Melalui sebuah acara siaran langsung ‘Time Flies’ oleh Apple pada awal pagi ini yang berlangsung di Steve Job Theater, Apple telah melancarkan dua produk utama dan Apple Watch adalah salah satunya. Apple Watch kali ini bukan sahaja terdiri daripada Apple Watch Series 6, tetapi Apple Watch SE yang lebih berpatutan. Jam tangan pintar khas dari Apple ini hadir dengan penawaran naik taraf spesifikasi yang lebih baik dari generasi terdahulu.
Selain berkongsi tentang produk terbaharu Apple Watch Series 6, Apple juga turut memperkenalkan iPad Air.
Kita bercakap dulu tentang pembaharuan yang ada pada Apple Watch Series 6. Dari segi rekaan, Apple masih mengekalkan rekaan sama seperti Apple Watch Series 4 dan Series 5.
Menerusi pengumuman yang dibuat, Apple Watch Series 6 menambahkan beberapa sensor baharu termasuk Blood Oxygen yang membolehkan pemantauan kadar oksigen dalam darah, SpO2 dan penjejakan waktu tidur yang lebih baik.
Ia menggunakan algoritma tersendiri bersama-sama dengan pencahayaan infrared. Dengan penambahan data terbaru ini, ia terus memudahkan pengguna untuk kekal sihat dan mengetahui keadaan badan semasa menggunakan jam tangan pintar ini.
Apple Watch Series 6 dijana dengan cip S6 dwi-teras berasaskan kepada Apple A13 Bionic dan dioptimasikan untuk jam tangan pintar.
Menurut Apple, Series 6 boleh mengukur tahap kadar oksigen dalam darah hanya sekitar 15 saat dengan menggunakan lampu infrared. Apple turut bekerjasama dengan dengan pasukan kesihatan bagi menambah fungsi ini, termasuk menguji jika ia boleh mengesan tanda-tanda awal seseorang dijangkiti COVID-19.
Apple Watch Series 6 hadir dengan pemproses S6 baharu, yang menjanjikan prestasi 20% lebih pantas berbanding pendahulunya, Series 5. Pemproses ini adalah berasaskan cip A13 Bionic.
Apple turut mengatakan ia menawarkan skrin yang lebih ditambah-baik – yang lebih cerah ketika dibawah cahaya matahari. Sejumlah pilihan Watch Face turut ditambah bersama-sama dengan siri jam tangan pintar baharu ini, untuk memudahkan lagi pengguna menyesuaikan penggunaan jam berdasarkan gaya hidup mereka. Antara Watch Face baru adalah termasuk Memoji Face, GMT Face, dan beberapa yang lain.
Series 6 boleh didapati dengan 4 pilihan warna yang terdiri daripada Gold, Graphite, Blue dan Product (RED). Sebagai tambahan, Apple turut mengumumkan tali jam baharu yang diperbuat daripada silikon dengan rekaan seperti gelang getah. Apple memperkenalkan tali jam itu sebagai Solo Loop.
Dengan adanya Solo Loop ini nampaknya anda tidak memerlukan anda menghubungkan dua tali berbeza seperti kebiasaan. Ini sekaligus menjadikannya lebih selesa untuk dipakai untuk sejumlah aktiviti tanpa perlu risau ia akan tertanggal dan sebagainya.
Tali jam ini didatangkan dengan 7 pilihan warna. Terdapat juga versi braided yang diperbuat daripada benang dengan 5 pilihan warna serta tali jam kulit.
Apple Watch Series 6 menjalankan WatchOS 7 yang diumumkan di WWDC pada awal tahun ini. Kemas kini turut tersedia kepada semua model Series 3 dan ke atas dengan membawakan sokongan penjejakan tidur dan sebagainya.
Dalam pada itu, Apple turut memperkenalkan ciri baharu Family Setup, yang membolehkan penjaga menetapkan Apple Watch bagi jagaan mereka yang tidak mempunyai iPhone. Bagaimanapun, ciri Family Setup ini hanya didatangkan pada model Apple Watch versi selular.
Apple Watch Series 6 hadir dengan dua pilihan saiz iaitu 40mm dan 44mm serta ditawarkan pada harga bermula RM1,749.
Seperti operasi biasa selepas pelancaran produk Apple, laman web Apple akan terus dikemas kini dengan harga rasmi di pasaran negara tertentu. Begitu juga dengan pasaran Malaysia. Apple kini memaparkan harga rasmi untuk Apple Watch Series 6 dan Apple Watch SE.
Apple Watch Series 6 hadir dengan harga bermula pada RM1,749. Terdapat pelbagai penawaran tali jam yang menarik kali ini seperti yang anda boleh lihat pada beberapa varian dalam gambar di bawah. Anda pasti teruja melihat lebih banyak pilihan di laman web rasmi Apple Malaysia.
Harga tertinggi untuk Apple Watch Series 6 adalah RM3,499.
Apple Umum Pengecas USB untuk Apple Watch Tidak Disertakan Bersama
Melalui acara pelancaran Apple pada awal pagi 16 September, mereka tidak akan menyertakan pengecas USB (adapter) dalam kotak Apple Watch baharu.
Perkara ini diumumkan oleh Apple sendiri. Tambah mereka, langkah ini disifatkan sebagai langkah untuk menyelamatkan alam sekitar.
Hal ini sebenarnya tidak mengejutkan memandangkan kami pernah melapor mengenai Apple yang mungkin menjual pengecas siri iPhone 12 secara berasingan.