in ,

Ini Yang Berlaku di Sidang Media Anugerah Nasyid IKIM FM di PICC Putrajaya

Pada jam 11 pagi tadi telah berlangsung sidang media kali kedua Anugerah Nasyid IKIM FM di PICC Putrajaya yang dimeriahkan dengan beberapa selebriti nasyeed. Rata-ratanya sangat teruja dengan penganjuran kali pertama anugerah yang memartabatkan industri irama nasyid di Malaysia.

Terima kasih kepada IKIM FM yang telah bekerja keras untuk melangsungkan acara ini. Budiey kira ini satu inisiatif dan usaha yang baik untuk menjadikan irama nasyid duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan industri muzik dari genre yang lain. Setidaknya, dengan adanya anugerah seperti ini, memberikan semangat dan menyuntikkan satu rasa penghargaan untuk penggiat dan penggerak nasyid.

Anugerah Nasyid IKIM FM bakal dihoskan oleh Heliza Helmi dan Amin Idris. Acara itu bakal disiarkan secara langsung menerusi TV Al Hijrah, IKIM FM dan TV IKIM pada pukul 9 malam. Tahniah buat semua yang tercalon. Semoga sukses.

Sepuluh tahun lalu nama Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) meniti di bibir peminat industri nasyid tanah air atas kejayaannya menganjurkan Anugerah Carta Nasyid IKIMfm yang secara tidak langsung telah melonjakkan nama stesen itu di kalangan peminat lagu-lagu nasyid di negara ini.

Kali ini IKIMfm sekali lagi bakal menganjurkan acara yang sama dengan nama baru Anugerah Nasyid IKIMfm (ANI) yang dijangka berlangsung di Pusat Konvesyen Putrajaya (PICC) pada hari Sabtu 10 Januari 2015 bermula seawal 9 malam.

Anugerah Nasyid IKIM FM

Foto dari Facebook Ustaz Bazli UNIC

Sebanyak sepuluh buah lagu genre nasyid dan ketuhanan diumumkan layak ke Anugerah Nasyid IKIM FM yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 10 Januari depan. Senarai tersebut dibuat oleh barisan lima juri profesional hasil daripada pemilihan 30 buah lagu yang mendapat pencapaian terbaik dalam Carta IKIM sepanjang tahun 2014.

Penganjuran anugerah itu dilihat sebagai satu usaha IKIMfm memberi ruang kepada penggiat industri nasyid membuktikan kemampuan mereka dalam mencipta, menulis dan menonjolkan bakat dalam persembahan lagu-lagu nasyid yang dipertandingkan. Pengarah Pusat Media, Dr. Nik Roskiman Abdul Samad berkata penganjuran kali ini diharapkan akan dapat memartabatkan industri nasyid tanahair yang akhir-akhir ini dilihat sedikit suram. – Sumber: ikimfm.my

Pengumuman itu dilakukan oleh Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dalam satu sidang media yang diadakan di Anjung Tinjau PICC pada Khamis.

Menurut Nik Mustapha, penganjuran semula anugerah berkenaan adalah bagi mengiktiraf sumbangan penggiat nasyid dan lagu-lagu ketuhanan sama ada daripada kalangan komposer, penulis lirik dan penyanyi.

“Anugerah Nasyid IKIM FM kali terakhir diadakan pada 2005 dan sudah tiba masanya ia dikembalikan bagi memartabatkan industri nasyid tanah air yang semakin berkembang maju dengan pelbagai lagu dihasilkan oleh penggiat seni tanah air.”

AC Mizal & Mawi

Mawi bakal bergandingan dengan Datuk AC Mizal menerusi lagu Al Haq…Yang Satu.

Sepuluh lagu yang tersenarai ke peringkat akhir Anugerah Nasyid IKIM FM adalah Al Haq…Yang Satu (Mawi & Datuk AC Mizal), Dalam Sujud Cintaku (Halim Ahmad), Iman dan Aman (Inteam) dan Rindu Ini (Du’a Feat Amal, Alkautsar, Anas Tahir dan Azfar). Manakala kumpulan Nowseeheart turut tersenarai menerusi lagu Maafkan Aku, Seiring Sehaluan (UNIC) dan Tangis Sebatang Tamar (Daqmie).

Dua lagu nyanyian Hafiz Hamidun iaitu Jodoh Berdua dan Kasih Padamu turut dicalonkan pada peringkat akhir termasuk Ucaplah Alhamdulillah (Amirul Haswendy) yang juga seorang wartawan hiburan di akhbar Harian Metro.

Sementara itu ujar Nik Mustapha, sebanyak 10 kategori anugerah bakal dipertandingkan pada peringkat akhir tersebut termasuk Lagu Terbaik, Lirik Terbaik, Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik.

Tambahnya lagi, empat anugerah utama itu akan dinilai oleh barisan juri profesional dan kesemua finalis akan mengadakan persembahan pada malam tersebut sebelum pemenang diumumkan.

“Tiga lagi anugerah adalah bagi memberi pengiktirafan kepada lagu yang cemerlang dalam Carta IKIM FM iaitu Lagu Paling Banyak Menjadi Juara Carta IKIM, Lagu Paling Lama Bertahan Carta IKIM dan Artis Baru Terbaik,” katanya.

Manakala tiga anugerah lagi iaitu Artis Solo Pilihan Pendengar, Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar dan Lagu Pilihan Pendengar akan diberikan kepada pemenang berdasarkan undian daripada pendengar IKIM FM menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Kesemua pemenang bakal menerima sebuah trofi dan hadiah wang tunai yang jumlahnya hanya akan diumumkan pada malam kemuncak Anugerah Nasyid IKIM FM.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pengumuman Filem Terbaru Bond 007 Hari Ini

Drama Bersiri SAHABAT SUHABAT Lakonan Lisdawati