in

Anugerah Skrin 2013 Raih 6 Juta Penonton

Belum pun reda bahang kehangatan Anugerah Skrin 2013, anugerah paling berprestij dekad ini yang berlangsung pada Jumaat malam lalu, stesen televisyen nombor satu Negara, TV3 berjaya meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 4 juta dengan 41% syer penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement) sewaktu tayangan ASK 2013 yang bersiaran secara langsung dari Stadium Malawati, Shah Alam jam 9.00 malam hingga 11.30 malam. Secara pukal, kadar tontonan keseluruhan ASK 2013 telah mencipta rekod dengan tontonan mencecah 6 juta penonton.

Utuh memasuki musim yang ke-15, Anugerah Skrin merupakan antara majlis terunggul di dalam lipatan sejarah industri tanah air yang sentiasa ditunggu-tunggu penganjurannya saban tahun kerana cetusan konsep dan identiti yang berlainan. Tahun ini, ASK 2013 telah memilih ‘glass’ ataupun kaca sebagai konsep kerana drama dan filem merupakan refleksi kisah sebenar dan realiti hidup manusia.

Anugerah Skrin 2013

[pullquote align=”right”]Bukan saja cemerlang meraih kadar tontonan tinggi di kaca televisyen, malah ASK 2013 dapat disaksikan secara global menerusi laman web rasmi www.anugerahskrin.com . Rekod menunjukkan seramai 100,000 tontonan untuk menyaksikan ASK2013 secara langsung menerusi online.[/pullquote]

Antara intipati menarik tahun ini, penonton dapat menyaksikan acara karpet merah bersama-sama dua personaliti terkenal iaitu Scha Al-Yahya dan Iqram Dinzly, eksklusif di laman web rasmi ASK2013. ’Fashion Show’ serta ’Fashion Critic’ juga antara program yang telah disediakan khas untuk peminat setia hanya di portal video TonTon .Selain itu, hampir 20% penonton dicatatkan terdiri daripada pelayar-pelayar web dari luar negara seperti Singapura, Amerika Syarikat, Brunei Darussalam dan Indonesia.

ASK2013 juga berjaya mencatat hampir 23,000 pelayar mengikuti perkembangan terkini melalui laman rasmi hanya pada malam Anugerah tersebut. Tahun ini bukan sahaja ’hashtag’ rasmi #ASK2013, malah ’Anugerah Skrin 2013’ turut menjadi ’trending’ di laman sosial Twitter. Sehingga hari ini, hampir 9,000 tontonan video ASK2013 di www.tonton.com.my.

Menurut Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, “Bermula dengan Debaran ASK yang mengumumkan senarai 5 pencalonan terbaik bagi 30 kategori yang bertanding pada 1 November, perjalanan persiapan ASK 2013 yang mengambil masa berbulan-bulan atas berkat usaha tenaga kerja dan sokongan daripada semua pihak, sekali lagi, Anugerah Skrin berjaya dilihat sebagai acara tahunan yang penuh gemilang. Syabas diucapkan kepada barisan pemenang baharu bagi 30 kategori yang bertanding dalam ASK 2013. Saya bagi pihak TV3 juga ingin memberikan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang terlibat, produksi, artis-artis, pengurusan jenama, program-program terbitan dalaman, Pantene selaku penaja utama, radio rasmi Hot FM, rakan-rakan penyiaran dan para media yang sentiasa menyokong usaha kami ini dan ASK 2013 keseluruhannya.”

”Gabungan 3 pengacara memberi suntikan baharu kepada ASK 2013 tahun ini. Nad Zainal juga kelihatan selesa bergandingan dengan Awal Ashaari dan Faizal Ismail. Ini juga membuktikan artis wanita ini juga mempunyai bakat dalam bidang pengacaraan dan seorang yang versatil.

Untuk kali ini, Anugerah Skrin memartabatkan kehebatan drama bersiri yang diterima ramai iaitu Saya Sebenarnya Isteri Dia terbitan Primework Studios menerusi Anugerah Khas. Drama tersebut telah memberikan impak yang mendalam dan menjadi fenomena baharu kepada para penonton di Malaysia bukan sahaja mendapat rating tinggi yang diiktiraf oleh Nielsen Audience Measurement malahan menjadi bualan hangat di sosial media kerana sentiasa menjadi ‘trending’ nombor 1 di Twitter setiap kali disiarkan dan jutaan lagi yang menontonnya di portal Tonton. Drama-drama seperti ‘Sebenarnya Saya Isteri Dia’, ‘Cinta Jannah’ dan ‘Setia Hujung Nyawa’ berjaya mencapai rating setinggi 4 juta penonton, mengalur arus tsunami baru di mana menjadikan setiap waktu di televisyen sekarang sebagai waktu perdana. Anugerah Khas ini sebenarnya adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami kepada syarikat dan warga penerbitan tersebut yang mampu mempersembahkan drama yang kreatif dan berkualiti,” ujar Izham.

Bersiaran langsung dari Stadium Malawati, Shah Alam bermula 9.00 malam hingga 11.30 malam, ASK 2013 menggandingkan dua pengacara TV yang sudah tidak asing lagi, Awal Ashaari dan Faizal Ismail bersama-sama seorang pelakon wanita yang semakin meningkat naik, Nad Zainal untuk mengemudikan majlis penganugerahan manakala acara karpet merah dikendalikan oleh Scha Al Yahya dan Iqram Dinzly serta 2 pengacara jemputan, Kamarul Ariffin dan Jasmine Suraya Chin yang merupakan pemenang utama dari Pertandingan Pantene Star Search Anugerah Skrin 2013.

Anugerah Skrin ialah satu anugerah yang memberi pengiktirafan kepada pengeluar–pengeluar drama, filem dan produksi TV tempatan. Telefilem dan drama bersiri yang dicalonkan ialah hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu. Antara faktor telefilem dan drama bersiri ini terpilih untuk ditayangkan di kaca televisyen ialah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap, mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif di samping boleh menarik perhatian penonton.

Secara keseluruhan, Anugerah Skrin 2013 yang diserikan oleh Pantene ini, mempertandingkan 30 kategori yang meliputi 11 kategori drama, 7 kategori filem, 6 kategori penerbitan dalaman, dan 6 kategori teknikal. Selain itu, ASK 2013 juga menyampaikan Anugerah Khas. Kru penerbitan Anugerah Skrin 2013 diketuai oleh Muhamad Sufian Isa selaku Penerbit Eksekutif dan Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) sebagai penerbit. Layari laman sesawang www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Johan As’ari Nafi Selalu Berkepit Dengan Lana Nordin

Berita Nelson Mandela Meninggal Dunia