Namanya berada di tangga teratas penyanyi profilik pernah ada dalam carta artis Malaysia. Semestinya didambakan peminat, Anuar kini tampil mengubat kerinduan dengan single baharu, Sendiri.
Bekerjasama dengan komposer tersohor, Farouk Roman, dan penyanyi meningkat naik, Aisha Retno selaku penulis lirik, magis jelas tercipta dalam Sendiri. Gabungan nama senior dan generasi baharu itu tidak dinafikan menjadi kelebihan nyata untuk karya ini. Paduan perspektif berbeza mereka tentu sekali melayangkan lagu ini ke tahap lebih tinggi.
Apapun, mengenali Anuar yang begitu menekankan dan teliti mengenai kualiti sesebuah karya, pastinya ada pesona Sendiri berjaya memikatnya. Lebih menarik, sifat keterbukaannya untuk setuju menyanyikan lagu pemuzik generasi baharu turut mencuri perhatian. Menurut Anuar, keaslian dan keikhlasan luhur Farouk dan Aisha dalam karya ini amat dia kagumi.
“Kekuatan lagu ini adalah pada melodi dan liriknya yang ringkas serta mudah berhubung kait. Secara keseluruhannya lagu ini sangat baik dan bahagian yang paling saya suka adalah pra korusnya. Selepas mendengarnya sekali, saya sungguh tertarik dengan lagu ini. Kali kedua mendengarnya pula, melodi dan liriknya terus melekat di hati saya.
“Lagu Sendiri adalah amat tepat dengan jiwa saya. Karya Farouk dan Aisha datang dari dalam sanubari mereka dan inginkan sesuatu yang berkualiti. Sekali gus dapat memberikan halwa telinga yang baik buat penggemar muzik tanahair. Mereka adalah pengkarya muzik yang sangat cemerlang, ikhlas, dan teliti didalam penghasilan lagu,” katanya.
Sendiri adalah lagu tema untuk drama Single Terlalu Lama arahan Ungku Ismail Aziz yang turut membintangi drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu dan bergandingan dengan ramai pelakon popular termasuk Riz Amin, Anas Ridzuan, Shah Kimin, Julia Farhana, Dayana Roza, Lia Natalia, Azar Azmi, Noorkhiriah, Zila Bakarin, Norman Hakim, serta Uchee Fukada.
Lama tidak ke studio rakaman, pastinya menarik untuk mendengar pengalaman Anuar terbabit dalam penghasilan Sendiri. Sudah pasti, kerinduan yang bersarang di hatinya terubat kini, namun bagaimana pula berkongsi ruang dengan pengkarya muzik baharu terbabit? Ternyata, Anuar menikmati keseluruhan sesi dengan begitu seronok dan teruja.
“Sesi rakaman berjalan dengan santai dan sangat menyeronokkan. Kami berkerjasama didalam keadaan yang harmoni. Kami bertukar-tukar pandangan mengenai bagaimana lagu ini harus disampaikan sebaiknya produser vokal, Afif Tirmizie, Farouk Roman, dan Aisha Retno. Masing- masing begitu prihatin bagaimana lagu Sendiri harus disampaikan sebaiknya.
“Berpeluang mengenali hati budi masing-masing sewaktu rehat, tanpa disedari, kami sudah berborak selama lebih tiga jam. Banyak perkara dan pengalaman yang dikongsikan antara kami. Mengenai muzik, kehidupan, harapan, dan bermacam topik lain. Proses rakaman ini sangat menyeronokkan dan saya teruja dengan setiap saat kami luangkan,” katanya.
Versatiliti nyanyian Anuar semestinya tidak perlu dipertikaikan lagi. Gemersik suaranya menyanyi balada, tenaga suaranya cukup elastik untuk lagu rancak, pendek kata, semua mampu disapunya dengan mudah. Untuk Sendiri, Anuar berkata dia cuma harapkan ia mampu melonjakkan kegembiraan dalam diri pendengar.
“Saya harapkan agar penggemar muzik tanahair menikmati buah tangan daripada kami ini. Kali ini, saya pertaruhkan lagu berentak sederhana rancak. Semoga mereka boleh menikmati karya terbaru ini dengan perasaan yang gembira, menikmati setiap bahagiannya, serta mampu kaitkannya dengan kehidupan mereka.
“Tidak ketinggalan, semestinya saya mengharapkan karya ini akan beroleh kejayaan serta dapat membawa industri muzik kita tahap yang lebih tinggi. Jutaan tahniah buat Farouk Roman, Aisha Retno, Bajai (penggubah muzik), Afif Tirmizie (produser vokal), Fadly (jurutera bunyi), dan Sony Music Malaysia atas kerjasama yang sangat baik,” katanya.
Sebut sahaja nama Anuar Zain, mustahil peminat muzik tempatan tidak kenal figura yang tidak asing lagi ini. Memulakan karier muzik seawal kanak-kanak, lagu duetnya dengan Ellina berjudul Kain Pelikat menjadi titik kemahsyurannya. Anuar Zain juga menjadi sumber inspirasi dan rujukan buat bakat-bakat baru didalam bidang nyanyian
Kemuncak kariernya bermula selepas tampil dengan lagu Bila Resah pada 1998. Sejak itu, rata- rata lagunya termasuk Keabadian Cinta, Sesucinya Cintamu, Jangan Bersedih Lagi, Lelaki Ini, Sedetik Lebih, Mungkin, Semua Untukmu, dan banyak lagi, jadi hit. Beliau turut memenangi pelbagai anugerah termasuk Artis Lelaki Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2017 (APM2017).
‘SENDIRI’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.