Beberapa kesalahan kecil menjadi punca beberapa lagu yang dijangka melangkah ke Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) tidak layak bertanding di pentas akhir itu.
Ketua juri separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35), Azmeer berkata, walaupun semua lagu yang bertanding di SFMM35 dianggap karya terbaik, namun ada kekurangan ketika pemarkahan dibuat.
“Semua lagu (di SFMM35) adalah juara. Bukannya tak bagus, cuma dari sudut pemarkahan ada kurang sedikit. Contohnya lagu Sembah nyanyian Naim Daniel, juri merasakan bunyi gitar terlalu mengganggu vokal. Saya faham, dalam persembahan ada konsep yang diketengahkan, namun keindahan lagu juga penting,” katanya.
Azmeer berkata, ada juga lagu yang dikategorikan sebagai lagu popular, tetapi tidak memenuhi kriteria untuk layak ke AJL seperti Sakit nyanyian Yonnyboii dan Zynakal.
“Saya suka lagu itu, tetapi ia lebih kepada lagu popular dan bukan lagu pertandingan,” katanya.
Azmeer juga meminta peminat untuk faham proses pemarkahan dari sudut teknikal.
“Semua orang buat salah sebab kita manusia. Ada salah sikit-sikit saya tak ‘pancung’ (potong markah) sebab tidak bererti lagu itu tak bagus. Kalau saya ada kuasa, saya nak 17 lagu bertanding di AJL35, tapi kita kena faham hanya 12 lagu dipertandingkan.
“Saya harap peminat boleh faham dari sudut teknikal. Contohnya, walaupun Aishah ada sedikit kekurangan ketika menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu, tapi melodinya bagus. Ini pertandingan untuk lagu, bukan pertandingan nyanyian. Jangan hukum komposer kalau ada kesilapan daripada penyanyi,” katanya.
Malam tadi, 12 lagu diumumkan layak ke AJL35 iaitu Belenggu Rindu nyanyian Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta), Hati (Hael Husaini), Semalam (Aina Abdul), Peluang Kedua (Hael Husaini), Hutang (Floor 88), Kau Sakiti (Amir Masdi), Gundah (Ernie Zakri), Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Gila (Kaka Azraff, Noki dan Tuju), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter) dan Eh (Zizi Kirana).
AJL35 akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 7 Februari tahun depan.
*Sumber: Harian Metro