Memaparkan gerak kerja seramai 6,000 pengusaha dan pekerja buruh di pasar borong menguruskan keluar masuk barang dagangan sehinggalah diedar ke pasar kecil atau terus dibeli oleh pelanggan, aktiviti dan operasi perniagaan di ‘Sydney Market’ yang terbesar di Australia dibawakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam dokumentari Inggeris bertajuk “Life Inside The Markets” mulai 14 Julai ini, setiap Selasa hingga Jumaat, pukul 11.30 malam di TV1.
Operasi yang bermula seawal 2.00 pagi ini riuh dengan pelbagai kelibat dan kerenah pengusaha dan pekerja buruh yang sedang memunggah barang dagangan yang baru tiba untuk direkod dan disusun rapi sebelum pasar dibuka kepada pelanggan dan sebahagiannya pula diedarkan ke pasar-pasar kecil.
Terdapat pelbagai bahan masakan antaranya ikan, ayam, daging, sayur-sayuran, buah-buahan sehinggalah bunga segar yang turut diborong oleh peruncit dan penjual. Seramai 6,000 pengusaha dan pekerja yang menggerakkan ‘Sydney Market’ memandangkan ia adalah pusat edaran dan bekalan kepada satu per tiga dari rakyat Australia. Pasar borong ini dibahagikan kepada empat zon untuk pengurusan yang lebih sistematik.
Dalam episod pengenalan memaparkan sebilangan pengusaha dan pekerja buruh sektor buah-buahan dan sayur-sayuran. Mereka membicarakan perihal operasi perniagaan setiap hari serta kaedah jualan. Tidak semua barangan dijual disitu kerana sebahagiannya dijual kepada pengedar dan peruncit di daerah luar Sydney. Selain itu, sebahagian pengusaha turut menerima tempahan harian dari pemilik restoran.
Pada episod berikutnya, Alex seorang pelanggan bertemu dengan Atilla seorang chef di Zon D yang menempatkan produk sayur-sayuran segar. Mereka turut berbual dengan peniaga khususnya untuk mendapatkan harga yang murah sambil Atilla turut bercerita tentang setiap bahan masakan yang mereka temui lalu dikaitkan dengan menu masakannya.
Seterusnya kisah penjual bunga, Drosia dan Connie bertemu di ‘Sydney Market’ untuk membeli bunga-bunga segar sempena hari ibu. Manakala seorang wanita penjual kopi mengedarkan kopi percuma kepada pengusaha di “Sydney Market’ sempena hari ibu. Drosia dan Connie mempunyai banyak pilihan dan rambang mata memilih pelbagai bunga yang berwarna-warni. Sementara Kim Mortem menerima tempahan jambangan bunga seawal pagi untuk upacara pengkebumian.
Ragam dua beradik Heath dan Shaun penjual sayur serta buah-buahan segar yang menjadikan pasar borong itu bising dan riuh dengan telatah lucu untuk menarik pelanggan. Manakala beberapa pengusaha lain turut memberi tips dan panduan dalam memberi bahan-bahan masakan mereka.
Ikuti perkongsian beberapa pengedar ditemu bual tentang kaedah pemasaran dan edaran barang-barang dari pasar borong untuk terus sampai ke pasar kecil di luar bandar. Mereka juga bercerita tentang kualiti, kuantiti dan harga pasaran semasa. Dalam urusan seharian mereka ini, ilmu tawar-menawar harus ada untuk mendapat keuntungan yang optimum.
Pada episod seterusnya membicarakan aspek keselamatan pengusaha dan pekerja dalam mematuhi peraturan keselamatan samada di dalam mahu pun di luar pasar. Selain itu, kualiti barang-barang dagangan turut dipantau dan dipastikan segar oleh sekumpulan pakar. Mereka sering tampil di media massa untuk mendidik masyarakat tentang keperluan memilih barangan masakan yang segar bagi menjamin kesihatan.
Menyusul episod pemborong menerima tempahan bekalan sayur-sayuran dari sebuah restoran. Kesukaran dilalui kerana terpaksa mengambil bekalan dari pemborong lain kerana kekurangan stok. Sementara itu, sebuah agensi sukarelawan turut untuk mendapatkan buah-buahan untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan.
Ikuti bagaimana peruncit datang ke pasar awal pagi untuk memilih sayur-sayuran untuk dijual di pasaraya miliknya. Pengalaman dan kemahiran untuk tawar-menawar akan memastikan kedua pihak dapat mengira keuntungan harian mereka. Sementara itu, seorang penganjur acara turut berada di pasar pada pagi itu untuk membeli bahan masakan sempena festival makanan yang akan dianjurkan. Mereka mengumpulkan tukang masak terkenal yang akan dihadiri oleh komuniti termasuk kumpulan gelandangan.
Menarik dalam episod sambutan Tahun Baru Cina di ‘Sydney Market’. Pelbagai pihak membuat persiapan bersama untuk menyambut temasya bersama-sama. Manakala, seorang pemborong buah-buahan berkongsi pengalaman tentang perniagaannya, khususnya risiko dan cabaran yang harus dihadapi.
Pada episod ini memaparkan seorang pengedar bahan-bahan mentah untuk sebuah kapal peranginan yang akan berlabuh pada hari itu. Dia tiba awal pagi di ‘Sydney Market’ untuk mencari bahan-bahan yang telah disenaraikan seperti sayuran-sayuran dan buah-buahan. Hampir 40 tan bahan dipindah masuk ke kapal dan perlu mematuhi prosedur keselamatan yang ketat. Sekumpulan chef turut berkongsi pengalaman mengendalikan dapur dengan bahan masakan yang lengkap diterima dari ‘Sydney Market’.
Episod akhir memaparkan kunjungan ke ladang buah ceri untuk melihat proses bermula dari memetik buah sehingga pembungkusan sebelum dihantar ke ‘Sydney Market’. Sementara itu, seorang tukang masak dari ‘The Bathers Pavilion’ turut berada di pasar awal pagi untuk membeli bahan masakannya. Segmen berikutnya pula memaparkan persiapan ‘Sydney Market’ untuk sambutan ‘Hari Natal’. Kemeriahan mula dirasai apabila beberapa penganjur acara dan restoran turut datang ke ‘Sydney Market’ untuk membuat tinjauan harga dan tempahan awal.