Terkejut seketika para peminat Ariel apabila tersebar cerita pada petang semalam kononnya vokalis Peterpan berusia 28 tahun itu telah meninggal dunia, gara-gara terlebih dos (‘overdose’) dadah psikotropik.
Namun berita itu kemudiannya disahkan sebagai satu olokan oleh laman KapanLagi.com – ‘Ariel Tewas OD = HOAX!’ – yang telah menghubungi salah seorang pegawai di balai polis Mabes, lokasi di mana Ariel sedang ditahan. Menurut pegawai berkenaan, Ariel “baik-baik aja, sehat sekarang”.
Seperti yang ramai maklum, Ariel yang kini mendapat jolokan Peterporn, telah ditahan polis pada 22 Jun lalu selepas menyerahkan dirinya apabila dinamakan polis sebagai suspek kerana melanggar undang-undang antipornografi. Ini ekoran dari skandal dua klip video lucah yang memperlihatkan seorang lelaki mirip wajahnya bersama dua wanita yang menyerupai kekasih Luna Maya dan bekas teman wanita, Cut Tari.
Ariel, yang selama ini tegas menafikan lelaki didalam kedua-dua klip tersebut adalah dirinya, mungkin berhadapan dengan hukuman 12 tahun penjara jika didapati bersalah. Bagaimanapun, terdapat segelintir pihak yang menuntut supaya duda beranak satu itu dihukum rejam sampai mati, hukuman yang dirasakan mereka setimpal bagi seorang penzina.