Pemilihan peranti teknologi hari ini sebenarnya lebih cenderung untuk memilih suatu peranti atau jenama yang menawarkan ekosistem pintar memandangkan ia memudahkan pengguna dan tidak perlu melakukan pemindahan data berkali-kali sebaliknya semua peranti boleh mengakses fail yang sama.
Pengguna hari ini melihat bahawa kaedah ‘copy and paste’ atau ‘downloadable procedure’ sebagai sesuatu yang meremehkan kerana mereka perlu menyimpan data di satu lokasi dan mengakses data berkenaan di peranti lain dengan kaedah muat turun.
Oleh itu, berdasarkan pemerhatian penulis termasuk sokongan fakta tinjauan daripada sebuah firma penilai terkemuka melihat bahawa produk keluaran Apple mempunyai kelebihan tersendiri bukan saja daripada aspek kemajuan spesifikasi malah keupayaan untuk melakukan ‘penyamaan data’ tanpa perlu muat turun.
Ekosistem pintar yang dimiliki oleh semua produk Apple menjadikan jenama berkenaan kekal sebagai antara produk yang menawarkan pengalaman mesra pengguna malah setiap nota, data, gambar, video yang disimpan di dalam telefon pintar boleh diakses menerusi peranti lain seperti iPad atau MacBook.
Pengguna hanya memerlukan daftar masuk dalam sistem awanan (iClouds) menggunakan identiti yang sama dan mereka boleh melakukan penyelarasan bersilang dengan semua peranti termasuk iPhone, iPad atau MacBook.
Data yang tersimpan di dalam satu peranti akan boleh diakses oleh semua peranti tanpa perlu melakukan penyimpanan dan muat turun beberapa kali yang pastinya membazir tenaga dan masa.
Ekosistem pintar tawaran Apple ini nyata mengubah landskap tugasan harian penulis apabila setiap data hanya disimpan dalam satu peranti namun masih boleh diakses oleh peranti lain yang turut menggunakan storan awanan yang sama.
Pengguna hari ini tidak hanya bergantung kepada spesifikasi sesebuah peranti untuk melakukan pilihan sebaliknya mereka lebih bijak dengan melakukan pilihan peranti yang menawarkan sistem ekosistem yang terbaik.
Peranti pintar hari ini digunakan untuk pelbagai tugasan dan sudah pastinya pengguna mahukan sesuatu peranti yang boleh diselaraskan bersama peranti lain dengan mudah.
Ia adalah ciri pemilihan baharu bagi pengguna masa kini termasuk penulis memandangkan peranti tidak hanya bergantung kepada keupayaan spesifikasi sebaliknya ekosistem menyeluruh yang ditawarkan.
Pengguna juga tidak perlu bimbang jika MacBook mereka tertinggal di rumah sedangkan mempunyai nota pembentangan kerana nota sama boleh diakses menerusi iPhone atau iPad sekali gus memudahkan tugas produktiviti pengguna.
Keupayaan sistem penyelarasan awanan milik Apple ini sememangnya menjadi kekuatan buat jenama berkenaan kerana mereka bukan saja menawarkan kualiti produk premium sebaliknya akses ekosistem yang terbaik setakat ini jika dibandingkan dengan ekosistem lain.
Sumber: BH Online