Kontroversi itu tercetus selepas penyanyi lagu Bunga itu menarik diri pada saat-saat akhir daripada sebuah program televisyen (TV) dengan memberi alasan mengalami masalah kesihatan. Tindakan itu dikatakan menyukarkan produksi hingga terpaksa mencari penyanyi gantian secara mengejut.
Ara atau nama sebenar, Nurfarrah Izattie Johari, 23, berkata, tuduhan dirinya ‘kaki minum’ dan mengambil barang terlarang bukan kali pertama didengar.
“Hanya disebabkan tubuh kecil, saya dituduh kaki minum dan mengambil barang terlarang. Selepas kira-kira dua tahun berada dalam industri, nama saya mula dikaitkan dengan cerita kurang enak.
“Ramai yang membuat tuduhan seperti itu. Saya berani bersumpah tidak pernah minum dan sentuh barang terlarang,”
– Ara Johari
Ara yang juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2016 mengaku kecewa dilemparkan tuduhan tidak berasas membabitkan akhlaknya.
Tidak mampu menutup mulut orang, Ara, bagaimanapun percaya mereka akan berhenti bercakap apabila sudah penat.
Lagipun, Ara lebih mementingkan perasaan keluarga berbanding memikirkan pandangan serong netizen terhadap dirinya.
Pada masa sama, Ara percaya dirinya terheret dengan kontroversi itu berikutan perhubungan sosialnya.
“Saya berkawan dengan semua orang. Saya mengaku ada dalam kalangan mereka mengambil minuman keras, namun, dalam hal ini, kita yang tentukan siapa diri kita.
“Tidak semestinya apabila berkawan dengan mereka, saya perlu ikut apa yang mereka lakukan,”
– Ara Johari
Ara berkata demikian di depan media semasa hadir pada kempen ‘Malaysiaku Kita Selamat Bersama’ sempena Bulan Kemerdekaan Negara anjuran Astro, semalam.
Sumber: BH Online