Pendengar radio di Lembah Klang akan dapat menikmati sesuatu yang baru. Ultra, stesen radio Bahasa Melayu yang bakal menggegarkan lagi industri penyiaran radio tanah air. Seramai 5 orang selebriti telah dipilih menjadi penyampai radio Ultra iaitu Jimmy Shanley, Fizi, Mon Ryanti, Mamat Sepah dan Sharifah Shahira.
Ultra pada mulanya ke udara melalui gelombang 101.3FM pada bulan Mac 2013. Tempoh percubaan ini diambil untuk mendapatkan maklum-balas daripada pendengar radio di Malaysia dan juga untuk membuat kajian tentang format yang paling sesuai untuk stesen baru ini. Peluang juga diambil untuk menguji keserasian cara penyampaian bakat-bakat yang ada di Malaysia.
Menampilkan konsep kepelbagaian dari segi muzik yang disajikan, juga tumpuan ke atas berita dan informasi yang berlaku di sekitar Lembah Klang. Stesen ini bertujuan untuk membantu menaik-taraf kehidupan penduduk di kawasan bandaraya Kuala Lumpur dan Selangor supaya lebih peka terhadap persekitaran mereka. Antara yang disalurkan adalah berita kesesakan lalu lintas, kemalangan, jenayah, aktiviti, program dan perayaan yang terkini.
Selain menyalurkan informasi dengan pantas, ULTRA sesuai didengari oleh semua lapisan masyarakat kerana kepelbagaian lagu lama dan baru yang menepati citarasa pendengar. Gabungan lagu-lagu lama dan baru menghasilkan sebuah stesen radio yang menyajikan adunan muzik kesukaan ramai. Tambahan lagi, stesen ini akan memberi peluang kepada ramai pemuzik tanah air untuk mengenengahkan karya mereka untuk dimainkan kepada para pendengar.
Lagu-lagu yang disiarkan di ULTRA tidak tertakluk kepada prejudis tradisional – adalah menjadi matlamat stesen ini untuk tidak mendiskriminasi antara umur, genre, bahasa ataupun identiti penyanyi. Bekerja di tempat saingan bukanlah alasan yang kukuh untuk tidak dapat airplay di ULTRA. Jika lagu berkualiti dan sedia diterima oleh pendengar, itulah yang akan dimainkan.
Lagu-lagu yang dimainkan di ULTRA juga dapat dinikmati oleh semua golongan pendengar. Tidak perlu ada perbalahan di antara generasi muda dan lebih tua di dalam kereta, kerana stesen ini akan memenuhi citarasa semua golongan – muzik lama, baru, dangdut, evergreen dan sebagainya bersesuaian dengan pegangan hala tuju ULTRA untuk mencintai segala jenis muzik dan menyajikan hiburan untuk semua.
Pemilihan lagu pasti tidak akan lengkap tanpa penyampaian yang menarik dan menghiburkan. ULTRA memperkenalkan bakat-bakat baru dan lama dengan cara penyampaian mesra dan kreatif yang pasti akan menceriakan kehidupan para pendengar. Personaliti-personaliti ini dipilih bukan sahaja berdasarkan bakat dan penyampaian yang bertenaga, tetapi juga kerana mereka merupakan antara wakil yang terbaik untuk menyampaikan isu-isu yang dilalui oleh warga pendengar di Lembah Klang.