in , ,

AR Rahman Tampil Dengan Konsert Memukau di Stadium Nasional Bukit Jalil

Komposer muzik yang pernah memenangi anugerah Oscar, AR Rahman meraikan 30 tahun perjalanan seni muziknya di Malaysia, dalam konsert mega penuh meriah lagi menghiburkan di hadapan kira-kira 60,000 penontoh di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.

Konsert ‘Secret of Success: Live in Malaysia 2023’ yang bermula sekitar pukul 8.30 malam, menyaksikan penyanyi, penerbit dan penulis lirik terkemuka dari India itu terus memukau penonton dengan lagu hitnya yang dihasilkannya untuk filem Slumdog Millionaire, yakni ‘Jai Ho’ dan ‘Oh Sayo’.

Penyanyi berumur 56 tahun itu turut menyanyikan lagu dari filem Tamil terkenal ‘Sivaji The Boss’. Beliau merupakan komposer muzik bagi filem itu.

Selain itu AR Rahman, yang nama penuhnya Allah Rakha Rahman, turut menyampaikan lagu-lagu medley pelbagai irama merdu dari India, termasuk Reeti Gowla, Chalanatai dan Dharmavati.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan konsert yang menampilkan lagu-lagu Hindi serta Tamil yang memang dikenali ramai anjuran DMY Creation itu.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia B. N. Reddy.

Konsert itu turut menampilkan beberapa artis terkemuka lain, termasuk penyanyi latar Hariharan dan Shweta Mohan, serta pemuzik Drums Sivamani.

Selepas kira-kira dua jam konsert, penonton terus memberikan tepukan gemuruh apabila penyanyi nombor satu Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin muncul di tengah pentas menyanyikan lagu Tamil, Munbe Vaa, secara berduet dengan penyanyi dari India, Haricharan.

Malam yang menyaksikan AR Rahman kembali ke Kuala Lumpur selepas kali terakhir beraksi dalam konsert di sini kira-kira enam tahun lepas, diakhiri dengan dendangan lagu Chaiyya Chaiyya, Urvasi Urvasi dan Vande Mataram.

Konsert lebih tiga jam itu berakhir pada kira-kira pukul 11.50 malam.

AR Rahman memulakan kariernya dalam bidang seni pada tahun 1992, dan sejak itu beliau menjadi salah seorang ahli muzik paling berpengaruh dan berjaya di India, malah pernah memenangi dua Anugerah Akademi bagi skor muzik dan lagu terbaik pada 2009 bagi sentuhan muziknya untuk filem Slumdog Millionaire arahan Danny Boyle.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

tony fernandes airasia-2020

Santan Perkenal Lebih Banyak Pilihan Menu Yang Enak Pada Tahun 2023

ALIFF BELLA

Bella Astillah Dedah Ada Heroin Drama Jatuh Cinta Dengan Aliff Aziz