Ariel berbuat demikian ketika menjayakan konsert Noah Menemaniku yang diadakan di Megastar Arena, di ibu negara semalam.
Pada segmen tersebut, wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Syuhada itu menerima lapan kuntum mawar merah secara satu demi satu daripada Ariel sebagai satu daripada gimik persembahan sempena penganjuran konsert tersebut.
“Aku punya banyak bunga buat kamu,” kata Ariel semasa memberikan kuntuman bunga mawar tersebut sekali gus membuatkan rata-rata peminat yang berada di seisi dewan menjerit ‘kegilaan’ sambil memuji sisi romantis penyanyi berusia 42 tahun tersebut.
Elemen kejutan itu dilakukan Ariel selepas meminta kru konsert mencari mana-mana peminat di ruang dewan yang membawa bunga berwarna putih untuk dijemput naik ke pentas.
Sebelum mengeluarkan kuntuman bunga mawar tersebut, Ariel yang memegang sekeping kertas bersaiz A4 meminta peminat bertuah itu membaca dan bersama-sama menyanyikan lagu Ini Cinta yang memaparkan tulisan tangannnya sendiri.
“Ini lirik lagu, yang saya mahu nyanyikan sekarang, cuma buat kamu.Liriknya ini saya tulis guna tulisan tangan saya mudah-mudahan boleh dibaca sama kamu okey. Tulisan tangan ini kamu boleh bawa pulang okey.
“Saya ingin kamu benar-benar merasai setiap apa yang saya tulis di sini,”kata Ariel.
Gimik dan persembahan selama lima minit itu merupakan antara momen yang paling diingati sekitar 5,500 peminat yang membanjiri Megastar Arena semalam yang telah lama menanti kehadiran kumpulan Noah untuk menghiburkan mereka di sini.
Selain gimik, persembahan kumpulan yang turut dianggotai oleh Lukman (gitaris) dan David (keyboard) ini secara keseluruhan turut menyuntik kepuasan maksima buat peminat-peminat yang hadir terutama dalam melewati nostalgia lagu-lagu popular band terkemuka Indonesia ini.
Konsert yang dibawakan oleh YOLO Malaysia ini menyaksikan Noah menghiburkan peminat-peminat dengan 24 buah lagu terbaik mereka dengan antaranya ialah Topeng, Separuh Aku, Menemaniku, Menunggumu, Tak Bisakah, Bintang Di Syurga, Wanitaku, Walau Habis Terang, Semua Tentang Kita dan Mungkin Nanti.
Lebih istimewa, penyanyi rap terkemuka tanah air, Joe Flizzow turut muncul membuat kejutan menyanyikan lagu duet terbaharu Noah berjudul Suara Dalam Kepala.
Menurut Pengasas YOLO Asia, Ib Harun, pihak mereka berbesar hati dapat membawakan konsert ini khas buat peminat kumpulan Noah di Malaysia apalagi ia merekodkan persembahan konsert terakhir band ini sebelum berehat panjang.
“Walaupun ini merupakan konsert terakhir Noah di Kuala Lumpur, YOLO Asia telah bersedia untuk mengalihkan fokus kepada penganjuran konsert Noah di Singapura di bawah kelolaan YOLO Singapore yang bakal berlangsung pada 17 Disember ini di Singapore Expo Hall 1.
“Kami berbangga mengumumkan pelancaran YOLO Japan yang merupakan rakan penganjur bagi konsert Noah Live in Yokohama pada 5 November 2023.
“YOLO Borneo juga akan menganjurkan konsert Rockin Borneo with Search di Pusat Konvensyen Sabah pada 9 Disember ini,”katanya.