in ,

Fakta Yang Anda Perlu Tahu Tentang Anugerah Juara Lagu Ke-32

Ulasan AJL 32 dari Regina Ibrahim

Seperti biasa akan diusik usik teman teman fb bagaimana mereka ternanti nanti pertandingan tahunan tersebut. Muzik negara, siapa yang tidak teruja? Cuma citarasa muzik sahaja yang berbeza. Siapalah kita mahu mengatakan,”kau kamfung aku urban.” Tidak elok. Apa yang disajikan, sudah melalui tapisan mingguan awal awal lagi oleh TV3 selama setahun.

Promosi awal pertandingan berbentuk futuristik mampu menarik minat penggemar seluruh negara, meskipun tidak kena dengan lagu lagu yang dipertandingkan. Bergayalah para peserta dengan klip video jeling jeluat gaya masa depan dalam LRT. Cantik garapannya. Saya tidak tertinggal zaman, masih menyintai muzik. Penonton seusia saya mungkin akan dituduh merindui Ramlah Ram dan Francisca Peter atau Zaiton Sameon.NO. Saya peminat muzik tegar. Oleh kerana itu awal awal lagi saya katakan separuh lagu yang dipertandingkan genrenya agak tertinggal keretapi.

Pentas yang cantik, tataan lampu dan pembahagian segmen iklan AJL32 sangatlah lancar dan cantik. Kudos untuk team penerbitan. Begitu juga muzik dibawah arahan Aubrey Suweto yang hebat! Jangan lupa ini acara gemilang untuk ciptaan lagu BUKAN kelip kelap para artis dan vokalis. (namun gabungan semua ini adalah sangat penting). Tema muzik dan fesyen diangkat sebagai hal penting. Tiap satu kelihatan bergaya.

Penonton tertanya tanya apa signifikan pembukaan bersama Stacy Anam yang semput suaranya kerana terloncat loncat menari? Permainan lampu di arena Axiata kelihatan meriah sekali.

Syamel memulakan pertandingan dengan baik, meskipun kelihatan agak goyah vokalnya sebagai perserta pertama. Hazama memberikan nafas segar dengan lagu yang moden dan muda siap dengan tataan wajah yang unik. Tahun ini Hazama sudah mempersembahkan sesuatu yang menarik, meski tidak menang.

Sebaik sahaja tamat persembahan Wany Hasrita dengan lagunya yang agak kuno itu…pelbagai reaksi warga internet muncul. Ada yang mengatakan kalaulah Kanye West lihat pasti dia mahu ajak si Hasrita berduet… Vokalnya ya Tuhan. Tapi itulah hakikatnya di negara miskin apresiasi ini. Wajah mampu mengkaburi segalanya dan kerja kerja mesin di studio mampu menipu. Wany Hasrita harus kembali menjadi orang Medikal, itu lebih afdal.

Salma pula tampil dengan penuh skil vokal. Tinggi, berbelit dan lancar, kita rasa takut kalau kalau suaranya nanti pecah. Malam tadi dia sudah membuktikan bahawa dia vokalis yang bijak mengawal tona suara, nota nota hujung dicapai dengan baik dan bertenaga. Dayang Nurfaizah yang sejak dahulu sudah membuktikan kehebatan sayangnya tampil biasa biasa sahaja. Berdiri dengan teknik lama, melantunkan resah desahnya pada lagu yang tidaklah sehebat mana ciptaan ajai. Jangan lupa, beberapa minit sebelumnya Salma sudah melakukan pembuktian. 2 lagu Ajai terpilih untuk majlis akhir AJL32, dia masih utuh sebagai pencipta lagu balada yang mencengkam. (Balada bunuh diri favurit pendengar Malaysia).

12 lagu keseluruhannya dipertandingkan. Saya yang ternanti nanti persembahan lagu Amboi oleh Altimet terpaksa menonton yang lain juga. Syamel mendapat peluang kedua untuk membuktikan kemantapan vokalnya bersama Ernie Zakri, mantap meskipun lagu balada yang disampaikan agak biasa biasa sahaja, kawalan dan gabungan vokal mereka berdua serasi dan mencapai nota nota yang dirancang, powerful! Tamat sahaja persembahan Khai Bahar, kita tertanya tanya samada masih mahu memuji atau apa? Dia sudah berusaha dan mencuba pastinya.

Usaha para perserta harus diberikan pujian demi memeriahkan industri muzik tanahair. Pengacara Alif Satar dan Sherry Al Hadad yang kool dan tidak melehe, lucu dalam banyak suasana harus dipuji. Saya menganggap segmen 60an A.Rahman Hassan, Awie, Siti Sarah dan Jeffrydin untuk hal santai atau mungkin untuk menyatakan bahawa muzik kita masih tertinggal keretapi. Sengau Awie dan Siti Sarah sangatlah jelas.

Pemilihan pemenang bolehlah dikatakan memuaskan. Satu kelegaan apabila tajaan kali ini berbentuk urban dan eksklusif, tidak ada unsur unsur kampungan berebut pembesar suara. Lega sungguh.

Acara muzik yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia setiap tahun, Anugerah Juara Lagu (AJL) bakal tiba. 12 lagu terbaik sepanjang tahun 2017 akan menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Februari 2018. Jika tahun lalu, Cerita Dalam Lagu menjadi tema pilihan, Anugerah Juara Lagu yang ke-32 (AJL 32) tahun ini mengangkat Fesyen dan Muzik sebagai tema utama.

Anugerah Juara Lagu Ke-32 dihoskan oleh pengacara yang cukup berkaliber iaitu Aliff Satar dan Sherry Alhadad.

FESYEN & MUZIK. EVOLUSI, EKSPRESI, & IDENTITI

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Johan Ishak, “Memasuki edisi ke-32, Anugerah Juara Lagu masih utuh mendominasi sebagai pentas terbaik mengangkat usaha para pemuzik yang merangkumi komposer, penulis lirik dan juga penyanyi melalui penjurian professional. Kami turut berbangga kerana tidak hanya mengiktiraf lagu terbaik, AJL dilihat menjadi pentas idaman para penyanyi untuk mempamerkan kualiti vokal nyanyian dan persembahan mereka. Selain itu, buat pertama kalinya demi menampilkan kelainan bersesuaian dengan tema yang dipilih, trofi AJL 32 telah disuntik dengan elemen fesyen hasil kerjasama pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini.

Selain mahu menghayati komposisi lagu, nyanyian merdu serta bertenaga para finalis dan persembahan yang dipertaruhkan, penonton juga sentiasa ternanti-nantikan fesyen apakah yang bakal digayakan mereka. Muzik dan fesyen sememangnya saling melengkapi. Kami merasakan tema yang dipilih pada tahun ini amat bertepatan”. Ujarnya lagi.

Mengambil kira transisi fesyen yang sentiasa berubah-ubah dari tahun 1986 hingga kini, pasti ramai yang masih ingat fesyen pilihan Ramlah Ram yang berani untuk berevolusi ketika itu dengan memakai baju berbentuk kunci dan hati. Begitu juga jika melihat pada pemilihan fesyen terkini, Dayang Nurfaizah antara finalis yang dilihat peka dengan penampilannya di atas pentas. Beliau pasti tampil dengan persalinan mewah dan bergaya, bersesuaian dengan lagu yang disampaikan sehingga menjadi identitinya.

Tidak kurang juga dengan pemilihan pakaian oleh Ning Baizura yang memakai baju kurung lusuh (Awan Yang Terpilu) dan Hafiz Suip yang tampil ringkas berbaju T, seluar track menerusi lagu Awan Nano. Ringkas, namun pemilihan pakaian itu memberi impak yang besar dan melengkapkan lagi jalan cerita lagu yang disampaikan mereka. Setiap artis bebas bereksprementasi dan memilih bagaimana mereka mahu menyerlahkan ekspresi diri melalui muzik dan fesyen, samada bergerak seiring dengan peredaran zaman atau terus kekal dengan identiti walaupun dunia telah berevolusi.

Selain 12 lagu yang dipertandingkan, gandingan pengacara majlis turut menjadi tumpuan. Jika tahun lalu menampilkan Awal Ashaari, Che Puan Sarimah Ibrahim, Fara Fauzana dan Fizi sebagai pengacara, tahun ini Alif Satar dan Sherry Al Hadad bakal menggalas tugas berat untuk mengacarakan AJL 32. AJL 32 dibawa khas oleh Nivea Face Care, Nivea Pearl White Whip Foam dan Samsung Galaxy A8 | A8+. Selain itu, Samsung akan turut menyumbangkan hadiah bagi kategori Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung dan juga Persembahan Terbaik. Pada malam AJL 32 nanti akan turut diserikan lagi dengan persembahan hebat oleh Stacy, AG Coco, Edrie Hashim, Waris, Awie, Siti Sarah, A. Rahman Hassan dan Jeffrey Din. Berikut adalah 12 lagu yang telah layak ke pentas AJL 32:

LAGU KOMPOSER PENULIS LIRIK PENYANYI
1. AKHIRNYA, CINTA Ajai Slen Salma
2. AKU CINTA Syamel Syamel Syamel & Ernie Zakri
3. AKU YANG SEBENAR M.Nasir Ad Samad Hazama The Penglipur Lara
4. AMBOI Navigator Altimet Altimet
5. BAYANG Alam (Harry Khalifah) Patrick Anohada Khai Bahar
6. JAMPI Hael Husaini, Ezra Kong Hael Husaini, Ezra Kong Hael Husaini
7. LEBIH SEMPURNA Syamel, Edry Abd Halim & Boy Anaz Syamel Syamel
8. MENAHAN RINDU Ibnu & Gouffran Ibnu & Gouffran Wany Hasrita
9. SEJATI Faizal Tahir & Mike Chan Faizal Tahir & Mike Chan Azmi Caliph Buskers (Penyanyi Asal Faizal Tahir)
10. SEPARUH MATI KU BERCINTA Ajai Ajai Dayang Nurfaizah
11. TERGANTUNG SEPI Gouffran / Ibnu Gouffran / Ibnu Haqiem Rusli
12. WARKAH UNTUK MU Hang Nadim Laq Ara Johari

AJL32 POST PARTY RATED XTRA

Tambah menarik, AJL32 tahun ini turut menawarkan peluang buat penonton mengundi kategori Persembahan Terbaik pada malam kemuncak iaitu pada 11 Februari 2018 menerusi laman web www.xtra.com.my/ajl32. Undian yang hanya akan dibuka bermula jam 9.00 malam – 11.30 malam itu akan menyumbang kepada 50% markah keseluruhan manakala baki 50% markah adalah daripada juri profesional. Ketahui info finalis, berita terkini AJL32, video dan galeri sebalik tabir serta siaran penstriman langsung menerusi LIVE TV di xtra yang dikuasakan oleh tonton bermula 9 malam.

Merancakkan lagi arena atas talian, tonton membawakan temubual eksklusif dan terkini bersama finalis dari belakang pentas AJL32 menerusi laman web www.tonton.com.my. Buat pertama kalinya, tonton turut menawarkan 170 pas masuk VIP ke malam kemuncak termasuk akses penuh ke AJL32 Post Party Rated Xtra buat pelanggan bertuah. Ketahui cara memenangi pas VIP untuk akses penuh ke selebriti terkenal di malam AJL32 menerusi laman web www.tonton.com.my dan www.xtra.com.my. Ikuti siaran FB LIVE di laman Facebook @tontonMY bermula 11.30 malam sehingga lewat malam untuk merasai bahang kemeriahan acara AJL32 Post Party Rated Xtra yang menghimpunkan ramai selebriti selain finalis AJL32.

PENTAS AJL BERGERAK

Untuk merancakkan lagi AJL 32, TV3 dengan kerjasama Transit Aliran Massa (MRT) akan menampilkan dua penyanyi yang akan menyanyikan lagu-lagu 12 bintang AJL 32 secara akustik dari MRT aliran Sungai Buloh ke aliran Bukit Bintang. Seterusnya mereka akan singgah di gerai pop up Samsung di Bukit Bintang Untuk mengetahui siapakah penyanyi yang bakal membuat persembahan, jangan lupa untuk saksikan secara langsung menerusi LIVE stream di Facebook TV3Malaysia pada 20 Januari, nanti bermula jam 11 pagi.

UNBOXING AJL 32 X WAK DOYOK

Video kolaborasi bersama Wak Doyok ini akan memperlihatkan Wak Doyok meneka dan memberi komen-komen beliau mengenai pemilihan pakaian finalis AJL 32. Jangan ketinggalan untuk menonton kandungan-kandungan menarik yang disediakan bagi menyemarakkan lagi AJL 32, di laman Youtube TV3Malaysia.

PENGAMBILAN TIKET AJL 32

Orang ramai yang ingin menonton siaran langsung dan merasai sendiri bahang kemeriahan AJL 32 dijemput hadir ke Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Februari 2018 (Jumaat) untuk pengambilan tiket. Kaunter akan dibuka bermula jam 3.00 petang hingga 5.00 petang. Tiket adalah terhad.

AJL 32 juga boleh di tonton secara langsung di portal video tonton (www.tonton.com.my). AJL 32 turut disokong oleh Geng Radio iaitu Hot FM & Kool FM, Geng Media Berita Harian dan Harian Metro serta Geng Media Digital Ohbulan & Durian Stroberi!.

Layari dan dapatkan perkembangan semasa menerusi Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Gunakan hashtag #AJL32 untuk menghangatkan lagi perbualan tentang anugerah ini di laman sosial.

SALMA

SYAMEL _ ERNI

SYAMEL

WANY

ALTIMATE

ARA

AZMI

DAYANG

FA HAZAMA _ PENGLIPURLARA

HAEL

HAQIEM

KHAI

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie WIRA INSAN Lakonan Reen Rahim

Senarai Penuh Pencalonan Anugerah OSCARS Ke-90