ANUGERAH SKRIN KEMBALI
Pengiktirafan Kepada Para Karyawan Seni Diteruskan
Penganjuran anugerah berprestij, Anugerah Skrin memang ditunggu-tunggu oleh penggiat seni tanah air. Anugerah yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada karyawan-karyawan seni tanah air itu bukan sahaja memberi ruang kepada penggiat seni untuk memperkembangkan lagi bakat seni, malah menggalakkan mereka berusaha dengan lebih gigih untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi sekali gus memartabatkan hasil seni negara. Kini, pengiktirafan kepada karyawan seni diteruskan lagi dengan penganjuran Anugerah Skrin 2009 yang bakal diadakan pada bulan Disember nanti di PWTC.
Secara keseluruhan, Anugerah Skrin 2009 bakal mempertandingkan 22 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman. 10 kategori drama bakal dipertandingkan berbanding 9 pada tahun lepas, apabila Anugerah Videografi Terbaik diperkenalkan. Selain itu, rancangan Muzik Terbaik akan diserapkan kepada Hiburan Terbaik menjadikan jumlah Kategori Penerbitan Dalaman menjadi 5 berbanding 6 pada tahun lepas. Manakala jumlah Kategori Filem yang dipertandingkan kekal 7 kategori. Calon-calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2008 hingga 30 Jun 2009 selain pencalonan drama yang berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian AGB Nielsen Media Research mengikut ‘genre’ masing-masing.
Ketika ditemui, Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 berkata, “Kami membuat sedikit kelainan dari segi anugerah yang dipertandingkan pada tahun ini dengan memperkenalkan anugerah Videografi Terbaik dalam kategori drama. Ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat-penggiat seni videografi di samping memberi galakan kepada mereka untuk menghasilkan mutu kerja yang lebih baik dalam sesuatu produksi. Ini penting kerana seni videografi juga memainkan peranan dalam penghasilan karya yang bermutu tinggi. Selain dari itu, anugerah Muzik terbaik akan digabungkan ke dalam anugerah Rancangan Hiburan Terbaik.”
“Seperti yang pernah kami tegaskan sebelum ini, Anugerah Skrin bukanlah pertandingan antara stesen televisyen, tetapi drama dan terbitan yang disiarkan melalui stesen-stesen ini yang dipertandingkan. Kami merasa bangga kerana pada tahun ini ASK 2009 turut mendapat kerjasama dan sokongan positif dari rakan-rakan stesen televisyen yang lain dan menerima banyak pencalonan yang menampilkan muka-muka baru dalam bidang ini. Ia merupakan satu petanda positif dalam meningkatkan mutu seni tanah air yang mana dengan adanya anugerah seperti ini, ia dapat menggalakkan penggiat-penggiat seni untuk berusaha lebih gigih lagi agar hasil karya mereka dihargai dan mendapat pengiktirafan. Kami berharap dengan adanya Anugerah Skrin ini, akan menyemarakkan lagi usaha pengiat seni tanahair untuk menerbitkan produk-produk yang lebih bermutu di masa akan datang,” tambahnya.
Seperti tahun lepas, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad yang terdiri daripada TV3, NTV7, 8TV dan TV9, pihak penganjur juga turut menjemput stesen televisyen RTM dan ASTRO untuk sama-sama menyertai anugerah yang berprestij ini. Kesemua rangkaian televisyen ini layak untuk menghantar penyertaan bagi terbitan drama dan terbitan dalaman yang pernah disiarkan di stesen televisyen mereka untuk merebut anugerah bagi kategori yang dipertandingkan mengikut syarat yang telah ditetapkan.
Anugerah Skrin memberi pengiktirafan kepada pengeluar–pengeluar drama dan filem tempatan. Drama-drama yang dicalonkan pula adalah hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu. Antara faktor yang menyebabkan drama-drama ini terpilih untuk ditayangkan di kaca televisyen adalah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap dan mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif disamping boleh menarik perhatian penonton.
Berbanding dengan tahun lepas, tahun ini menyaksikan peningkatan dari jumlah penyertaan bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Sebanyak 17 buah drama, 14 drama bersiri dan 5 drama komedi telah dicalonkan. Manakala untuk kategori filem pula 25 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan untuk Anugerah Skrin 2009 ini. Antara filem yang layak bertanding di dalam Anugerah Skrin 2009 adalah seperti I’m Not Single, Susuk, Kami The Movie, Senario The Movie-Episod 1, Tipu Kanan Tipu Kiri, Budak Kelantan, Wayang, Selamat Pagi Cinta, Antoo Fighter, Los & Faun, Cicakman 2- Planet Hitam, Histeria, Brainscan, Maut, Sifu & Tongga, Geng (Animasi 3D), Rasukan Ablasa, Jin Hutan dan Sayang. Manakala telefilem yang layak bertanding seperti Jalan Pintas Ke Neraka, Terlerai Takbir Kasih, Al-Kiswah, Rahsia Gambar, Sebelum Sejadah Dibentang, Tak Serupa Tapi Sama, Serunding Cik Kiah dan Takbir Rindu. Semua pencalonan akan dinilai oleh panel juri profesional yang dipilih.
Bagi menyemarakkan lagi Anugerah Skrin 2009, TV3 bakal menayangkan semula sebahagian daripada telefilem yang tercalon ke Anugerah Skrin 2009. Ia akan disiarkan setiap Ahad, jam 9.00malam mulai 4 Oktober 2009 hingga 29 November 2009. Berikut adalah senarai telefilem yang bakal ditayangkan serta sinopsisnya.
TELEFILEM ANUGERAH SKRIN
Ahad, 04.10.09 – Jalan Pintas ke Neraka
Perkahwinan Yana dan Fazli atas dasar cinta dan dikurniakan seorang anak, Dina. Sebagai arkitek Fazli banyak bertugas di luar dan kadangkala tidak pulang ke rumah. Yana kesunyian dan merayu pada Fazli membenarkannya bekerja semula. Dia pergi berjumpa Rahila kawan baiknya. Rahila mengajak Yana bekerja di SPAnya sebagai pengurus pemasaran. Anaknya diuruskan oleh pembantu rumahnya. Perkenalannya dengan Razlan seorang pelanggan SPA telah mengubah sikap dan citarasa Yana. Razlan merupakan seorang jutawan dan kacak. Razlan akan memastikan Yana melayannya jika dia berkunjung ke SPA. Razlan bijak mengambil hati Yana dengan membelikannya pelbagai hadiah yang mahal-mahal. Semuanya itu jarang didapati dari Fazli. Yana mula membandingkan suaminya dengan Razlan. Gaya hidup Yana mula berubah. Semasa bercuti Fazli dapat merasakan sikap sebenar Yana. Fazli menasihatinya tetapi Yana bijak berlakon dan tahu cara mengaburi mata suaminya dengan kelembutan dan gayanya yang lemah lembut. Fazli memujuk agar Yana berhenti kerja dan menumpukan perhatian terhadap rumahtangga mereka tetap Yana bijak menolak. Tanpa disangka suatu hari seorang rakan sekerja Fazli iaitu Umar kebetulan ternampak Yana berpelukan mesra dengan Razlan. Apakah yang bakal terjadi selanjutnya?
Pelakon: Rita Rudaini, Eizlan Yusoff, Remy Ishak, Razali Buyong, Maimon Talib, Nurul Akma Afida, Asri Azizan
Ahad, 11.10.09 – Terlerai Takbir Kasih
Azhar dan Faezah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan 3 orang anak. Ketika Faezah sedang mengandungakna naknya yang kerida, Azhar memintany berhenti kerja dan untuk memberikan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga memandangakn Azhar telah dinaikkan pangkat. Hidup mereka yang bahagia tiba-tiba goyah apabila Azhar bertemu dengan , Niza yang merupakan seorang janda beranak dua. Dia mula mersakan Faezah tidak menarik dan tanpa persetujuan Faezah, Azhar menikahi Niza. Tertampar dengan kecurangan suaminya, Faezah nekad untuk berdiri sendiri dengan mula menjalankan perniagaan jualan langsung. Suatu hari ketika Faezah memandu motosikal ke bank, dia telah diragut dan tercedera. Keadaan Faezah agak parah dan terlantar di hospital. Apakah yang terjadi seterusnya?
Pelakon: Norkhiriah, Que Haidar, Lisdawati, Irma Hasmie, Wan Maimunah, Shahirah Huaini
Ahad, 18.10.09 – Al Kiswah
Mengisahkan mengenai Pak Dali bersama isterinya Mak Nor dan tiga anak iaitu Musa, Mastura dan Jamal. Pak Dali mendidik anak-anaknya dengan tegas dan semua keputusan berada ditangannya. Musa san Mastura menjadi dendam dan marah kepada Pak Dali kerana tidak mempunyai peluang untuk menentukan jalan hidup masing-masing. Tambahan pula Mastura yang terpaksa menjadi GRO lantaran suami pilihan Pak Dali yang malas bekerja. Manakala Jamal, pandai mengampu Pak Dali sehinggakan perbuatan buruknya tidak dapat dilihat oleh Pak Dali. Bagaimanakah kesudahan hidup mereka?
Pelakon: Jalil Hamid, Norlia Ghani, Vanida Imran, Fahrin Ahmad, Ezany, Arash Mohd
Ahad, 01.11.09 – Rahsia Gambar
Juriah yang bekerja di sebuah syarikat pengiklanan telah berkahwin dengan duda anak 2 iaitu Syafikah dan Shafik. Juriah menganggap anak-anak tirinya seperti anak kandungnya. Juriah selalu pulang lewat malam. Juriah bercadang membawa Syafikah dan Syafik bercuti bersama kebetulan dia ada kerja luar. Emran juga ikut sama. Juriah ternampak bayang seorang wanita.. Semasa bercuti Juriah ada mengambil gambar keluarga. Semasa di pejabat Juriah dapati printer berjalan sendiri dan mencetak nama dan gambar seorang wanita. Emran rasa itu hanya mainan perasaan Juriah. Rozi berpendapat Juriah perlu pergi berehat. Selepas mencucinya dia dapati di belakang ada seorang wanita yang pernah ditemuinya.Dia mintak seorang pelukis supaya melukis gambar wanita misteri itu. Emran bawa Juriah bercuti bersama anak-anaknya di rumah mewahnya yang jauh dari orangramai. Semasa memandu Juriah ternampak seperti Emran melanggar sesorang. Setelah diperiksa Emran dapati tidak siapa yang dilanggarnya. Juriah sering mengalami kejadian-kejadian aneh. Semasa sedang memasak Juriah didapati pengsan di dapur. Emran bawa Juriah berjumpa doktor psikatrik. Juriah tidak mahu tinggal di rumah besar itu kerana rumah itu berhantu. Emran pula hairan kerana Juriah cuba cederakan dirinya. Juriah minta seorang pelukis untuk melukis gambar wanita yang ada dalam gambar keluarganya. Juriah beranikan diri mahu bersua dengan wanita misteri itu. Wanita itu tiba-tiba muncul dan kenalkan dirinya Dita Ibrahim. Dia mintak tolong pada Juriah. Rumah yang didudukinya ada banyak rahsia misteri. Menurut Dita puncanya Emran mengamuk kerana menuduhnya curang. Pada hal ketika itu Dita mengadakan majlis dan menjemput ramai kawan-kawannya datang ke rumah. Dita menafikan dia curang tetapi Emran telah membunuhnya.
Pelakon: Rozita Che Wan, Zaefrul, Irma Hasmie, Emelda Rosmila, Fimi. Afiqah Malek
Ahad, 08.11.09 – Sebelum Sejadah di Bentang
Aiman hidup bersama dengan ibunya setelah kematian ayahnya sejak dia berusia 5 tahun lagi. Ibunya membesarkan Aiman dengan penuh kasih sayang serta memberikannya didikan agama yang sempurna. Aiman menjaga solatnya kerana ibunya mahu Aiman menjadi seorang anak yang soleh. Ketika ibu Aiman harus menghadiri kursus di Langkawi Aiman ditinggalkan bersama Imran, adik bongsu ibunya yang dipanggil Pak Su. Menurut kakak Imran, Aiman mungkin dapat mengubah cara hidupnya yang kerap bersosial. Imran mempunyai kerjaya yang baik dan dia sering menghabiskan masanya berpoya-poya di kelab-kelab malam bersama dengan Fiq, teman sepejabatnya. Aiman sering ditinggalkan oleh Imran berseorangan di rumah. Aiman seorang anak yang baik dan dia tidak mahu mengganggu kehidupan Pak Su Imran. Ketika di pejabat, Imran menerima berita tentang kakaknya yang terlibat dalam kemalangan jalanraya di Langkawi. Belum sempat Imran mengambil Aiman di sekolah, dia menerima berita tentang kematian kakak sulungnya. Imran tidak sampai hati untuk memberitahu Aiman tentang berita buruk yang telah menimpa ibunya.Aiman menerima berita kematian ibunya dengan tenang walaupun hatinya telah hancur. Sementara itu, Imran cuba meminta bantuan dari ibu saudaranya di kampung untuk memelihara Aiman tapi keadaan wanita itu tidak mengizinkannya untuk memelihara Aiman. Siapakah yang akan menjaga Aiman?
Pelakon: Que Haidar, Rozita Che Wan, Ayu Raudhah, Adik Haikal Johari, Iqram Dinzly
Ahad, 15.11.09 – Tak Serupa Tapi Sama
Mengisahkan sebuah keluarga yang berbeza pendekatan mengenai amalan Islam, Belinda, 24 bekerja di sebuah stesyen TV di Kuala Lumpur. Dia merupakan seorang yang dinamis, berbudi bahasa namun pegangan agamanya longgar. Keluarga Belinda terdiri daripada bapanya, Tajuddin dan ibunya Jauriah. Mereka adalah tipikal keluarga Melayu yang baik pencapaian duniawinya namun keterbelakang dalam soal-soal agama. Nusri, 25 anak kepada kakak angkat Tajuddin. Nusri menumpang di rumah keluarga Belinda kerana baru mula bekerja di Kuala Lumpur. Apabila Nusri tinggal di rumah Belinda wujudlah perbezaan cara hidup yang ketara. Nusri sangat menjaga ritual-ritual Islam seperti sembahyang, sering berpuasa sunat dan sebagainya. Dia prejudis terhadap Belinda dan keluarganya yang dianggapnya sesat. Belinda telah dicabul oleh beberapa pemuda sewaktu pergi ‘clubbing’. Pada waktu itu Belinda memohon kepada Allah s.w.t untuk menyelamatkannya dan dia berjanji untuk sujud kepada Allah sekiranya dia selamat. Belinda selamat namun dia lupa pada janjinya dengan Allah. Satu hari, Belinda terlibat dalam penerbitan rancangan berteraskan cara hidup orang melayu tempatan. Dia pergi ke kampung Nusri untuk mendapatkan bahan bagi programnya. Sampai di rumah Nusri Belinda mula melihat pelbagai perkara yang tidak elok di dalam kehidupan Nusri dan keluarganya. Keluarga Nusri terdiri daripada bapanya Haji Nurjani, ibunya Mardiah dan adik lelakinya Nuruddin. Nurjani sangat keras dan sombong orangnya. Rumah Nusri juga kotor dan bilik airnya busuk. Haji Nurjani melayan isterinya dengan kasar. Belinda menegur cara Nurjani lalu berlaku pergaduhan besar dan Belinda lari balik ke Kuala Lumpur. Namun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur keretanya ditahan anak-anak muda kampung dan mereka mahu dirogol. Nurruddin adik Nusri yang merancang semua ini. Apakah yang terjadi selanjutnya?
Pelakon: Fizz Fairuz, Fasha Sanda, Ahmad Tarmimi Serega, Sheila Mambo, Abu Bakar Juah
Ahad, 22.11.09 – Serunding Cik Kiah ( pencalonan dari TV9)
Kak Kiah selalu memberi jiran-jirannya merasa serunding buatannya. Kak Kiah memang terkenal dengan serunding. Dia sanggup berbelanja berlebihan untuk kelihatan lebih bergaya daripada orang lain. Semua ini untuk membantunya melariskan jualan serunding. Pada suatu hari Kak Kiah pergi ke rumah Salbiah dan ternampak Zaiton membuat serunding. Kak Kiah tidak berpuas hati oleh kerana seruding yang dibuat Zaiton lagi sedap daripada serundingnya. Kak Kiah merasa kedudukannya tergugat apabila banyak yang menempah serunding Zaiton. Apakah tindakan dia selanjutnya?
Pelakon: Kartina Aziz, Hasnol Rahmat, AR Badol, Catriona Ross
Ahad, 29.11.09 – Takbir Rindu (pencalonan dari TV9)
Setelah 3 tahun berada di dalam hospital mental, Zamri telah dibebaskan pada 1 Ramadan dan dia hanya mahu mencari anaknya, Adil yang kini tinggal bersama bekas isterinya, Kay. Kay telah memberitahu pihak polis dan hospital bahawa Zamri mempunyai tekanan mental oleh kerana takut Zamri akan bakal dapat hak penjagaan ke atas Adil. Akan tetapi Adil, yang membesar bersama Kay masih mahu mengenali siapa ayahnya yang sebenar. Zamri pergi ke rumah lama mereka akan tetapi kecewa apabila mendapat tahu yang Kay telah berpindah bersama suami barunya. Zamri terlibat di dalam kemalangan di mana pada masa yang sama dia terserempak dengan Adil dan sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia sempat mengucapkan Selamat Hari Raya pada Adil.
Pelakon: Jasmin Hamid, Fauzi Nawawi, Azhar Sulaiman