Selepas lima tahun tidak muncul dengan karya baharu, Anuar Zain, 46, mengubat rindu peminat dengan album studio kelima yang khabarnya sarat lagu-lagu indah sesuai dengan status dan kelas penyanyi bersuara lantang ini.
Majlis pelancaran album berjudul ‘Anuar Zain’ itu akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 19 September depan. Malah, single berjudul Andainya Takdir sudah dilancarkan di laman sosial, sejak beberapa hari lalu.
Lagu berentak balada ternyata cukup sinonim dengan adik kepada penyanyi Ziana Zain ini. Sebelum ini, dalam album terdahulu, lagu seperti Keabadian Cinta, Sesucinya Cintamu, Lelaki dan Sedetik Lebih menjadi antara lantunan balada yang cukup menggetarkan jiwa penggemar setia Anuar.
Lagu Andainya Takdir itu difahamkan bakal dipertaruhkan sebagai single pertama untuk album studio terbaharu itu. Meneruskan resam penyanyi ini, Anuar hanya meletakkan namanya sebagai judul album.
Dalam temuramah sebelum ini, Anuar mempunyai alasan sendiri mengapa pendekatan itu diambil.
“Saya anggap semua lagu dalam sesebuah album adalah istimewa. Jadi, tidak ada spesifik atau berat sebelah kepada satu lagu semata-mata,” katanya.
Anuar yang menginjak usia 46 tahun juga terus positif dalam meniti kematangan hidup.
“Pada usia 46 tahun dan bersama pengalaman hidup, ia lebih menjadikan saya insan yang kuat, reda dan tabah.
“Alhamdulillah, dengan izin-Nya, saya ada keluarga, sahabat dan peminat yang memberi sokongan tanpa jemu selain sering mengutuskan doa.
“Usia itu hanya angka dan saya menikmati keindahan hidup ini seadanya. Sama ada saya meningkat tua menawan atau tidak, semuanya terletak kepada penelitian orang lain,” katanya.
Sumber: Berita Harian