Entertainment.
Disebabkan Michael tidak dapat memenuhi perjanjian tersebut dan enggan memulangkan wang, dia telah meminta agar diberikan peluang kedua. Selepas perjumpaan kedua, mereka telah menandatangani satu perjanjian tambahan pada 2 September 2022. Menurut Chua, antara tanggungjawab yang dipersetujui dalam perjanjian kedua tersebut adalah memulangkan wang berjumlah RM50,000 kepada Armani Entertainment sebelum 15 September 2022.
Michael juga bersetuju untuk membawa artis naungan Armani Entertainment sebagai pelakon pembantu watak utama lelaki atau wanita dalam drama-drama terbitannya yang akan datang. Selain itu, dia juga perlu memasukkan sekurang-kurangnya 10 buah lagu terbitan Armani Entertainment dalam drama-drama yang dihasilkan dan membawa masuk projek berjumlah RM50,000 kepada Armani Entertainment dalam bentuk endorsement, kempen, atau seumpamanya.
Michael Ang juga gagal memberi jaminan untuk membawa masuk seorang artis naungan Armani Entertainment untuk menyertai dua pertandingan program realiti stesen televisyen terkenal. Walau bagaimanapun, Michael hanya memenuhi beberapa perjanjian sahaja daripada keseluruhan kontrak tersebut.
Antaranya termasuklah lagu “Janji Sampai Mati” oleh Hasif Upin sebagai OST drama Janji Anaqi, lagu Fantasia oleh Emeer Bakri sebagai lagu sampingan (filler theme song) dalam drama Setelah Terlafaznya Akad 2, OST Anta Permana oleh Siti Nurhaliza, peranan watak jahat oleh Musyi Mokhtar dalam drama Setelah Terlafaznya Akad 2, pelakon tambahan Fakhrul Razi dalam drama yang sama, serta enam lokasi uji bakat dengan juri di KL, JB, Kuantan, Terengganu, Penang, dan Sabah melalui Zoom.
Kes ini akan disebut buat kali pertama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 Ogos 2024.