Syabas buat Hujan!
Vokalis Hujan, Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh.
BAND indie Hujan mempertaruhkan dua album popularnya, Hujan dan Pagi Yang Gelap untuk mendahului pencalonan Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 dalam enam kategori utama. Enam kategori utama tersebut ialah persembahan vokal terbaik dalam lagu (dua atau kumpulan baru terbaik), duo atau kumpulan terbaik, lagu terbaik, album terbaik, artis Malaysia paling popular berdasarkan SMS serta artis serantau paling popular berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ini diikuti oleh bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Aizat dengan empat pencalonan utama. Penyanyi berbakat ini bersandar kepada dua lagunya, Hanya Kau Yang Mampu dan Percubaan Pertama.
Aizat dicalonkan dalam kategori persembahan vokal terbaik dalam lagu (artis baru lelaki), artis lelaki terbaik, album terbaik dan artis Malaysia paling popular berdasarkan SMS.
Pengarah Urusan Beyond Events Sdn. Bhd., Amin Hussen berkata, program itu bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi ianya juga menyediakan satu peluang kepada penggiat muzik serantau bergabung atas satu misi, iaitu muzik.
Menurutnya, anugerah tahunan kali kesembilan yang berprestij dan gilang-gemilang itu melibatkan pemuzik-pemuzik dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.
“Anugerah Planet Muzik merupakan platform terbaik untuk mengukur kehebatan, memperjuangkan hasil kerja, memperdengarkan kualiti muzik ke negara lain. Anugerah ini juga membantu para penggiat muzik membawa muzik serantau dari tiga negara ke satu destinasi!” katanya pada sidang akhbar pengumuman finalis kategori-kategori APM 2009 di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul dan Pengarah Program Radio Warna, Media Corp., Isadhora Mohamed. Media Corp. Radio – Ria 89.7FM dan Warna 94.2FM – serta Beyond Events Sdn. Bhd. merupakan penganjur bersama APM 2009.
Ia turut mendapat kerjasama dan sokongan padu seperti tahun-tahun dahulu daripada Music Award Foundation (Yami) Singapura dan Sound Recording Industry Association of Indonesia (ASIRI). Ia iiktiraf sebagai satu-satunya anugerah muzik Melayu serantau yang diadakan pada skala sebesar.
Sebanyak 18 kategori anugerah dipertandingkan dan ini termasuk sembilan kategori terbaik, tujuh anugerah paling popular selain dua kategori khas, iaitu Anugerah Cinta Planet Muzik dan Anugerah Khas Planet Muzik. Amin memberitahu, anugerah tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada para penggiat industri muzik tanahair dengan jumlah keseluruhan pencalonan meningkat melebihi 50 peratus pada tahun ini.
“Jumlah pencalonan meningkat daripada 108 pada tahun lalu kepada 177 tahun ini. Ini membuktikan anugerah ini masih utuh dan kredibilitinya dipercayai,” katanya sambil menambah APM berjaya menawan lebih 100 juta orang penonton tahun lepas.
Undian untuk kategori popular boleh dilakukan melalui SMS dan maklumat lanjut mengenainya boleh didapati di tabloid Kosmo! tidak lama lagi.
Ia juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro 104 – Astro Ria.
APM 2009 bakal diadakan pada 18 Julai 2009 (Sabtu) dan bertempat di Balai Sidang Konvensyen Jakarta, Senayan dari 8 malam hingga 11 malam (waktu Jakarta).
Pengacara ialah Aznil Nawawi dan selebriti itu bakal bergabung dengan pengacara dari luar negara pada malam APM tersebut. [sumber]