Apabila dua wanita yang berkongsi minat sama dalam memasak dipertemukan, sudah pasti topik perbualan mereka akan berkisarkan pelbagai resipi menarik. Anis Nabilah merupakan seorang cef profesional manakala Mama Om ataupun nama sebenarnya, Norrizan Alisa ialah pengusaha bakeri yang memulakan biznes di rumah.
Siapakah lebih handal dalam menyediakan masakan berasaskan bakar seperti kek, pastri, manisan dan makanan savuri? Ayuh, saksikan gelagat mereka dalam program ‘1,2…Bakar!’ musim baharu pada setiap hari Selasa, pukul 11.30 pagi menerusi TV3.
Episod pertama yang disiarkan pada 3 Januari 2017 memaparkan pertemuan semula Mama Om dan Anis Nabilah selepas tamat musim pertama (April 2016). Dua individu yang berbeza umur, berlainan pendapat dan pengalaman ini berkongsi idea tentang hidangan yang bakal disediakan termasuk Lamb Pot Pie, Rolled Oat & Blueberry Muffin dan tart telur. Anis dan Mama Om mempamerkan hidangan siapa yang lebih sedap sekaligus memberi kritikan membina untuk memperbaiki lagi hidangan masing-masing pada setiap episod.
Lebih menarik, Anis dan Mama Om juga dikehendaki menyediakan juadah berdasarkan tema yang berbeza pada setiap minggu. Mereka berdua akan diberikan tugasan istimewa untuk menguji kebolehan mereka di dapur dan menghidangkan masakan bagi memenuhi permintaan khas daripada tetamu undangan.
Saksikan apakah hidangan menarik yang bakal disajikan dengan menggunakan buah tangan yang dibawakan balik dari kampung oleh Anis iaitu buah nenas di episod kedua., Episod ketiga akan menampilkan tetamu undangan iaitu Fazlina Dato’ Ahmad Daud, pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2016 baru –baru ini. Juadah minum petang yang disediakan oleh Anis dan Mama Om merupakan Lemon Meringue Pie, Peanut Butter & Chocolate Cupcake dan English Seafood Pie.
Selain itu, 1.2…Bakar! turut menampilkan beberapa selebriti popular seperti Aleza Shadan, Redza Rosli, Datin Nur Rebecca Islam, Tomok dan Shiha Zikir. Apakah hidangan istimewa yang akan disediakan oleh Anis dan Mama Om berdasarkan tema yang diberikan pada setiap minggu? Tema ‘Say Cheese’ memperkenalkan hidangan berasaskan keju manakala ‘Resipi Warisan’ pula memaparkan hidangan yang menjadi juadah warisan dalam keluarga mereka dan juga perkongsian resipi istimewa untuk memikat suami ataupun isteri tercinta menerusi episod ‘Projek Memikat Suami’ dan ‘Kena Pikat Isteri’.
Seperti biasa, Mama Om akan menerima tempahan untuk jamuan hari jadi dan majlis ‘housewarming’. Dengan bantuan Anis, Mama Om bakal menyediakan juadah daripada bahan-bahan yang digemari oleh kebanyakan kanak-kanak iaitu coklat dan juga daging. Mari kita sama-sama belajar cara untuk membakar hidangan-hidangan yang lazat ini seperti Rolled Meatloaf, Chocolate Mini Pie dan juga Rocky Road Cupcakes.
Jadi, jangan ketinggalan untuk menyaksikan gelagat Anis Nabilah dan Mama Om di dapur menerusi program ‘1,2…Bakar! ’ yang disiarkan pada setiap hari Selasa, pukul 11.30 pagi di TV3. Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook, Twitter, Youtube & Instagram @TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan rancangan ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.