Ahad lalu, pentas Mentor Milenia dikejutkan dengan dua penyingkiran apabila persembahan Anna dan Qalisya gagal meraih markah yang tinggi. Tampil tidak konsisten, Anna yang menyanyikan lagu, Lagu Untukmu dan juga Tanya Sama Pokok daripada kumpulan Meet Uncle Hussein tidak dapat meyakinkan para juri selain menerima hanya 12 markah daripada juri awam telah menyebabkan dia tersingkir pada konsert battle keempat ini. Manakala Qalisya, yang pada awalnya turut tersingkir diselamatkan oleh Datuk Hattan dan diberi peluang kedua.
Terdahulu, pentas Mentor Milenia 2017 dibuka dengan persembahan Usop, peserta yang tular di laman sosial dan mendapat perhatian netizen dengan sikapnya yang bersahaja. Namun pada minggu ini, Datuk Hattan mengatakan persembahan Usop seperti kehilangan magis yang dipamerkan minggu lalu. Juri awam hanya memberikan 16 markah untuk Usop. Manakala Balqis yang juga mewakilli Hazama, telah berjaya membuatkan juri jemputan terpukau dengan persembahan tarian dan nyanyian yang seiring dengan lagu rancak Makhluk Tuhan Paling Seksi dan Jangan Kau Mimpi oleh Mulan Jameela dan Siti Sarah walaupun hanya memperoleh 13 markah daripada juri awam.
Protégé Tomok, Along telah membawakan tiga lagu yang digabungkan iaitu Hukum Karma, Bujang Senang dan Master Of Puppets daripada kumpulan Wings dan Metallica berjaya meraih 18 markah dari juri awam. Along dilihat sangat bertenaga namun menurut Datuk Hattan, jika dia lebih mendalami nyanyian lagu bergenre rock, Along pasti akan lebih berjaya.
Elica yang mewakili Akim, dilihat terus gah mengukuhkan namanya apabila sekali lagi mendapat markah penuh daripada juri awam iaitu 20 markah, sekaligus dinobatkan persembahan terbaik untuk dua minggu berturu-turut. Elica dikatakan mempunyai “material” seorang juara, dengan persembahan yang konsisten dan setaraf dengan persembahan penyanyi professional apabila tampil dengan persembahan penuh bertenaga dengan lagu Obses dan Janji Manismu oleh Akim & The Majistret dan Aisyah.
Satu-satunya protégé yang mewakili Black, Syeera juga tampil dengan persembahan mantap dan menerima 20 markah daripada juri awam. Para juri mengatakan keikhlasan yang ditunjukkan Syeera dalam persembahan jelas terserlah bukan sahaja membantu Syeera untuk tampil penuh yakin malah berjaya menyampaikan mesej di dalam lagu dengan sangat baik. Datin Alyah sebagai penyanyi asal lagu Kisah Hati dan juga juri jemputan turut memuji persembahan Syeera kerana bukan mudah untuk lagu itu dinyanyikan dengan baik. Syeera telah membuktikan dia mempunyai kualiti seorang penyanyi yang berkebolehan.
Maklumat lanjut mengenai persembahan setiap peserta adalah seperti berikut:
Mentor | Protege | Tajuk Lagu/Penyanyi Asal |
TOMOK |
ALONG – Mohamad Rozaimi Rosli
(20 tahun, Kuala Kedah, Kedah) |
Hukum Karma + Bujang Senang + Master Of Puppets/ Wings & Metalica |
QALISYA – Nur Qhalysa Syazreena
Zainuddin (17 tahun, Kinarut Papar, Sabah) |
Anggapanmu + Sangkar Cinta/ Ziana Zain | |
BLACK |
SYEERA – Nur Syaheera Abd Aziz
(19 tahun, Shah Alam, Selangor) |
Hidup Dalam Mati + Kisah Hati/ Syamel & Alyah |
AKIM |
ANNA – Noor Jannah Abu Hanipah
(18 tahun, Petaling Jaya, Selangor) |
Lagu Untukmu + Tanya Sama Pokok/ Meet Uncle Hussein |
ELICA – Angelica Paujin
(17 tahun, Tambunan, Sabah) |
Obses + Janji Manismu/ Akim & The Majistret & Aishah | |
HAZAMA |
USOP – Muhammad Saiful Naim Muhd Noor
(20 tahun, Lunas, Kedah) |
Potret + Ingatkan Dia/ Akim & The Majistret + Wings |
BALQIS – Nor Balqis Ahmad Tajudin
(18 tahun, Kemaman, Terengganu) |
Mahluk Tuhan Paling Seksi + Jangan Kau Mimpi/ Mulan Jameela & Siti Sarah |
Minggu lalu, Mentor Milenia diserikan dengan persembahan oleh Datin Alyah dan Farawahida dengan lagu duet terbaharu mereka iaitu “Mengapa Harus Aku”. Barisan protégé turut mempersembahkan lagu medley Hujan oleh Zainal Abidin dan Apokalips oleh Dato’ M. Nasir.
Mentor Milenia 2017 yang dihoskan oleh Issey Fazlisham dan Marsha Milan London dibawakan khas oleh Neffos, Telefon Pintar Generasi Milenia selaku penaja utama manakala tonton sebagai Geng Digital, Harian Metro dan ZIP sebagai Geng Media dan Hot FM sebagai Geng Radio.
Krew penerbitan Mentor Milenia 2017 diketuai oleh Muhamad Sufian Isa, Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap penerbit eksekutif Mentor Milenia 2017 dan Khirul Fikry Mustafa sebagai penerbit. Program realiti popular ini turut dibantu oleh Azmeer sebagai penasihat, Sazlan Mat Adnan sebagai koreografer dan Faizal Uzir (Lok-U) sebagai pengarah muzik.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Mentor Milenia 2017 yang bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam – 11.00 malam dan Jurnal Mentor Milenia yang memaparkan aktiviti mentor dan protege pada setiap Ahad bermula 6.00 petang selama 30 minit.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my/mentormilenia dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia dengan menggunakan hashtag #MentorMilenia2017 untuk menghangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman media sosial. Para penonton juga boleh menyaksikan program ini melalui strim secara langsung definisi tinggi di www.tonton.com.my.