in

Armada Lancar Album Hal Terbesar di Malaysia

Pada 15 Jun lalu, Budiey berkesempatan untuk hadir di Sidang Media dan Pelancaran Album ARMADA berjudul HAL TERBESAR yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Mungkin ramai lagi yang masih belum mengenali band yang telah mengaut keuntungan dari 3 juta content mobile untuk single lagu Armada.

Armada, sebuah kumpulan yang namanya agak asing bagi peminat muzik tempatan. Kumpulan yang berasal dari Palembang, Indonesia ini belum pernah mendapat sebarang promosi di luar Indonesia memandangkan ia masih baru dalam industri.

Ditubuhkan pada 2007, kumpulan yang dianggotai oleh lima anak muda yang terdiri daripada Rizal (vokalis), Andhit (drummer), Radha (gitaris), Endra (Bass) dan Mai (gitaris) ini, pada asalnya menggunakan nama ‘Kertas’ di awal kemunculannya. Bagaimanapun, nama ini ditukar selepas mereka beralih ke syarikat rakaman baru. Armada adalah gabungan nama setiap ahli kumpulan ini.

Pada tahun 2008, kumpulan ini melancarkan album berjudul ‘Balas Dendam’, namun ia tidak mendapat sambutan baik daripada peminat muzik Indonesia. Atas dasar itulah, Armada mencuba formula baru dengan menukar konsep daripada ‘melankolik pop’ ke ‘pop enak’ untuk album kedua mereka, ‘Hal Terbesar’.

Pemilihan judul Hal Terbesar sebagai judul album adalah sebagai ungkapan atas semua anugerah dan kurnia yang dianugerahkan, sehingga setelah mengalami pengalaman pahit yang tidak sedikit di industri muzik.

Mereka tetap mampu bertahan dan tetap berdiri bahkan mendapat kesempatan yang lebih baik lagi sehingga mereka mampu mempersembahkan karya terbaik mereka.

Ternyata perubahan ini membuahkan hasil apabila album yang dilancarkan pada 2009 ini mendapat sambutan memberangsangkan. Album yang memuatkan 10 buah lagu ini mempertaruhkan tema percintaan bagi mencuri perhatian peminat. Kini, tiga ‘single’ daripada album ini iaitu “Buka Hatimu”, “Mau Dibawa Ke Mana” dan “Kuingin Setia” sering berkumandang di stesen-stesen radio di Indonesia. Kejayaan ini sekaligus membuatkan Armada mula menjadi sebutan.

Yakin dengan kejayaan ini, Armada cuba memberanikan diri dengan mengintai pasaran Malaysia. Harapan mereka cuma satu, mereka mahu muzik mereka diterima oleh peminat di sini.

Persoalannya, adakah mereka ini setanding dengan kumpulan-kumpulan muzik Indonesia yang lain seperti Ungu, Nidji, Peterpan, Dewa, atau Gigi?

Persoalan ini dijawab penuh hati-hati oleh vokalis kumpulan ini, Rizal. Menurut Rizal, jika dibuat perbandingan, mereka masih terlalu baru untuk disamakan dengan kumpulan-kumpulan Indonesia yang sudah punya nama di sini. Tetapi mereka yakin, kehadiran mereka boleh diterima di sini kerana percaya peminat muzik di Malaysia lebih terbuka dan boleh menerima kehadiran kumpulan baru asalkan muzik yang dibawakan bagus dan menepati citarasa.

LAGU MANA YANG BEST?

Album HAL TERBESAR terdiri dari 10 buah lagu dengan konsep tema CINTA dan segala permasalahan berbeza dengan album Balas Dendam yang cenderung lebih keras dan lebih beremosi di album ini ARMADA lebih mengutamakan harmonisasi dan lebih menonjolkan kesan keindahan pada setiap lagunya.

Lagu Cinta Itu Buta ada daya tarikan tersendiri bila sekilas di bahagian intro petikan gitar serta hentakan drum yang dihidangkan mengingatkan kita pada grup band Counting Crows.

Lagu Pemilik Hatiku pula berirama perlahan dengan lirik yang sangat kuat. Mengisahkan tentang kekalutan perasaan seorang pria akan cinta yang tak bisa dimilikinya.

Lagu Hal Terbesar ditempatkan pada track yang ke-4. Tapi Budiey tak berapa suka dengan lagu ini. Nak tahu, kenalah dengar. Tapi Budiey sangat suka dengan lagu Di Bawa Ke Mana yang mengisahkan tentang sebuah hubungan cinta yang tidak memiliki status jelas. Yang menarik pada lirik lagu ini adalah penggunaan kalimat ‘mau di bawa ke mana hubungan kita’.

Bercerita tentang album kedua ini pula, Andhit memberitahu mereka menggunakan tajuk ‘Hal Terbesar’ kerana ia adalah sebagai ungkapan atas semua pengalaman pahit dan manis ketika berada di dalam industri muzik. Walaupun banyak rintangan yang terpaksa dihadapi, mereka masih mampu bertahan sehingga kini.

“Berbanding album terdahulu, ‘Hal Terbesar’ menampilkan muzik yang lebih harmonis dan lebih menonjolkan kesan keindahan pada setiap lagunya. Malah, kami juga menyuntik elemen orkestra bagi mencipta kelainan. Kami percaya muzik kami kali ini lebih matang dan enak didengar. Jadi, kami sangat berharap album ini boleh menembusi pasaran Malaysia sebagaimana album-album kumpulan Indonesia yang lain,” ujar Mai, yang mengakui ini kali pertama Armada berada di luar Indonesia.

Dalam pada itu, Armada sempat berkongsi cerita tentang ‘nazar’ atau niat mereka sekiranya berjaya mencipta kejayaan besar dalam industri. Menurut lima anak muda ini, jika diizinkan Allah, mereka mahu menghantar kedua ibu bapa mereka menunaikan haji menggunakan wang yang diperolehi daripada penjualan album dan pertunjukkan pentas.

“Ini memang niat kami dari awal-awal lagi. Mudahan-mudahan niat ini dapat ditunaikan dalam sedikit masa lagi. Setakat ini wang simpanan kami sudah mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menunaikan haji,” ujar Rizal berterus-terang.

Album Armada telah pun berada di pasaran Malaysia dan ia dijual pada harga RM21.90. Sama seperti pasaran Indonesia, Armada menjangkakan lagu “Buka Hatimu” dan “Kuingin Setia” mampu menjadi hits di sini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Nanny McPhee & The Big Bang Fantasi Budak Nakal

Azrinaz Mazhar Hakim & Sultan Brunei Bercerai