in

Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina Sempena Merdeka

KHAS MERDEKA : APA KATA WANITA BERSAMA ZAMZARINA DENGAN TETAMU UNDANGAN DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI

Khas menjelang Hari Kebangsaan yang bakal disambut seluruh rakyat Malaysia tanggal 31 Ogos 2009 ini, program bual bicara, Apa Kata Wanita!…bersama Zamzarina tidak ketinggalan tampil dengan edisi khas sempena merdeka yang menemui penonton setianya pada 30 Ogos 2009 (Ahad), jam 10.00 pagi di TV1 dengan mengundang tetamu Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia dan Datuk Datin Paduka Hjh Fatimah Abdul Majid, veteran wanita UMNO.

Menariknya program kali ini turut diserikan dengan tetamu kehormat Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyampaikan penghargaan kepada Srikandi Bangsa dan pengasas Pasukan Tentera Wataniah Wanita ini, Datuk Datin Paduka Hjh Fatimah Abdul Majid.

Sebut sahaja pejuang kemerdekaan dari selatan tanahair bernama Fatimah pasti mengingatkan kita kepada pemimpin veteran wanita UMNO iaitu Tun Fatimah Hashim. Namun sebenarnya tidak ramai yang menyedari bahawa ada seorang lagi  wanita pelopor arena politik tanah air bernama Fatimah. Beliau yang dimaksudkan adalah Datuk Fatimah Abdul Majid.

Penglibatan Datuk Fatimah dalam bidang politik bermula sejak tahun 1946. Beliau merupakan salah seorang pengasas penubuhan dan perjuangan UMNO. Menururt Datuk Fatimah yang kini berusia 90 tahun, perjuangan dalam bidang politik bukanlah perkara yang senang pada masa itu. Beliau dan ahli-ahli yang lain mengadakan kempen siang dan malam di kawasan pedalaman dengan menaiki basikal, perahu dan berjalan kaki berjumpa rakyat untuk mencari sokongan dan pengaruh. Tujuannya hanya satu, iaitu menaikkan semangat menentang penjajah untuk mendapatkan kemerdekaan. Sehingga akhirnya pada 31 Ogos 1957 negara mencapai kemerdekaan.

Pada tahun 1959, beliau bertanding dalam pilihanraya umum dan Berjaya terpilih sebagai wanita pertama menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Johor. Pada pilihanraya umum 1964 pula, Datuk Fatimah menjadi wanita pertama di negeri Johor dipilih menjadi Ahli Dewan Rakyat Malaysia. Beliau terus bertanding dalam pilihanraya seterusnya dan kekal sebagai Ahli Dewan Rakyat sehingga tahun 1978.

Sebagai Ahli Dewan Rakyat, Datuk Fatimah sinonim sebagai pejuang yang lantang dan berani mengetengahkan isu berkaitan wanita dan keluarga. Beliau benar-benar ikhlas berjuang untuk memartabatkan kaum wanita di negara ini.

Antara sumbangan tidak ternilai Datuk Fatimah kepada golongan wanita ialah mengasas dan menubuhkan pasukan tentera Wataniah Wanita pada tahun 1964. Ketika itu Negara sedang berhadapan senario getir berikutan Kronfrontasi Indonesia.

Selain itu beliau turut mempelopori isu harta sepencarian yang telah banyak membantu wanita-wanita Islam apabila berlaku perceraian rumahtangga sehingga hari ini.

Kepada penonton-penonton yang ingin mengenali siapakah Datuk Fatimah dengan lebih dekat lagi, saksikan Apa Kata Wanita!…bersama Zamzarina menemui penonton setianya pada 30 Ogos 2009 (Ahad), jam 10.00 pagi di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Akhil Hayy Akan Saman Blogger

Isu Kontroversi Siri Dokumentari Enigmatic Malaysia Di Indonesia