Tidak dinafikan, pengalaman selama 14 tahun dalam bidang itu meletakkan Anis Nabilah di kelas tersendiri selain mampu menempatkan dirinya sebaris dengan kebanyakan cef terkenal dalam dan luar negara.
Jika April lalu Anis Nabilah, 36, atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin dinobatkan Asean’s Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards 2022, terbaharu Anis sekali lagi diiktiraf di luar negara apabila memenangi dua anugerah di The Gourmand Awards: World Cookbook Awards 2021 di Umea, Sweden.
Anis berkata, dia bersyukur dan sama sekali tidak menjangka menerima dua anugerah di acara berprestij itu.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan memang tidak menyangka langsung. Sebenarnya saya tahu yang saya dicalonkan untuk satu kategori iaitu Books by Celebrity Chef untuk buku resipi saya, iaitu Comfort Food by Anis Nabilah for Thermomix.
“Saya bersyukur apabila diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam kategori itu. Pada masa yang sama, saya dimaklumkan tentang satu lagi kemenangan dalam kategori Best Food Show di Asia Tenggara. Saya sangat terkejut dan bersyukur. Sampai sekarang pun, saya masih mencuba untuk menerima kemenangan ini.
“Apa pun saya masih macam tidak percaya sebab saya sepertinya tidak menghantar apa-apa penyertaan untuk pencalonan tersebut. Tiba-tiba sahaja mereka anugerahkan kemenangan itu kepada saya. Saya benar-benar rasa sangat bersyukur, Alhamdulillah,†katanya.
Kejayaan yang dicapai itu membuatkan Anis semakin berkobar-kobar untuk menghasilkan buku resipi masakan baharu.
“Saya memang ada perancangan untuk menulis buku resipi baharu. Ada beberapa tema dalam fikiran, tetapi mungkin dalam masa terdekat saya akan keluarkan buku resipi kegemaran saya yang mudah.â€
Seiring dengan pengalaman dan kematangannya dalam bidang kulinari, Anis berkata orang ramai dan pelbagai pihak sudah sudah meletakkan kepercayaan kepada dirinya biarpun kredibilitinya dipersoalkan hanya kerana dirinya cef wanita.
“Saya rasa kebelakangan ini cabaran seperti itu sudah semakin kurang. Bukan tiada langsung tetapi ia sudah semakin berkurangan. Saya berasakan sepanjang 15 tahun dalam industri ini, orang sudah pun mengenali saya, memahami cara saya bekerja dan menghargai kerja dan kredibiliti saya.
“Tetapi, sudah tentu masih ada lagi segelintir pihak yang akan menyatakan bahawa lebih mudah untuk ‘menjual’ cef lelaki. Saya harap perkara ini akan berubah.
“Alhamdulillah sekarang ini, orang ramai sudah tidak tanyakan kepada saya soalan berkenaan cef mana lagi bagus; cef lelaki atau cef perempuan. Sudah banyak kali saya menjelaskan bahawa soalan sebegitu sudah tidak relevan. Insya-Allah semua ini akan berubah pada masa akan datang,†katanya.
Berkongsi mengenai makanan kegemarannya pula, Anis berkata dia tidak ada makanan kegemaran selain masakan air tangan ibunya.
“Saya tidak boleh namakan satu makanan kegemaran saya. Saya fikir kebanyakan cef pun begitu. Saya ada banyak makanan yang saya suka, tetapi kalau diminta untuk memilih satu, saya tidak boleh. Sudah tentu, masakan kegemaran saya adalah masakan ibu saya. Apa-apa yang ibu masak memang terbaik bagi saya.
“Pun begitu, secara umumnya makanan kegemaran saya berubah, ia sepertinya bermusim. Satu masa saya suka makanan itu sahaja dan mungkin bulan depan saya suka makanan lain pula. Buat masa sekarang ini, saya sedang melalui fasa sukakan makanan Jepun dan Korea. Itu makanan kegemaran saya buat masa ini,†katanya.
Ditanya pula tentang jika kalau diberi peluang untuk menyediakan masakan kepada seseorang, Anis memilih Ratu Elizabeth.
“Saya rasa kalau diberi peluang untuk masak kepada seseorang, saya mahu masak buat Ratu Elizabeth. Ini kerana saya teringin untuk masak dalam dapur Istana Buckingham. Ia akan menjadi satu cabaran sebab saya tahu Ratu Elizabeth tidak gemar makan bawang putih dan itu pula merupakan bahan kegemaran saya dalam masakan.
“Kalau perlu masak, saya mungkin akan masak makanan Melayu yang tidak ada bawang putih. Mungkin saya akan memasak rendang, masak lemak atau asam laksa,†katanya.
Bercakap soal kariernya dengan lebih lanjut, tentu sahaja Anis turut mempunyai perancangan yang besar dalam kerjaya yang diceburi ini.
“Saya berminat untuk menulis buku masakan baharu dan kalau boleh saya idamkan untuk menerbitkan program masakan saya sendiri. Saya rindu sebenarnya untuk memasak dalam rancangan televisyen. Seingat saya, kali terakhir adalah pada tahun lepas. Jadi, saya rindukan momen tersebut. Saya juga rindu untuk berkongsi resipi bersama semua khalayak di Malaysia. Saya harap akan ada lagi banyak rancangan televisyen kelak.
“Saya juga bercadang untuk keluar mengembara dan belajar lebih banyak perkara berkaitan bidang kulinari. Pada masa sekarang, saya ingin belajar masakan tradisional Jepun atau Korea. Dalam masa sama, saya juga berharap saya boleh mengajar orang di luar negara cara-cara masakan Malaysia,†katanya.