Pada jam 3 petang kelmarin (19 Jun 2013), Budiey sempat singgah sekejap di majlis pelancaran Anugerah Industri Muzik edisi 20 (AIM20) di Hotel Millenium Kuala Lumpur. Untuk info pembaca, Anugerah berprestij ini akan diadakan pada 14 Disember 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil dengan tema Meraikan Kemuncak Segala-Galanya.
Majlis turut dihadiri oleh beberapa orang penyanyi yang pernah menang dalam Anugerah Industri Muzik ke 19 tahun lepas. Antaranya, Shila Amzah, Jaclyn Victor, Salam Muzik, Spider dan ramai lagi.
Anugerah Industri Muzik ke 20 (AIM 20) bakal memperkenalkan satu kategori baru iaitu Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu yang memberi pengiktirafan kepada lagu-lagu duet pada penganjuran kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 20, Rosmin Hashim berkata, kategori ini diwujudkan bagi memberi pengiktirafan secara khusus kepada lagu-lagu yang dirakam secara duet ataupun melibatkan kolaborasi beberapa artis yang tidak membuat persembahan bersama secara kebiasaannya dalam sesebuah lagu.
“Sebelum ini lagu-lagu berbentuk sedemikian telah dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (berkumpulan) ataupun lain-lain kategori genre lagu yang wujud mengikut kesesuaian. Kumpulan yang mempunyai lebih daripada satu vokal dan tidak memainkan alat muzik seperti Rabbani atau Forteen layak dalam kategori ini.”
Para artis dan karyawan terlibat bersama memotong kek sempena 20 tahun Anugerah Industri Muzik.
Dalam pada itu, satu syarat baru diubah dengan memberi kelonggaran kepada lagu bahasa campuran untuk layak dicalonkan dalam semua kategori yang dipertandingkan.
“Kita akan melonggarkan syarat kepada 60 peratus bahasa Malaysia dan 40 peratus bahasa lain pada semua lagu setiap kategori. Ia disebabkan trend muzik sekarang yang lebih banyak menghasilkan lagu-lagu bahasa campuran.”
Selain itu, syarat kelayakan untuk penerbit album, terutamanya bagi kategori Album Terbaik telah ditambah untuk memberi ruang dan menerima pencalonan album yang diterbitkan oleh penerbit yang berasal dari luar negara tetapi berpangkalan di Malaysia
Rosmin menegaskan ia bukan untuk membelakangkan Bahasa Melayu.
“Langkah yang diambil bukan hendak membelakangkan bahasa Melayu tetapi untuk mencerminkan penguasaan bahasa terutama bahasa Inggeris. Saya percaya ia akan disambut baik oleh pengkarya tempatan.”
Katanya, mana-mana penerbit yang mempunyai status pemastautin tetap dan telah menetap di Malaysia sekurang-kurangnya enam bulan setahun dalam tempoh dua tahun berturut-turut sebelum acara anugerah layak dicalonkan.
Tambah Rosmin, AIM 20 kali ini mempertandingkan sebanyak 20 kategori.
Pencalonan dibuka kepada Lagu atau Album dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris yang telah diterbitkan dalam Malaysia pada 1 Julai 2012 hingga 30 Jun 2013.
Sementara itu, tempoh pencalonan dan pendaftaran dibuka bermula 19 Jun sehingga 31 Julai depan.
VIDEO: RIM Umum Anugerah Industri Muzik Bakal Diadakan 14 Disember 2013
VIDEO: Sidang Media Pengumuman Anugerah Industri Muzik 20
VIDEO: Artis Nyanyi Lagu Selamat Hari Jadi Anugerah Industri Muzik 20