in ,

Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Edisi Ke-33 dalam Budaya Norma Baharu

Anugerah pilihan peminat berprestij, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kembali bagi edisi ke-33 dalam budaya norma baharu dengan mengangkat tema #ABPBHKITA2020.

Mempertandingkan 13 kategori utama, selain lima kategori online, pemilihan artis kegemaran boleh dilakukan bermula hari ini, 7 Oktober sehingga 8 November 2020 menerusi laman web ABPBH 33 di www.abpbh.com.my. Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma, pakej langganan BH digital dan undian bersama Xiaomi.

Xiaomi adalah penganjur utama ABPBH 33. Xiaomi adalah sebuah syarikat elektronik multinasional China yang ditubuhkan pada April 2010 dan beribu pejabat di Beijing. Xiaomi melabur dalam pengeluaran telefon pintar, aplikasi mudah alih, komputer riba, perkakas rumah, beg, kasut, elektronik pengguna dan banyak produk lain.

MUKA DEPAN IG-3

Acara pada kali ini menyuntik sedikit kelainan dalam proses undian di mana peminat perlu memilih calon Top 20 yang bakal bersaing sehingga nasib mereka ditentukan pada malam kemuncak ABPBH 33.

Pengarang Kumpulan BH yang juga Penaung ABPBH 33, Saidon Idris, berkata acara ABPBH pada tahun ini akan dianjurkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan serta mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Tema #ABPBHKITA2020 menggambarkan situasi yang sedang kita alami sekarang iaitu norma baharu dalam kehidupan. Kini, kitalah yang menjadi petugas barisan hadapan untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19. BH sebagai pihak penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran ABPBH pada tahun ini memainkan peranan yang sangat penting untuk ‘kita jaga diri kita’.”

“Matlamat ABPBH dalam setiap penganjurannya akan memastikan terselit mesej berguna dalam tema yang diangkat. Kami di BH akan memastikan legasi acara anugerah ini terus terpelihara serta lebih gemilang setiap tahun walau dalam apa situasi yang dihadapi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.”

Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Edisi Ke-33 dalam Budaya Norma Baharu

Sementara itu, Ketua Integrasi, Komersial dan Multimedia, NSTP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 33, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata ABPBH sentiasa berusaha melakukan penyesuaian dan penambahbaikan secara menyeluruh sesuai dengan keadaan semasa.

“Penambahbaikan membabitkan pakej tajaan, kandungan, mekanik penganjuran, pencalonan, pengundian sehinggalah aktiviti bersama artis serta kelab peminat yang dilakukan secara virtual bagi memastikan penganjuran anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan ini kekal relevan,” katanya.

“Pada masa yang sama, kita turut menekankan aspek keselamatan dan berdasarkan SOP yang ditetapkan, acara kemuncak ABPBH pada tahun ini akan diadakan pada skala yang lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya,” tambah beliau.

Semua aktiviti, promosi dan publisiti ABPBH 33 juga dijalankan dengan mengoptimumkan pergantungan dan penggunaan platform digital termasuk sosial media.

Sebagai penghargaan untuk kelab peminat, pihak penganjur mengadakan pertandingan TikTok di mana peminat perlu membuat video di aplikasi TikTok untuk artis dan selebriti kegemaran mereka dan letakkan #ABPBHKITA2020. Peminat dan Kelab Peminat yang berjaya menghasilkan kandungan video TikTok yang paling kreatif akan dinobatkan Anugerah FC FANstatik Popular.

Pada tahun ini juga, buat pertama kalinya dalam sejarah industri seni Malaysia, acara kemuncak ABPBH 33 akan disiarkan secara langsung melalui aplikasi video TikTok pada hari Jumaat, 13 November 2020.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ABPBH 33, pihak penganjur akan mengadakan sidang media secara maya dan akan disiarkan secara langsung melalui sosial media Facebook dan YouTube BH pada hari Jumaat, 9 Oktober 2020, jam 9.00 malam. 

Tiga belas kategori utama yang bakal dipertandingkan adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Versatil Popular, Artis Komedi Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular.

Turut dipertandingkan adalah lima kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Lagu Paling Boom, Artis Kontroversi Popular dan FC FANtastik Popular.

Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) adalah anugerah ’People’s Choice’ yang terunggul anjuran BH yang diadakan setiap tahun bermula pada 1987. Ketika itu, ia dikenali sebagai Anugerah Penyanyi dan Pelakon Popular (APPP). Bertahan selama 33 tahun, ABPBH menjadi antara anugerah paling konsisten apabila ia diadakan setiap tahun. ABPBH bertujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air, di samping memberi peluang kepada pembaca dan pengikut setia Berita Harian (BH) untuk memilih artis popular serta menyertai malam kemuncak anugerah. Penganjur menerima banyak pencalonan daripada semua syarikat rakaman, syarikat penerbitan filem, stesen TV dan radio untuk artis dan selebriti di bawah naungan mereka.

Pencalonan terbuka kepada personaliti, selebriti, pelakon dan penyanyi yang terbabit secara aktif dan konsisten dalam bidang masing-masing untuk tempoh produk diterbitkan iaitu Januari 2019 hingga Disember 2019.

Dikeluarkan oleh Komunikasi Korporat, NSTP.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Album Laku Keras! Album Fizikal MANIFESTASITI2020 Siti Nurhaliza Terima Anugerah Emas

Pencarian Peserta LAGU CINTA KITA Musim Kedua Kini Bermula