[dropcap]P[/dropcap]ada hujung minggu lalu, telah berlangsung Sesi ujibakat Akademi Fantasia 2013 di Shah Alam Convention Centre (SACC). Apa yang Budiey dengar, peserta ujibakat kali ini sangat ramai juga yang datang. Tak menang tangan juri dibuatnya. Mungkin ini adalah peluang terakhir untuk mereka mencuba nasib. Jadi, siapa kata AF 2013 tak meriah? Bukan main ramai yang nak masuk sampai pihak juri pun terpaksa menapis dengan teliti.
Yelah, kat luar sana, ramai yang mahu jadi artis dan melonjak naik seperti kilat. Inilah yang dinamakan kebangkitan semula program realiti popular yang telah mencipta fenomena tersendiri dalam industri hiburan tanah air… Akademi Fantasia 2013. Budiey sangat teruja nak tahu senarai peserta AF untuk kali ini. Siapalah agaknya yang berjaya masuk ya?
Penjenamaan semula AF yang katanya serba baru yang tidak pernah disaksikan sebelum ini bakal mencipta satu aura dan fenomena luar biasa. Setelah menjelajah ke empat buah lokasi iaitu Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah, pihak produksi Astro telah berada di Shah Alam pada hujung minggu lalu untuk sesi ujibakat di lokasi yang terakhir. Dengarnya, sebelum ini, Arja Lee pernah menyertai sesi ujibakat program realiti. Akhirnya, kali ini beliau berjaya untuk ke pemilihan seterusnya.
Dicelah-celah orang biasa yang datang, ada terselit beberapa orang selebriti yang kita sudah kenali mereka. Selain IZ dan Fida Ibrahim, Budiey juga turut dikhabarkan sendiri oleh pelakon berkarakter iaitu Arja Lee atau nama sebenarnya, Azharudin Ramli. Jika anda follow Arja Lee di Instagam pasti akan nampak gambar Arja Lee memegang kertas oren yang menandakan beliau berjaya melepasi ujian saringan AF di peringkat yang ketiga. Wah! Tahniah Arja Lee! Budiey mendoakan semoga Arja Lee berjaya menjadi peserta AF2013 sebab Budiey memang suka dengan karakter Arja yang mudah untuk didekati dan beliau sangat mesra dan peramah. Kalau ada rezeki, dapatlah tengok Arja perform di Konsert Akademi Fantasia 2013 ni.
Peminat pula ada yang terkejut dan ada pula yang gembira dengan berita ini. Apa-apa pun, bagi Arja Lee, antara sebab dia mahu join AF ialah sebab ini adalah cita-citanya untuk jadi penghibur yang sekian lama dia simpan. Dia mahu melunaskan hasratnya yang terpendam sekian lama selain mahu mencuba nasib.
Menurut sumber Berita Harian pada hari ini, Arja Lee ada mengatakan dia mahu menimba ilmu dan baginya ilmu itu penting untuk menjadi seorang penghibur.
“Tujuan saya menyertai ujibakat AF bukan sebab saya tamak atau nak bolot semua, tak! Cuma saya nak belajar dan terus belajar. Ini adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan pendidikan formal daripada mereka yang berpengalaman. Saya baru habis belajar dalam Jurusan Seni Persembahan di Universiti Sains Malaysia pada bulan September lalu dan sekarang saya rindu untuk jadi pelajar.”
Cita-cita Arja Lee sangat besar. Menurut Arja, kalau boleh dia mahu menjadi pelakon, penyanyi, pengacara dan duta produk. Semua yang dilakukan ini adalah untuk ibunya yang kini sedang mengidap kanser lelangit peringkat ke 4. Rupanya sudah 13 tahun ibu Arja Lee mengidap penyakit ini dan terpaksa berulang-alik ke hospital Selayang untuk buat kimo terapi. Budiey doakan ibu Arja Lee sihat dan semoga Arja Lee tabah menghadapi dugaan ini.
Okay, menurut Arja, semasa sesi ujibakat AF, dia menyanyikan dua buah lagu di depan juri iaitu lagu Lagu Kita dari Aizat dan Seribu Impian dari Casey.
Budiey sempat tanya juga, adakah Arja Lee yakin dapat masuk AF kali ini? Dia kata, “Insyaallah, Saya harap sangat dapat, tapi kalau tak dapat, what to do.”
Jika Arja Lee berjaya masuk AF, bermakna beliau setiap tahun dapat masuk program realiti Astro di mana sebelum ini Arja Lee adalah peserta Fear Factor Selebriti Malaysia musim pertama.
Budiey lihat rezeki Arja Lee sekarang semakin murah. Berkat dia bersungguh-sungguh dalam setiap kerja. Mutu lakonan pun dah semakin baik dan ramai peminat yang menyokong Arja. Terbaru, Arja Lee akan tampil dalam drama bersiri Ramadan Yang Hilang di TV3.
Selamat maju jaya, Arja Lee!