Pada 10 Mac 2016, hari Khamis yang lalu, Budiey sempat menghadiri majlis pelancaran Ariani X Siti Nurhaliza, di Hotel Royale Chulan. Wow, sangat meriah ya acara pertunjukan fesyen dan pelancaran koleksi terbaru tudung Ariani X dan pelancaran koleksi busana terbaharu dari jenama pakaian Creacion By Siti Nurhaliza ini.
Budiey nak ucapkan tahniah kepada kedua-dua jenama ini iaitu Ariani X dari Jakel dan buat Dato’ Siti Nurhaliza yang melancarkan Creacion By Siti Nurhaliza. Sesuatu yang bukan mudah ya untuk mencapai dan merealisasikan cita-cita ini. Ya, satu sejarah tercipta pada hari tersebut… Selepas berjaya dengan produk kosmetik, Simply Siti, Datuk Siti Nurhaliza melancarkan pula jenama pakaiannya yang diberi nama Creacion By Siti Nurhaliza. Semua peminat dah tak sabar nak beli katanya.
Sebelum bermula acara, Budiey sempat merakam beberapa telatah tetamu yang hadir di luar dewan. Acara dimeriahkan dengan celoteh dari pengacara iaitu Dee Jangan Ketawa. Di ruang legar yang luas, Budiey sebenarnya tak menjangkakan acara menjadi semeriah dan segempak ini. Ramai juga artis yang datang. Tetamu juga bukan sebarangan ya, ada Dato’ Datin, VVIP serta yang paling gempak apabila 100 orang peminat setia Dato’ Siti Nurhaliza juga turut dijemput untuk menyaksikan sejarah ini.
Selain tetamu yang semua datang dengan wajah super duper excited, acara ini siap ada anugerah diberikan kepada tetamu paling awal datang. Tahniah buat Zazreena yang menjadi orang yang pertama hadir. Juga kepada pemenang tetamu paling gojes dan yang paling stylo. Kesian juga apabila dikatakan tiada lelaki yang stylo. Padahal ada jer tetamu lelaki yang memakai dengan smart, kacak, bergaya dan maskulin stylo kan?
Jam 3 petang, semua tetamu dibenarkan masuk dan duduk mengisi tempat duduk yang disediakan. Seperti yang diduga, bentuk dewan dibelah dua di mana ada pentas runaway di tengah-tengah.
Acara dimulakan dengan ucapan dari Pengarah Pemasaran Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn Bhd, Datin Farah Haryani Muhamad Philip bagi ucapan. Sangat ringkas dan padat ucapannya. Yang penting, orang kuat di sebalik kejayaan Ariani ini sangat jelita dan berkaliber orangnya walaupun nampak lemah lembut tapi berjiwa besar.
Menurut Datin Farah Haryani Muhamad Philip, beliau berkata:
“Dengan pemilihan Dato’ Siti Nurhaliza sebagai IKON ARIANI 2016, kami bermatlamat untuk menjadikan ARIANI sebagai hub jenama tudung yang eksklusif tetapi mampu milik dan menjadi pilihan utama untuk seluruh wanita yang berhijab di Malaysia dan serantau. Di samping dapat membawa imej ARIANI sesuai digayakan untuk semua golongan dan peringkat usia. Seperti aura Dato’ Siti Nurhaliza yang sentiasa mendapat tempat di hati kebanyakan peminatnya, seperti itu jugalah hasrat ARIANI untuk membawa jenama ini mendapat tempat di hati semua wanita.”
Selepas ucapan, tiba masa yang ditunggu iaitu pertunjukan fesyen yang melibatkan koleksi terbaharu selendang dan tudung instant yang cukup eksklusif. Diperbuat dari fabrik chiffon dan bubble georgette yang cukup berkualiti tinggi.
Kesemua koleksi ini dihasilkan dengan sentuhan tiga elemen utama yang merangkumi exclusivity, modesty dan contemporary yang menjadi nadi kepada penstrukturan selendang dan tudung koleksi ini. Sebanyak enam jenis koleksi tudung instant dan selendang telah diperkenalkan sempena kempen kolaborasi ini yang merangkumi Selendang Malvina, Instant Naureen, Instant Madeena, Instant Avelyn, Instant Raina dan juga Instant Erina. Ke semua pakaian dan yang dikeluarkan hasil kolaborasi bersama Ariani dengan kerjasama Jakel.
Yang sangat menarik apabila gaya tudungnya sangat ringkas tapi nampak gah apabila dipakai oleh sesiapa sahaja dengan pelbagai warna terutama Budiey nampak banyak warna pastel dan terang pun ada.
Apa yang menarik Budiey ialah, muzik latar rata-ratanya adalah dari lagu Dato’ Siti Nurhaliza. Seorang penyanyi terkenal iaitu Jaclyn Victor turut dijemput untuk menghiburkan tetamu yang hadir dengan lagu Bukan Cinta Biasa. Memang power giler suara Jac. Kalau nak tengok, boleh klik video ini.
Persembahan kedua ialah koleksi Ariani Stockist X Siti Nurhaliza. Ada enam koleksi diperkenalkan iaitu Instant Layla Deluxe, Instant Layla Glorious, Instant Layla Demure, Instant Avelyn Allure, Instant Avelyn Magnifique dan Instant Majestic Basic. Boleh Budiey katakan kesemua koleksi tudung ini adalah tudung instant segera yang mudah dipakai dan cukup praktikal di pelbagai acara. Ia dicipta khas untuk melambangkan citarasa moden wanita yang bekerjaya serta sangat manis dipakai. Ciri-ciri tudung ini mengikut keanggunan dan kesopanan wanita yang diinspirasikan dari personaliti Dato’ Siti Nurhaliza sendiri.
Ariani Stockist yang telah diperkenalkan pada tahun 2015 bermatlamat untuk menyediakan platform perniagaan kepada usahawan baru atau yang telah lama berkecimpung untuk meluaskan perniagaan mereka. Kesemua koleksi yang diperkenalkan di Ariani Stockist merupakan koleksi terhad yang dihasilkan untuk para stokis berdaftar ARIANI dan tidak terdapat di mana-mana cawangan Galeri Ariani.
Koleksi pakaian tersebut direka khusus untuk semua golongan wanita sama ada berhijab ataupun tidak. Malah, wanita bertubuh gempal juga boleh bergaya dengan jenama terbabit dengan menyediakan pelbagai, saiz sehingga XXXL.
Kemuncak acara sudah tentulah pelancaran koleksi dari Ariani X Creacion by Siti Nurhaliza. Kesemua rekaan adalah sesuai untuk semua peringkat umur, pekerjaan dan latar belakang. Kalau anda nak pergi mana sahaja bolehlah mendapatkan pakaian dan tudung yang dikeluarkan ini. Kemunculan khas Dato’ Siti Nurhaliza yang ditunggu-tunggu tampil bersama model wanita anggun menggayakan koleksi Creacion by Siti Nurhaliza. Semua isi dewan bagaikan terpukau seketika dengan keanggunan dan kecantikan yang ada pada penyanyi nombor satu negara ini. Cukup lunak merdu menyampaikan lagu Aku Cinta Padamu dengan rentak berbeza membuatkan acara ini akan diingati oleh peminat Siti iaitu Sitizoners.
Kemuncak pertunjukan fesyen ini, Dato’ Siti Nurhaliza tampil ke pentas peragaan diiringi seluruh peragawati yang menjayakan pertunjukkan itu sebagai menutup tirai ARIANI X CREACION BY SITI NURHALIZA.
Sebagai sesi penghargaan, Datin Seri Hamidah Khamis, isteri Timbalan Perdana Menteri Malaysia diiringi Datin Farah Haryani Muhamad Philip, Pengarah Pemasaran Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn. Bhd tampil ke pentas untuk menerima bingkisan cenderahati bersama-sama Dato’ Siti Nurhaliza pada petang itu.
Apa yang Budiey boleh katakan tentang rekaan busana ready-to-wear Creacion by Siti Nurhaliza ini ialah ia direka dengan ciri-ciri yang cukup minimal dan kasual. Mungkin Siti Nurhaliza tujukan khas kepada semua peminatnya yang terdiri dari pelbagai golongan iaitu tak kira mengira usia dan bangsa ya. Dari golongon pelajar, muda, dewasa dan orang tua pun boleh gayakannya. Kalau nampak rata-rata model yang menggayakan rekaan ini cukup elegan dan eksklusif ya. Dikatakan kesemua rekaan adalah inspirasi dari Dato’ Siti Nurhaliza. Pendek kata, dari proses rekaan, pemilihan fabrik hinggalah ke proses pengeluaran, semuanya mendapat sentuhan perinadi dari Dato’ Siti Nurhaliza.
Selesai acara pelancaran, sah-sahlah kami kena masuk ke sidang media pula. Menurut Siti, rupanya dia sudah lama menyimpan impian untuk memiliki koleksi dan jenama pakaian sendiri selepas produk kosmetik.
Sidang Media Pelancaran Ariani X CREACION BY SITI NURHALIZA
“Sebagai seorang wanita dan pencinta fesyen dan kecantikan, Siti memang sudah lama menyimpan impian untuk memiliki koleksi pakaian sendiri. Kiranya ini impian kedua Siti selepas bidang kecantikan.
“Alhamdulillah menerusi beberapa siri perbincangan bersama pihak Ariani, maka impian Siti akhirnya terlaksana.”
Di tanya mengenai pemilihannya untuk kolaborasi dengan Ariani, Siti berkata, dia sememangnya mahu mencari sebuah syarikat yang pakar tentang selok-belok perniagaan tekstil.
“Tidak dinafikan ada yang bertanya kenapa Siti tak buat semuanya sendiri dan memilih untuk bekerjasama dengan Ariani.
“Jawapannya kerana Siti tidak mahu pening kepala (ketawa). Siti tidak tahu mengenai jenis-jenis fabrik dan bagaimana perjalanan tentang bisnes pakaian ini, jadi Siti memerlukan mereka yang pakar.
“Apabila saya beri bayangan mengenai jenis fabrik bagaimana yang saya mahu, mereka terus bawa fabrik yang Siti bayangkan dan secara tidak langsung ia memudahkan kerja Siti.”
Seusai sidang media, Budiey sempat la lepak kat luar dewan sambil lepak dengan beberapa orang Sitizoners. Apa lagi, Budiey pun tanyalah pendapat mereka tentang koleksi terbaharu dan pelancaran ini. Tekan play:
Jika anda nak gayakan sesuatu yang berkualiti dan harga pula berpatutan bolehlah jengok-jengok butik Ariani, Jakel Mall ya.
Harga tidak mahal serendah RM80 dan tidak kurang daripada RM400 bagi jubah.