ANNAHITA BAKAVOLI JADI SONIA ANNE SETIAP ISNIN HINGGA JUMAAT DI TV1
Setelah agak lama sepi daripada membintangi drama-drama TV, kemunculan pelakon cantik pemilik nama Annahita Bakavoli yang juga seorang model membawakan watak Sonia Anne wanita yang gigih mengusahakan syarikat milik keluarga pasti dapat mengubat kerinduan peminatnya. Menerusi drama rantaian 26 episod bertajuk Sonia Anne, Anna bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Dian P.Ramlee, Mohd Ridzuan Hashim, Noor Haya Abu Bakar, Badrul Muhayat, Nora’ain Rahmat dan Rozaidi Abd Jamil.
Bersiaran mulai 18 Januari 2010 lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 malam di TV1, Sonia Anne mengisahkan Dato’ Rosman merancang untuk memanggil Sonia Anne pulang ke Malaysia. Rancangan Dato’ Rosman tidak dipersetujui oleh Datin Suraya. Datin Suraya bimbang dengan adanya Sonia Anne, Dato’Rosman akan memberi kuasa kepada anaknya itu untuk mengurus syarikat-syarikat yang ada. Niat Dato’ Rosman menjadi isu besar kepada Datin Suraya sehingga menjadi bahan pertengkaran. Disebabkan sering bertegang leher dengan Datin Suraya, menyebabkan Dato’ Rosman sering mengimbau kenangan silam bersama arwah isterinya Katerina sehinggalah Katerina pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.
Sementara di London Sonia Anne masih berfikir untuk pulang ke Malaysia. Dia bimbang dengan sikap Datin Suraya. Dia tidak mahu Dato’ Rosman bersusah hati kerana hubungan dinginnya dengan Datin Suraya. Erin Alia, anak mereka pula sering keluar rumah untuk bersuka-suka dengan kawan-kawan dan dari situ dia berkenalan dengan seorang budak lelaki bernama, Jijoe.
Atas pujukan Dato’ Rosman, Sonia Anne pulang ke Malaysia dan memulakan tugasnya di RS Construction dan mengenal pasti masalah dalam syarikat itu. Datin Suraya mengambil alih pengurusan Layar Kembara tetapi dibenci oleh pekerja-pekerja kerana dia menuduh mereka yang menyebabkan kegagalan Layar Kembara. Erin Alia pula kerap ditegur dan dimarahi oleh Dato’ Rosman kerana perangainya yang semakin liar.
Sonia Anne dan Dato’ Rosman cuba membuat pinjaman bank bagi mendapatkan sedikit modal, tetapi permohonan mereka tidak diluluskan kerana RS Construction berdepan dengan hutang yang banyak. Datin Suraya pula menuduh Dato’ Rosman mengambil duit dari akuan Layar Kembara dan memasukkan ke akaun RS Contruction. Sonia Anne cuba menafi tuduhan Datin Suraya lalu terjadi pertengkaran. Erin Alia tidak ke sekolah tetapi sebaliknya merayau-rayau dengan Jijoe di bandar dan mula belajar hisap rokok.
Sonia Anne berdepan dengan masalah kakitangan RS Contruction yang berpakat untuk berhenti kerja setelah lama tidak dibayar gaji. Tetapi dengan angkuh Datin Suraya memberhenti beberapa kakitangan Layar Kembara yang tidak disukainya. Sonia Anne cuba memujuk pekerja-pekerja RS Contruction supaya mereka bertahan dan bekerjasama dengannya buat beberapa ketika dan dijanjikan pemberian bonus sekiranya RS Contruction pulih semula. Dato’ Rosman terpaksa menutup Layar Kembara kerana masalah kewangan yang semain teruk. Datin Suraya marah dengan tindakan Dato’ Rosman memindahkan baki duit di dalam akaun Layar Kembara ke RS Contruction.
Setelah dapat menyakinkan pekerja dan mengenal pasti masalah dalam RS Contruction, Sonia Anne mencadangkan kepada Dato’ Rosman supaya RS Contruction beralih kepada membuat projek-projek kecil dan kos sederhana. Buat pertama kalinya, Sonia Anne memperkenalkan Khairil kepada Dato’ Rosman dan Datin Suraya. Datin Suraya tertarik untuk berkenalan dengan Khairil, apabila mengetahui Khairil anak seorang yang bergelar Tan Sri. Habis sekolah, Erin Alia tidak pulang ke rumah tetapi sebaliknya tidur di luar setelah diajak oleh Jijoe.
Sonia Anne terus bekerja mencari projek-projek disamping turut melobi bagi mencari usahawan yang berminat untuk melabur dalam RS Contruction. Datin Suraya mula pandai menipu kawan-kawannya untuk mendapat sumber kewangan. Dato’ Rosman diserang sakit-sakit kerana memikirkan perangai Erin Alia.
Sonia Anne menerima bantuan dari Khairil untuk meneruskan projek RS Contruction yang baru diterimanya. Dato’ Hamdan mula nampak dengan Prestasi Sonia Anne mengendali RS Contruction lalu berangan-angan untuk menguasai Sonia Anne dan RS Contruction. Dato’ Rosman bertengkar dengan Datin Suraya dan menuduh Datin Suraya berlaku curang dengan Arman. Untuk menutup kesilapannya, Datin Suraya memberitahu tujuannya berbuat begitu adalah untuk menolong Sonia Anne mencari pelabur untuk projek RS Contruction.
Dato’ Rosman mendapat panggilan telefon memberitahu Erin Alia didapati mengandung. Mendengar berita itu, Dato’ Rosman diserang sakit jantung. Tidak sampai hati melihat keadaan bapanya, Sonia Anne kembali duduk serumah dengan Dato’ Rosman. Arman mengugut Datin Suraya untuk mendapatkan wang yang telah diambil olehnya.
Lalu bagimanakah Sonia Anne berdepan dengan hakikat apabila kekasihnya terpaksa bernikah dengan adik tirinya semata-mata mahu menutup malu keluarga? Berjayakah Sonia Anne bertahan dengan segala ujian yang mendatang. Untuk mengetahui kesudahannya usah lupa janji temu anda menyaksikan Sonia Anne pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 malam Di TV1.