[dropcap]A[/dropcap]nugerah Industri Muzik (AIM) edisi ke 20, iaitu sebuah majlis anugerah paling berprestij dalam industri seni muzik tanahair telah dilancarkan hari ini oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), di mana kategori-kategori pencalonan, syarat kelayakan dan kriteria untuk setiap kategori yang dipertandingkan juga telah diumumkan.
[pullquote align=”right”]Anugerah Industri Muzik (AIM) Meraikan Tahun Ke-20 Penganjurannya Tahun Ini. AIM20 akan diadakan pada hari Sabtu, 14 Disember 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil.[/pullquote]
Majlis anugerah ini, yang telah dianjurkan selama 19 tahun sejak 1993, memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada bakat-bakat seni Malaysia termasuk penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit dan pereka, di samping membantu untuk melonjakkan kreativiti dan menjadi pencetus semangat untuk pembangunan industri muzik tanahair. Bersempena penganjuran AIM tahun penuh bermakna ini, pihak RIM dan penyiar rasmi, Astro sepakat memilih ‘tag line’ ‘Meraikan Kemuncak Segala-galanya!’ untuk penganjuran AIM kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 20 RIM, Rosmin Hashim mengumumkan bahawa tahun ini, majlis anugerah AIM akan diadakan pada hari Sabtu, 14 Disember 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil.
“Kami amat teruja untuk menyambut tahun ke-20 penganjuran acara ini. Oleh itu, kami akan kembali menggunakan Stadium Putra sebagai tempat berlangsungnya AIM memandangkan saiz stadium tersebut yang lebih besar dan dapat menampung ramai peminat industri muzik tanahair yang datang untuk menyaksikan acara gilang-gemilang ini bersama kami. RIM dan rakan kerjasama akan bersama-sama memastikan bahawa AIM 20 tahun ini akan menjadi sambutan yang tidak akan dilupakan, di mana sokongan dari rakan-rakan industri amat kami hargai.”
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 20, Rosmin Hashim (tengah) dan wakil Astro bersama sebahagian artis yang hadir pada majlis pelancaran dan sambutan ulangtahun AIM ke-20.
Beliau kemudiannya mengumumkan perkara-perkara berkenaan pencalonan, tempoh dan syarat kelayakan, kategori anugerah dan kriteria, penghakiman dan rakan kerjasama:
Kelayakan dan Tempoh Pencalonan
Pencalonan untuk anugerah AIM 20 tahun ini dibuka untuk Lagu/Album dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris yang telah dikeluarkan dalam Malaysia dari 1 Julai 2012 hingga 30 Jun 2013. Tempoh pencalonan telah dibuka pada hari Rabu, 19 Jun 2013 dan akan berakhir pada hari Rabu, 31 Julai 2013 tepat pada pukul 5.00 petang. Borang pencalonan telah diedarkan kepada semua ahli RIM, dan juga boleh dimuatturun di www.aim.org.my.
Kategori-kategori Anugerah
Sempena tahun ke-20 penganjuran AIM, terdapat sejumlah 20 kategori yang akan dipertandingkan. Senarai penuh kategori anugerah ialah seperti di bawah:
1. Artis Baru Terbaik
2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)
3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)
4. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan)
5. Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu (BARU)
6. Kulit Album Terbaik
7. Rakaman Album Terbaik
8. Video Muzik Terbaik
9. Lagu Pop Etnik Terbaik
10. Lagu Nasyid Terbaik
11. Lagu Rock Terbaik
12. Lagu Pop Terbaik
13. Lagu Hip Hop Terbaik
14. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
15. Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara
16. Anugerah Kembara
17. Anugerah Sri Wirama
18. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu
19. Lagu Terbaik
20. Album Terbaik

Perubahan Kriteria:
1. Syarat kelayakan untuk penerbit album, terutamanya untuk kategori “Album Terbaik” telah ditambah untuk memberi ruang dan menerima pencalonan untuk album yang diterbitkan oleh penerbit yang berasal dari luar negara tetapi berpangkalan di Malaysia, serupa dengan syarat yang ditetapkan untuk artis-artis yang berkelayakan. Oleh itu, penerbit album haruslah memenuhi salah satu syarat di bawah:
(a) Mana-mana penerbit yang merupakan warganegara Malaysia;
(b) Mana-mana penerbit yang mempunyai status pemastautin tetap dan telah menetap
di Malaysia sekurang-kurangnya enam bulan dalam setahun dalam tempoh dua tahun berturut-turut sebelum acara anugerah (semasa tempoh kelayakan dan dalam kelayakan terdahulu);
(c) Mana-mana penerbit luar yang berpangkalan di Malaysia sekurang-kurangnya enam bulan dalam setahun dalam tempoh dua tahun berturut-turut sebelum acara anugerah (semasa tempoh kelayakan dan dalam kelayakan terdahulu).
2. Untuk kategori “Lagu Rock Terbaik”, “Lagu Pop Terbaik”, “Lagu Hip Hop Terbaik”, “Lagu Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara” dan “Album Terbaik”, kesemua lagu yang ingin dicalonkan haruslah mengandungi sekurang-kurangnya 60% Bahasa Malaysia. Lagu-lagu dalam Bahasa Inggeris boleh dihantar untuk pencalonan dalam “Lagu Inggeris Tempatan Terbaik”.
3. Satu kategori baru iaitu ‘Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu’ telah diwujudkan untuk memberi pengiftirafan secara khusus kepada lagu-lagu yang dirakam secara duet ataupun yang melibatkan kolaborasi beberapa artis yang tidak membuat persembahan bersama secara kebiasaannya di dalam sebuah lagu. Sebelum ini, lagu-lagu berbentuk sedemikian telah dicalonkan di dalam kategori ‘Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan)’ ataupun lain-lain kategori genre lagu yang wujud mengikut kesesuaian. Kriteria yang ditetapkan untuk kategori ini adalah seperti berikut:
– Lagu mestilah mengandungi persembahan vokal oleh duet atau kolaborasi – Tafsiran lagu
– Teknik vokal
– Kawalan suara
– Intonasi
– ‘Pitching’
– Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris
– Lagu mesti menepati kriteria kelayakan (rujuk terma 6 & 7 dalam terma & syarat)
Penghakiman Anugerah
Seperti tahun sebelum ini, RIM akan mengekalkan sistem penghakiman yang melantik satu panel hakim bebas yang terdiri dari penggiat seni muzik tanahair dan pakar-pakar dalam bidang yang berkaitan untuk membuat pertimbangan dan mengadili pencalonan-pencalonan yang dihantar. Panel ini akan diketuai oleh seorang Ketua Juri yang dipilih oleh Jawatankuasa Penganjur AIM 20.
Rakan-rakan Kerjasama
Tahun ini, Astro RIA (Saluran 104) dan ERA fm (103.3) sekali lagi menjadi stesen penyiaran televisyen dan radio rasmi untuk AIM 20.

Puan Azlin Reza Azmi, Ketua Kumpulan Saluran Hiburan Astro berkata,
“Astro akan terus memberikan komitmen dan sokongan dalam usaha memperkasakan lagi industri seni tanah air, seiring dengan harapan kita agar karya muzik Malaysia mendapat lebih banyak perhatian dan pengiktirafan di mata dunia. Kami percaya keupayaan Astro yang merangkumi platform televisyen, radio, majalah dan pembangunan media baru dapat menyumbang ke arah kemajuan ini, sekaligus memberikan akses kepada para pelanggan kami untuk sentiasa mengikuti perkembangan muzik tempatan. Terima kasih kepada AIM kerana sekali lagi menaruh kepercayaan kepada Astro untuk bekerjasama dalam acara Anugerah yang amat berprestij ini.”