Peranti penjejak barang?…”Kelakar..” Ujar bangsa anti-Apple.
Ya saya tahu dah banyak jenama lain sudah menghasilkan penjejak barang yang sama…
Namun pada saya, Apple Airtag bukan sekadar peranti penjejak barang yang biasa.. ia lebih dari itu. Saya yakin, Airtag merupakan strategi penting buat Apple yang akan menjadi ikutan buat jenama-jenama lain dalam ekosistem mereka.
Baca sehingga habis, saya akan cuba untuk menceritakan pandangan saya dengan lebih menyeluruh.
Bagaimana Apple Airtag Berfungsi
Secara mudahnya Airtag adalah peranti penjejak berbentuk bulat, seperti lencana sekolah. Anda boleh melekatkan peranti ini pada mana-mana barang mahupun haiwan peliharaan seperti kucing.
Untuk memberikan gambaran yang lebih jelas, Apple Airtag berfungsi dalam 3 cara iaitu Find My Thing, Precision Finding dan Find My Network.
Find My Thing – Apple Airtag akan menggunakan aplikasi tersedia ‘Find My’, anda dapat melihat lokasi barang tersebut secara langsung melalui sambungan Bluetooth.
Contohnya saya terlupa dimana saya letak kunci kereta saya. Jika kunci saya berada dalam liputan sambungan Bluetooth, saya boleh mengaktifkan bunyi untuk menjejaki lokasi kunci tersebut.
Saya juga boleh meminta pertolongan dari Siri untuk membantu saya mencari kunci kereta yang hilang.
Precision Finding – Apple Airtag dilengkapi dengan cip UI yang menggunakan sambungan Ultra Wideband untuk memberikan lokasi yang lebih tepat.
iPhone saya akan menggabungkan data yang diambil dari kamera, fungsi ARKit, Accelerometer dan Gyroscope untuk mempamerkan visual dan tidak balas haptik untuk memandu saya kearah lokasi kunci kereta tersebut.
Ambil contoh paling mudah, iaitu aplikasi permainan Pokemon Go dimana pengguna diberikan panduan hala tuju ke destinasi atau lokasi yang telah ditetapkan.
Macamana Pula Jika Barang Saya Diluar Jangkauan Bluetooth?
Inilah bahagian yang menarik perhatian saya, dimana Airtag akan menghubungkan kunci kereta bersama iPhone melalui Find My Network.
Airtag akan menggunakan sambungan dari iPhone ke iPhone yang lain sebagai batu loncatan untuk memberikan signal lokasi kepada iPhone pemilik Airtag tersebut.
Contohnya, kunci saya tertinggal di ofis. Airtag akan memancarkan signal Bluetooth kepada pengguna iPhone lain di sekitar atau yang berdekatan. Signal ini akan melompat lompat ke iPhone lain sehinggalah signal tersebut sampai ke iPhone saya.
Hubungan diantara iPhone ke iPhone melalui Find My Network ini berjalan secara latar belakang tanpa sedar (end-to-end encrypted). Hanya saya seorang sahaja yang tahu dimana lokasi sebenar kunci saya.
Saya juga boleh mengaktifkan tetapan Lost Mode dan pengguna iPhone yang berada berhampiran kunci yang dilekatkan Airtag tersebut akan menerima notifikasi tentang kunci saya yang hilang.
Adakah Airtag Saya Boleh Dicuri Jika Ia Dijumpai Oleh Orang Lain?
Disinilah Apple Airtag berbeza dengan penjejak yang lain kerana setiap Airtag mempunyai kod siri yang tersendiri yang tidak boleh dicuri oleh orang lain.
Menurut satu artikel dari Fast Company melalui satu temuramah bersama Naib Presiden Pemasaran Produk Apple iaitu Kaiann Drance, mereka menggunakan teknologi Activation Lock yang sama digunakan pada iPhone.
Ini bermakna tiada siapa pun yang boleh hijack Airtag milik orang lain malah tiada siapa yang boleh mengakses butiran peribadi pemilik Airtag melainkan pemilik tersebut mengaktifkan Lost Mode.
Sesiapa yang menjumpai Airtag tersebut boleh imbas menggunakan fungsi NFC yang ada pada iPhone mereka dan kemudian dibawa ke laman Apple Support. Dari situ individu yang menjumpai boleh menghubungi pemilik sekiranya pemilik menyertakan nombor telefon untuk dihubungi.
Maknanya Airtag Ini Boleh Dijadikan Alat Untuk Indvidu Tidak Bertanggungjawab Menjejaki Individu Lain?
Isu (stalking) ini sudah dibangkitkan sejak awal ia diperkenalkan tetapi pihak Apple sudah sedia maklum tentang perkara ini lebih awal.
Contohnya jika saya mahu stalk Nora Danish, saya hanya perlu letakkan Airtag yang sangat kecil ini ke dalam beg atau kereta Nora untuk melihat lokasi rumah beliau.
Mudah kan? ….Tak semudah itu
Nora Danish akan diberikan notifikasi “AirTag Found Moving With You†jika terdapat Airtag asing yang tidak dipadankan dengan Apple ID miliknya.
Pihak Apple turut mengambil kira pengguna bukan iPhone. Jika Nora Danish menggunakan Samsung, Airtag akan berbunyi secara automatik dalam masa 3 hari jika Airtag tersebut berada di luar kawasan sambungan bersama iPhone pemilik.
Durasi bunyi penggera boleh diubah melalui kemaskini oleh Apple kelak. Tetapi ia tetap membuka ruang untuk aktiviti intipan. Mungkin Apple perlu melihat perkara ini dengan lebih mendalam dengan segera. Alat canggih ini sudah boleh dibeli pada harga RM129. Malangnya ia tidak didatangkan bersama aksesori tambahan seperti keychain untuk dilekatkan ke barang lain.
Peranti ini turut memiliki kalis air IP67. Menurut apple bateri yang digunakan adalah jenis CR2032 yang boleh didapati di mana-mana kedai dan mampu bertahan lebih kurang setahun sebelum bateri ditukar.
Apple Airtag, Bukan Yang Pertama
Seperti yang saya katakan pada awal tadi, Samsung adalah jenama telefon pintar yang terawal memperkenalkan peranti penjejak barang pada awal tahun ini. Jadi untuk mengatakan jenama lain akan meniru Apple adalah kurang tepat. Saya faham tentang hal ini.
Tetapi, jika anda melihat dengan lebih terperinci berkenaan Samsung SmarTag, ia membawa banyak persoalan terutamanya berkenaan isu keselamatan. Yang pertama, bagaimana untuk mengelak daripada ia digunakan oleh ‘stalker’?
Baru-baru ini, Samsung telah membawakan kemaskini dimana pengguna boleh imbas diri mereka sendiri menggunakan aplikasi di telefon Samsung SmarThing’s Find untuk mengesan SmarTag jika diekori.
Tak masuk akal!
Bagaimana seseorang individu tersebut tahu dia sedang diekori, malah bagaimana pula jika dia tidak menggunakan telefon pintar Samsung?
Kedua, apa tindakan yang diambil oleh Samsung jika peranti penjejak tersebut berada diluar jangkauan sambungan Bluetooth?
Tidak seperti Airtag, peranti penjejak dari Samsung ini seakan-akan dicipta hanya untuk jadi ‘yang pertama’ dan kemudiannya dilupakan begitu sahaja-separuh masak.
Jadi, ini jelas menunjukan, walaupun Apple bukanlah yang pertama dipasaran, tetapi Apple adalah yang pertama mengeluarkan peranti yang sudah ‘ranum’ untuk pengguna. Oleh sebab itu saya mengatakan bahawa, jenama lain akan ‘meniru’ Apple..bukan Samsung
Bukan Sekadar Penjejak Barang
Saya percaya Apple Airtag ini adalah lebih dari sekadar penjejak barang. Naluri saya kuat mengatakan ini adalah strategi Apple untuk memperkukuhkan ekosistem yang sedia ada.
Saya juga berpendapat Airtag bukan hanya digunakan sebagai alat untuk melengkapi ekosistem malah ia adalah langkah ‘next big thing‘ bagi syarikat Apple.
Melalui Apple Airtag, Apple akan memiliki data lokasi penggunanya yang lebih luas dan menyeluruh. Banyak perkara yang dapat dilakukan melalui data lokasi pengguna.
Saya tidak merasakan Apple menggunakan data lokasi pengguna sebagai alat pemasaran seperti Facebook, kerana ia adalah tindakan yang tidak bermoral. Saya percaya Apple bukan syarikat yang mahu mengambil kesempatan melalui cara ini.
Saya sangat yakin bahawasanya ini merupakan langkah Apple yang seterusnya untuk mengembangkan teknologi AR Kit mereka. Sepertimana yang kita tahu lokasi diantara pengguna dan apa yang berada dihadapan, adalah penting untuk tekonologi AR.
Apabila Apple mempunyai peranti yang boleh memberikan titik lokasi dan jarak (menghasilkan koordinat) dalam dunia nyata, ia akan memudahkan mereka untuk menghasilkan ‘sesuatu’ dalam bentuk AR dengan lebih tepat.
Pembangunan teknologi AR pada ketika ini lebih banyak menggunakan data melalui peta dan GPS. Jadi jika Apple mempunyai peranti penjejak lokasi dipadankan pula dengan teknologi AI, AR Kit dan sensor LiDAR yang ada pada iPhone, ia membuka lebih banyak peluang dan kemungkinan.
Ya memang ia dilihat masih remeh dan mentah, tetapi percayalah Airtag merupakan satu peranti yang bakal merubah teknologi AR dan akan menjadi ikutan pada masa hadapan.
*Sumber: Wiser