Setelah sekian lama khabar angin tentang AirPods baharu berlegar-legar di internet, Apple akhirnya melancarkan AirPods generasi ketiga (Gen 3). Seperti desas-desus sebelum ini, AirPods Gen 3 tampil rekaan mirip AirPods Pro tetapi mempunyai sedikit kekurangan ciri-ciri yang ada pada model Pro.
Apple Lancar AirPods Gen 3
AirPods Gen 3 merupakan fon telinga jenis open-ear yang mana ia tidak hadir putik telinga silikon seperti mana AirPods Pro. Selain itu, ia juga tiada fungsi pembatalan hingar aktif (ANC).
Pun begitu, AirPods Gen 3 masih lagi dilengkapi Spatial Audio, sokongan Dolby Atmos dan hadir dengan Adaptive EQ – melaras bunyi audio masa nyata berdasarkan cara pengguna memakai AirPods.
Tambahan lagi, fon telinga tanpa wayar ini juga mempunyai perlindungan IPX4 yang mana kalis peluh dan air, bateri lebih tahan lama berbanding AirPods Gen 2, AAC-ELD yang menawarkan kualiti suara lebih jelas dan bekas simpanan dengan sokongan pengecasan MagSafe.
Harga jualan baginya adalah RM829 dan mungkin akan tiba di Malaysia tidak lama lagi.
MacBook Pro Baharu Dilancar
Selain melancarkan AirPods Gen 3, Apple turut memperkenalkan MacBook Pro baharu. Apple turut melancarkan MacBook Pro 14.2-inci dan MacBook Pro 16.2-inci. Ia adalah variasi lebih berkuasa menyasarkan penggunaan golongan profesional. Kedua-dua komputer riba ini dijana dengan cip Apple M1 Pro untuk memori sehingga 32GB RAM dan cip Apple M1 Max untuk memori sehingga 64GB RAM.
Bukan sahaja komputer riba ini dilengkapi “nadi” baharu M1 Pro dan M1 Max, ia juga menampilkan rekaan sedikit berbeza berbanding barisan MacBook yang lain.
Model Pro kali ini memang sesuai dengan namanya. Ia dilengkapi paparan Liquid Retina XDR dengan teknologi mini LED, sama seperti yang digunakan pada iPad Pro. Paparannya mampu menawarkan kecerahan 1000nits dengan maksimum 1600nits, resolusi 3456×2234 dan menyokong ProMotion 120Hz.
Selain itu, bagi memberikan skrin lebih luas, MacBook Pro juga mempunyai takuk di mana menempatkan kamera beresolusi 1080p.
Tambahan lagi, ia juga akhirnya lebih berbaloi dan bermakna buat golongan profesional yang menggunakan MacBook Pro untuk kerja-kerja penyuntingan.
Hal ini kerana MacBook Pro telah kehilangan Touch Bar dan digantikan kekunci tradisional. Pengecasan MagSafe 3 juga akhirnya kembali ke pangkuan MacBook bersama-sama HDMI, port Thunderbolt 4, bicu audio dan pembaca kad SDXC.
Lain-lain adalah jangka hayat bateri lebih lama, storan dalaman sehingga 8TB, memori sehingga 64GB RAM serta 6 sistem pembesar suara dengan spatial audio.
MacBook Pro 14 inci dijual pada tanda harga bermula RM8799 dan MacBook Pro 16 inci pula bermula RM10799.
M1 Pro Dan M1 Max Diumum
Apple sebentar tadi mengumumkan cip pemproses terbaru M1 Pro dan M1 Max. Mereka mendakwa ia merupakan cip paling berkuasa pernah dihasilkan Apple.
Kedua-duanya masih menampilkan seni bina ARM dengan pemproses 5nm tetapi Apple menjanjikan prestasi jauh lebih baik berbanding terdahulu.
M1 Pro hadir dengan 10 teras CPU yang merangkumi 8 teras prestasi tinggi dan 2 teras kecekapan. Dipadankan dengan 16 teras GPU, menyokong memori sehingga 32GB RAM dengan kelajuan sehingga 200GB/s.
Sementara M1 Max adalah dua kali ganda daripada M1 Pro. Terbina di dalam 10 teras CPU yang sama, 32 teras GPU yang prestasinya 7 kali ganda lebih pantas tetapi lebih kurang penggunaan tenaga dan menyokong memori sehingga 64GB RAM serta kelajuan 400GB/s.
Selain itu, kedua-dua cip tersebut juga didatangkan dengan fungsi memproses video ProRes lebih pantas. Namun, masih mengekalkan penggunaan tenaga pada tahap minimum.
M1 Pro dan M1 Max masing-masing adalah nadi utama kepada komputer riba terbaharu Apple, iaitu MacBook Pro 14 inci dan MacBook Pro 16 inci.
Dengan ini, Apple semakin hampir melakukan peralihan penuh penggunaan cip Apple Silikon.