Budiey nak ucapkan tahniah buat penyanyi popular Anuar Zain kerana mencipta sejarah dalam industri muzik tempatan apabila menjadi artis tempatan pertama menjual tiket konsertnya dengan harga paling tinggi RM1,200 dan lebih mengejutkan, ia paling awal habis dijual.
Wah, bukan senang tau peminat nak beli tiket mahal-mahal ni. Semalam, Budiey dapat info terbaru daripada Anuar Zain Network mengatakan tiket Palladium A & B sudah pun sold out. Sekarang ini, hanya tinggal tiket Bronze, Platinum, Gold & Silver yang masih ada. Itu pun dalam beberapa jumlah yang sangat terhad. Untuk dapatkan kepastian, Budiey nasihatkan korang pergi ke laman web www.ticketcharge.com.my. ya. Semua info ada kat situ.
Harga tiket tinggi itu secara tidak langsung menjadi penanda aras bahawa penyanyi tempatan juga punya tarikan untuk peminat menyaksikan persembahan atau konsert dianjurkan, walaupun pada waktu sama, terpaksa bergelut mencari dana bagi membiayai kos.
Anuar akui, perbelanjaan untuk merealisasikan impian mengadakan konsert solo sulungnya memang tinggi, bagaimanapun dia bersyukur kerana pihak pengurusan barunya, Anuar Zain Network Sdn Bhd meletakkan keyakinan tinggi bahawa ia mampu dilaksanakan.
“Sekali fikir memang takut juga sama ada orang mahu beli atau tidak tiket menyaksikan konsert pertama yang dianjurkan ini. Namun alhamdulillah, dalam tempoh berbaki sebulan ini tiket paling mahal sudah habis dijual.Tiket untuk bahagian Palladium A juga sudah habis manakala Palladium B tinggal 20 peratus saja lagi,” katanya.
Konsert bertemakan Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari serta dijadualkan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 16 Februari ini, menyediakan tiket berharga RM1200 bagi tempat duduk VIP, RM698 (tempat duduk hadapan) manakala harga lain, RM598, RM398, RM298 dan RM138.
Melihat sambutan awal diberikan peminat, membuatkan penyanyi yang mula dikenali melalui lagu Bila Resah itu yakin peminat industri muzik tempatan akan memberi sambutan terhadap usaha sulung dilakukan.
Kata Anuar, tiket untuk menyaksikan persembahannya agak tinggi kerana kos tinggi bagi memastikan persembahan dilakukan pada malam itu sempurna buat peminat.
“Pada malam persembahan itu nanti saya akan mendendangkan lebih 20 lagu dalam masa dua jam dan sudah tentu bagi memastikan ia adalah konsert terbaik, semua tenaga kerja digunakan terdiri daripada mereka yang profesional dalam bidang masing-masing.
“Saya akan menggunakan 26 pemuzik termasuk orkestra mini dipimpin komposer terkenal, Mac Chew. Kami juga menggunakan tiga skrin LCD gergasi dan sistem bunyi juga turut diberi penekanan.
“Mujur sepanjang proses persiapan, ada pihak yang sudi menaja dan pengumuman khas mengenainya akan dilakukan dalam satu sidang akhbar khas,” katanya.
Dalam waktu berbaki hampir sebulan ini, Anuar berkata, dia tidak mahu ambil pusing mengenai jualan tiket. Stadium penuh atau tidak, persembahan harus berlangsung dan diteruskan.
“Apa yang merisaukan saya sekarang adalah bagaimana hendak memastikan 8,000 penonton berasa dekat sepanjang dua jam persembahan berlangsung. “Itu antara cabaran yang harus saya hadapi. Berbeza persembahan sempena Minggu Setiausaha, ia dilakukan dalam skala kecil dan jumlah tetamu tidak lebih 2,000 orang.
“Untuk mengatasi perkara itu, skrip persembahan harus padat dan lagu didendangkan juga harus menyentuh jiwa. Saya lega apabila sudah menjalani sesi latihan selama seminggu. Malah ada idea dizahirkan pengarah muzik membuatkan saya terkejut. Gubahannya sangat indah dan kreatif. “Bayangkan lagu rancak menjadi balada, lagu balada pula menjadi waltz dan samba. Saya sendiri terasa kagum dan tidak sabar mahu menyanyikannya,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai konsep keseluruhan konsertnya itu nanti, Anuar seperti mahu merahsiakan. Katanya, biarlah mereka yang datang menyaksikan konsert ini saja yang tahu. “Cuma ada beberapa perkara yang ingin saya kongsi. Peminat akan dapat mengikuti kisah selanjutnya apa yang terjadi kepada saya dan Nora Danish, dalam klip video single terbaru, Sempurnakan Aku, rentetan daripada klip video Ajari Aku,” katanya. Menjelaskan mengenai inspirasi diperoleh dalam menjayakan konsert sulungnya bagi meraikan 30 tahun pembabitannya dalam industri muzik, kata Anuar kalau ikutkan hati banyak yang mahu dilakukan namun kekangan tajaan membuatkan dia harus memberikan penekanan kepada perkara penting.
“Ikutkan hati saya mahu adakan hologram, ada kesan khas pyro tapi itu memakan belanja sangat besar. Sekarang ini pihak pengurusan saya cuba melakukan yang terbaik dengan jumlah modal yang kami ada bagi merealisasikan konsert ini,” katanya.- Metro Ahad
Kepada pembaca Budiey.com yang menghantar penyertaan peraduan menang tiket Konsert Anuar Zain, sila tunggu keputusan senarai pemenang pada 2 Februari ini. Lebih 800 emel telah budiey terima. Semua slogan hebat-hebat. Good luck buat semua!