Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga vokalis kumpulan XPDC, Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael, yang menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, akibat sesak nafas, kira-kira jam 8.41 malam tadi.
Merakamkan ucapan menerusi ciapan di Twitter, Perdana Menteri mengakui, sebagai antara nama besar dalam lapangan seni tanah air, pemergian arwah Mael pastinya meninggalkan impak yang mendalam pada industri rock tempatan.
“Saya utus takziah kepada keluarga Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Mael yang baru menyahut panggilan Ilahi hari ini (semalam).
“Saya turut berduka dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” tulis Anwar.
Sementara itu, kehilangan Allahyarham Mael turut dirasakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Menerusi hantaran di Twitter, Fahmi memberitahu beliau adalah antara jutaan peminat penyanyi yang popular dengan lagu Titian Perjalanan dan C.I.N.T A ini.
“Innalillah. Menerima khabar duka. Penyanyi kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael meninggal dunia sebentar tadi.
“Saya antara jutaan peminat beliau dan orang sekeliling saya tahu Semangat Yang Hilang juga lagu kegemaran saya.
“Semoga Allah tempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” ungkapnya.
Menerusi ciapannya itu, Fahmi turut memuat naik foto hitam putih Allahyarham Mael.
Terdahulu, berita pemergian Mael, 55, disahkan anak perempuannya, Sharifah Irfatasha menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.
Jenazah dilaporkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 6, Muar sebelum solat Jumaat.
Jumpa semua anak, nak lepas rindu – anak Mael XPDC
Ingin jumpa semua anak-anak untuk melepas rindu. Demikian kata-kata terakhir vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael kepada anak-anaknya.
Anak ketiganya, Syed Muhammad Israfil, 26, berkata, arwah melahirkan hasrat ini beberapa hari menjelang Aidilfitri lalu dan bersyukur dapat memenuhi impiannya.
“Kami lima beradik dapat berkumpul dan beraya bersama ayah. Sebelum ini, kami masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.
“Namun, kami tidak melihat kelainan atau perubahan sikapnya kebelakangan ini,”
Syed Muhammad Israfil berkata, ayahnya sememangnya mengalami semput dan diberitahu arwah sesak nafas semasa ketika keluar membeli barang keperluan rumah pada waktu Maghrib.
“Kakak bawa ayah ke Hospital Muar dan selepas Isyak, kami dikejutkan dengan berita ayah sudah meninggal dunia.
Ayah juga pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat penyakit semput. Namun ayah tidak pernah tunjuk kesakitan di depan anak-anak.
“Beliau memang dibekalkan ubat oleh hospital, tetapi dia sebenarnya kuat cuti (skip) makan ubat,” katanya.
Syed Muhammad Israfil kerap mengiringi persembahan arwah dan sesekali menggantikan tempat Mael atas pentas tidak berhasrat menggantikan posisi arwah bapanya itu.
“Saya lebih selesa bergerak di belakang tabir sebagai penyusun muzik dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, berita kematian Mael, 55, mula tular apabila disahkan anak perempuannya, Sharifah Irfatasha.
Surat daftar kematian yang dikeluarkan Hospital Muar menyebut penyanyi ini menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar pada jam 8.41 malam.
Difahamkan, punca kematian akibat sesak nafas. Allahyarham meninggalkan lima cahaya mata. – HM Online