in

Anugerah Laporan Khas Berita Terbaik ASK 2015 Milik RTM

Kelainan ditonjolkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan membawakan kisah realiti kegigihan seorang nenek tua meneruskan kehidupan di sebuah kampung di pedalaman Sabah nyata memberikan kelebihan dalam laporan berita disampaikan hingga merangkul anugerah Laporan Khas Berita Terbaik di Anugerah Skrin 2015 baru-baru ini.

Berpegang kepada inti pati laporan khas paling penting berkongsi memaparkan realiti kehidupan, mata dan telinga kerajaan, khususnya masyarakat pedalaman di Sabah, laporan khas bertajuk Kondosom Guhod menerusi Berita Nasional 5 oleh Farizie Morinding berjaya menewaskan empat calon lain iaitu Edisi 7 (Laluan ke bandar), Buletin utama (ubat kebas), Berita TV9 – #pulihkanharapankelantan dan Berita TV9 – Seludup Bangkok.

Untitled

Menurut Farizie ketika ditemubual dalam program Selamat pagi Malaysia (SPM) di TV1,

“Timbulnya idea untuk mengetengahkan laporan ini sewaktu menghadiri majlis Hari Malaysia yang dihadiri Datuk Jainab Ahmad Ayid, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah. Ketika semua orang fokus dalam dalam kesibukan majlis tersebut muncul seorang nenek yang berkaki ayam dan menggunakan bakul penyandar di bahu dipenuhi dengan segala jenis buah-buahan tempatan. Fokus saya lari sedikit untuk mendekati nenek itu dan berkongsi rahsia kehidupannya.”

“Nenek Kondosom Guhod bukanlah siapa-siapa. Dia hanya manusia biasa namun pengalaman perit hidup era zaman Jepun cukup berharga untuk dikongsi bersama. Pada usia yang sebegitu, nenek Kondosum gigih mengusahakan jualan buah-buahan termasuk pada sambutan Hari Malaysia tersebut dengan mengenakan bayaran yang cukup murah seakan harga pada tahun 60-an,” tambahnya lagi.

Meskipun berdepan cabaran untuk sampai ke rumah nenek itu yang memelihara lebih 10 ekor anjing, beliau bersama jurukamera Dasni Daud nekad meneruskan misi tersebut kerana ia pengalaman berharga tak mungkin dapat diperolehi pada masa hadapan. Dia turut berpegang kepada semangat perjuangan RTM. Apatahlagi sebagai wartawan dan pengamal media perlu mendapatkan berita walau dengan apa cara sekalipun.

Dua lagi anugerah iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama dimenangi oleh Izuan Fitri dan Videografi Terbaik Drama milik Jamaludin Yaacob masing-masing menerusi drama “Penyabong” terbitan Unit Drama TV RTM.

Untitled

Pengarah drama Penyabong, Wan Afzam Wan Daud turut menyatakan rasa syukur dan gembira kerana daripada empat pencalonan menerusi drama tersebut, dua anugerah memihak kepada mereka.

“Tidak dinafikan penarik drama ini kerana Penyabong sebuah cerita agak berlainan dan unik kerana menggunakan latar sangat berbeza dengan drama lain iaitu menjalani penggambaran di kelong. Tambahan pula skrip Siti Jasmina Ibrahim yang elok bahasanya dalam bercerita membuatkan saya sebagai pengarah mengambil kekuatan skrip untuk angkat karya ini,” ujarnya ketika temu bual dalam talian menerusi program SPM.

Ketika berkongsi pandangannya tentang pelakon cilik Izuan Fitri yang menang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama, Wan menegaskan Izuan miliki potensi besar untuk melangkah lebih jauh. Malah sepanjang menjalani penggambaran drama ini, dia rajin meminta tunjuk ajar daripada pelakon senior termasuklah Khir Rahman, Namron, dan Ellie Suriati. Dia seorang yang tekun dan memberi komitmen yang tinggi dalam drama lakonannya.

Drama “Penyabong” mengisahkan keluarga Pak Raih yang telah kematian tiga daripada lima anaknya serta isteri. Purnama tidak mempunyai hubungan baik dengan ayahnya kerana sering bertentangan pendapat. Dalam sikap lasak Purnama, Tekun, abang sulung sering menenangkan adiknya daripada bergaduh. Qais cuba berbaik dengan Tekun, untuk mendapatkan Purnama yang sukar dilentur. Qais mempunyai agenda lain untuk buka kelong baru yang lebih canggih. Pak Raih tidak mahu berganjak dari kelong tersebut. Pergelutan berlaku, Purnama diculik apabila mengetahui penipuan yang dillakukan oleh Qais. Akhirnya Purnama berjaya melepaskan diri. Ketiga-tiga ahli keluarga ini berjuang memperbaiki hubungan antara mereka.

Untitled

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Review Hotel Sama-Sama Express KLIA 2

Video Selebriti Izara, Mimi & Mawar di Red Carpet ASK 2015