Andai berbicara soal pantai-pantai terindah, Asia Tenggara pasti tersenarai dalam pilihan para pelancong asing. Dengan itu kita sebagai rakyat Malaysia harus mengambil kesempatan di atas kelebihan ini kerana selain pantai-pantai indah di negara kita, terdapat juga pantai-pantai negara jiran yang berdekatan.
Di antara pantai peranginan di luar Malaysia yang sering menjadi tumpuan rakyat negara kita adalah pantai-pantai di Thailand seperti Phuket dan Krabi, serta Bali dan Lombok di Indonesia. Namun ramai rakyat Malaysia sebenarnya yang kurang tahu tentang sebuah pulau milik Indonesia yang terletak berdekatan dengan Singapura. Pulau yang dimaksudkan adalah Pulau Bintan, sebuah pulau yang menawarkan percutian berkonsep mewah buat para pengunjungnya.
Pulau yang termasuk dibawah provinsi Kepulauan Riau Indonesia ini terletak hanya sejam dari Singapura dengan menaiki feri dan ia sedang giat dipromosi oleh kerajaan Indonesia sebagai destinasi pelancongan yang menarik selepas Bali. Malah terdapat banyak pilihan feri untuk para pelancong. Sekiranya anda inginkan pengalaman feri yang lebih ekslusif, anda boleh memesan tempat duduk di Emerald Class dengan perkhidmatan feri Bintan Resorts. Sejumlah besar feri dari Singapura akan berhenti di pelabuhan atau Bandar Bentan Telani. Ini kerana kesemua hotel dan resort utama Bintan terletak berdekatan dengan pelabuhan tersebut.
Dan sekiranya tercari-cari tempat untuk menginap, pastikan Bintan Lagoon Resort menjadi pilihan utama anda. Resort yang terletak di tepi pantai ini sangat sesuai untuk mereka yang masih bujang ataupun berkeluarga. Dengan pemandangan pantai serta lautan yang indah, para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik. Malah ia merupakan resort yang mempunyai kawasan terbesar di Pulau Bintan.
Dilengkapi dengan aneka pilihan bilik-bilik selesa menghadap lautan dan taman, para pengunjung bebas bersantai semahu hati masing-masing. Sekiranya tidak mahu mencecahkan kaki ke dalam lautan, apa kata berenang sahaja di kolam renang yang tersedia sambil menikmati minuman di sebelahnya.
Buat anda yang suka mencuba makanan yang lazat di kawasan hotel, anda boleh singgah di Flavours Cafe yang menghidangkan pelbagai menu tempatan dan antarabangsa yang menarik. Ada juga restoran Jepun, Miyako untuk tamu yang sukakan makanan asli dari negara matahari terbit itu. Selain itu ada juga Mojo Cafe, The Terrace dan Silk, sebuah pusat disko atau ‘discotheque’ buat yang suka menari dan berhibur. Tersedia juga Fairway Cafe di Golf Clubhouse mereka.
Untuk suasana yang lebih menarik, tamu juga boleh menjamu selera di Rice, sebuah restoran yang menyajikan hidangan lazat di tepi pantai dan juga Ripples by The Pool untuk persekitaran di tepi kolam renang.
Seperti kebanyakan resort berkeluasan besar, ia juga mempunyai dewan besar serta ruangan khas buat acara tertentu bagi mesyuarat serta majlis-majlis besar yang lain.
Seperti kebanyakan tempat penginapan di pantai anda boleh beriadah di gymnasium ataupun mencuba sukan air yang ada tersedia (seperti jetski, menyelam, sukan kanu dan macam-macam lagi). Terdapat juga padang golf, tennis serta laluan khas bagi mereka yang suka berlari serta bersenam. Buat yang sudah bercahaya mata, anak-anak anda boleh bermain di taman permainan atau bermain boardgames di Kids Club.
Para tamu juga boleh memilih untuk turut serta dalam aktiviti lain seperti mengecat batik, menaiki ATV dan macam-macam lagi. Pendek kata resort ini memang sesuai buat penginapan di tepi pantai. Apalagi dengan kedudukannya yang sangat strategik iaitu hanya 20 minit dari pelabuhan Bentan Telani, ketenangan flora dan fauna di persekitarannya pasti mendamaikan setiap yang berkunjung ke sini.
Untuk aktiviti di luar resort pula, para pengunjung Pulau Bintan boleh menerokai tempat-tempat menarik di sekitar ibukota Bintan. Perjalanan dari kawasan peranginan Bintan ke Tanjung Pinang (ibukota Bintan) adalah sekitar satu jam. Selain daripada aktiviti yang berunsurkan alam semulajadi seperti menjelajah kawasan paya bakau untuk penjelajahan-eko (ecotour), para pengunjung juga boleh melawat kawasan bersejarah seperti Pulau Penyengat yang menempatkan makam diraja dari zaman Kesultanan Riau.
Tidak jauh dari situ juga adalah Senggarang, sebuah kawasan penempatan komuniti Cina yang fokus kepada industri perikanan dan nelayan. Kawasan itu mirip seperti Kampung Ayer di Brunei di mana penduduknya tinggal di atas rumah-rumah yang dibina di atas air laut.
Ada banyak lagi tarikan di Tanjung Pinang seperti Pasar Oleh-Oleh, Pusat Penyimpanan Penyu, dan macam-macam lagi. Pendek kata Bintan memang satu destinasi pelancongan menarik yang harus diterokai oleh rakyat Malaysia sekiranya inginkan kelainan dari percutian pantai yang sudah sering dikunjungi.
Jalan-jalan di Bintan
oleh Shah Shamshiri