Bersama-sama pengenalan iPhone baru, Apple turut mengumumkan fokus terhadap menjadi syarikat yang lebih mesra alam dan mengurangkan pembaziran. Selari dengannya, Apple mengumumkan yang mana mereka tidak lagi akan menyertakan pengecas dan juga fon telinga bersama-sama pembelian iPhone baru.
Difahamkan ‘usaha’ Apple untuk tidak lagi menawarkan palam pengecasan dan EarPods bersama model keluaran iPhone 12 adalah sebagai salah satu cara Apple selamat bumi dengan mengurangkan penggunaan karbon.
Apple Tidak Lagi Akan Menyertakan Pengecas Dan Fon Telinga Bersama Dalam Kotak iPhone
Pihak Apple mengatakan sudah sedia terdapat lebih 2 bilion penyesuai kuasa di dunia pada hari ini, dan menyertakan lagi bersama peranti mereka adalah sebuah pembaziran.
Selain itu, ketiadaan palam pengecasan dan EarPods secara tidak langsung membolehkan Apple mengurangkan kos pengeluaran sesebuah iPhone 12 sekaligus menawarkan harga yang lebih kompetitif buat para pengguna.
Langkah yang dibuat Apple ini mungkin kurang menyenangkan ramai melihatkan para pengguna nampaknya terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan palam pengecas yang pastinya keperluan untuk setiap telefon pintar.
Kini, dengan pembelian keluarga siri iPhone 12, ia akan hadir bersama kabel USB-C ke Lightning sahaja. Walaupun kepala penyesuai kuasa dan fon telinga tidak lagi hadir bersama, ia masih boleh dibeli secara berasingan. Langkah ini juga mungkin membuatkan pengguna beralih ke aksesori nirwayar mereka.
Selain pada model iPhone 12, Apple juga tidak menyertakannya lagi pada model iPhone SE, iPhone 11 dan juga iPhone XR.
Apple Menawarkan Siri iPhone 12 Bersama Fon Telinga Dalam Kotak Hanya Di Negara Perancis
Apple telah mengatakan mereka tidak lagi akan menyertakan kepala pengecas dan fon telinga EarPods dalam kotak – salah satu usaha mengurangkan kesan pencemaran karbon, selain mana mengalakkan pengguna menggunakan kepala pengecas dan fon telinga sedia ada.
Apa pun, sedikit pengecualian dilihat berlaku hanya untuk di Perancis. Apple akan kekal menyertakan EarPods dengan sambungan Lightning untuk pasaran berkenaan.
Ia diperkatakan Apple menyertakannya disebabkan oleh perundangan di Perancis, namun tidak dapat dipastikan perundangan manakah secara khususnya.
Jadi, sekiranya anda terbeli sebarang set iPhone 12 yang menyertakan sambungan fon telinga didalamnya, maka anda boleh ketahui yang set yang anda beli adalah set Perancis.