Perubahan lokasi daripada Axiata Arena, Bukit Jalil, dibuat berikutan AJL35 dikendalikan tanpa penonton dan sesuai dengan saiz premis kompak yang memudahkan pelaksanaan SOP.
Mengulas lanjut perubahan lokasi itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata kerjasama antara MBSA dan TV3 meyakinkan TV3 mementaskan AJL35 dari auditorium majlis bandar raya itu.
“Sepanjang pandemik COVID-19, kami banyak membuat kerja produksi dengan MBSA.
“Saya yakin dengan bantuan mereka dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengawal selia SOP ditetapkan, AJL35 akan lancar,” katanya pada sidang media virtual AJL35 di sini, hari ini.
Yang turut hadir Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid serta pengacara yang bakal mengendalikan malam kemuncak AJL35 iaitu Awal Ashaari, Sherry Alhadad, Haziq Hussni dan Sissy Imann.
Sissy dan Shuk Sahar akan mengendalikan segmen karpet merah yang dikenali sebagai ‘Lounge AJL35’.
Khairul Anwar berkata, TV3 bertuah dapat menggunakan Auditorium MBSA yang baru diubahsuai.
“Kami akan memanfaatkan kelebihan itu dengan sebaik mungkin untuk menghasilkan persembahan menarik dan menghiburkan,” katanya.
Ditanya apakah tindakan yang akan diambil jika ada perubahan daripada segi SOP, beliau berkata, beberapa perancangan sudah diatur sebagai pelan sokongan.
“Jika dalam tempoh terdekat ada pengumuman mengenai perubahan daripada aspek kawalan pergerakan, kita akan cuba selaraskan penganjuran acara itu mengikut situasi semasa.
“Kita sudah sediakan Pelan B dan Pelan C dan hanya mengumumkannya jika ada perubahan.
“Namun, buat masa ini, penganjuran AJL35 masih mengikut SOP yang dibenarkan tanpa kehadiran penonton,” katanya.
Sementara itu, Nurhul Huda berkata, berkata biarpun AJL35 beralih ke lokasi kecil, pihaknya memberi jaminan acara pencarian Juara Lagu itu akan menyajikan hiburan terbaik kepada penonton.
“Berikutan AJL35 dianjurkan tanpa penonton kerana kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita putuskan mengubah lokasi dari Axiata Arena, Bukit Jalil ke Auditorium MBSA.
“Lokasi baharu lebih kompak dan sesuai untuk acara yang tidak memerlukan bilangan kapasiti ramai.
“Biarpun berubah tempat, ia tidak membataskan kami untuk menyajikan persembahan terbaik kepada penonton,” katanya.
Dipancarkan secara langsung oleh TV3 pada jam 9 malam pada 7 Februari depan, AJL35 boleh ditonton secara strim di tonton.com.my serta YouTube TV3 Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai AJL35 boleh didapati di laman sesawang www.anugerahjuaralagu.com.