Buat julung-julung kalinya, rancangan permainan yang melibatkan tiga negara “Find The WASABI!” akan menemui penonton Malaysia bermula 17 November 2014 jam 7.30 pagi di ntv7. Rancangan ini merupakan kerjasama dua syarikat penyiaran iaitu Tokyo Broadcasting System (TBS) dari Jepun dengan MediaCorp dari Singapura. Menariknya, program 13 episod ini menyaksikan kolaborasi antara beberapa buah negara yang pastinya membawa kelaianan dan kesegaran kepada penonton-penonton di rumah.
Dalam siri ini, selebriti dari Singapura, Indonesia dan Thailand akan ditempatkan di sebuah rumah yang dipanggil WASABI HOUSE di Jepun dan akan bersaing di antara satu sama lain untuk menyelesaikan pelbagai tugasan dan cabaran bagi mencari ‘rempah rahsia’ di Jepun.
Peserta juga akan lebih mengenali dan memahami budaya, sejarah dan ‘trend’ terkini di Jepun dengan lebih mendalam. Setiap misi dan cabaran ini diberikan oleh Tomoe Shinohara yang merupakan pemilik WASABI HOUSE. Hanya seorang sahaja yang akan dinobatkan sebagai juara dalam program Find The WASABI! ini.
Mewakili Singapura ialah Seraph Sun yang dicungkil bakatnya menerusi sebuah program tempatan untuk mencari bakat baru. Peserta dari Indonesia pula merupakan penyanyi terkenal Sheryl Gething ataupun lebih dikenali sebagai Shae manakala Palm yang merupakan vokalis band terkenal Instinct akan mewakili negara Thailand. Menariknya, Palm dan Instinct akan berkolaborasi dengan band dari Jepun; Weaver untuk menghasilkan lagu tema rancangan ini yang berjudul “Time Will Find A Way”.
Berita baik buat penonton-penonton di Malaysia kerana musim kedua Find The WASABI! kini sedang dalam proses produksi dan musim terbaru ini menyaksikan penglibatan Primeworks Studios dan ntv7 di bawah naungan Media Prima Berhad bekerjasama dengan Tokyo Broadcasting System (TBS) dari Jepun, MediaCorp Studios dari Singapura dan GMM Grammy dari Thailand untuk menerbitkan musim kedua rancangan Find The WASABI!. Primeworks Studios turut menjanakan idea kandungan yang penuh dengan ciri-ciri Malaysia.
Pelakon dan penyanyi dari Malaysia yang juga personaliti Top 10 ntv7, Adrian Tan mengambil peranan sebagai salah seorang peserta rancangan ini. Selain Adrian, penyanyi antarabangsa Golf akan mewakili Thailand dan pelakon terkenal Jeffrey Xu dari Singapura turut menyertai program ini.
“Kami percaya program ini akan mendapat sambutan hangat dari khalayak kerana konsepnya yang segar dan minat orang ramai terhadap budaya masyarakat Jepun,” kata Cik Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV.
“Kami turut berasa gembira kerana dijemput untuk berkolaborasi dalam musim kedua rancangan ini dan berharap dengan penyiaran musim pertama rancangan permainan ini, penonton akan terus menantikan musim kedua yang dijangkakan bersiaran pada Januari 2015 di ntv7,” tambah Airin.
Saksikan “Find The WASABI!” di ntv7 (Saluran 107), Saluran Ceria Anda, setiap Isnin jam 7.30 pagi bermula 17 November 2014 hanya di ntv7..