Animasi, Filem dan Muzikal Khas Raikan Hari Pekerja Di TV2
Usah ketinggalan untuk bersantai dan berhibur meraikan Hari Pekerja yang diraikan seluruh negara 1 Mei ini dengan program-program khas yang disediakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang hari menerusi saluran TV2.
Pemilihan program nyata memenuhi citarasa penonton seisi keluarga bermula dengan tayangan animasi Tarzan, jam 10.30 pagi dan diikuti filem Lady Boss, jam 1.30 petang sebelum diakhiri tayangan muzikal khas, Duran Duran : One Night Only, jam 3.30 petang. Kesemuanya disiarkan 1 Mei ini.
Animasi Tarzan arahan Chris Buck dan Kevin Lima meminjam suara Brian Blessed, Glenn Close, Minnie Driver, Tony Goldwyn, Nigel Hawthorne, Lance Henriksen, Wayne Knight, Alex D. Linz dan Jack Angel mengajak penonton menyaksikan kisah mengenai kehidupan Tarzan di hutan. Tarzan adalah seorang anak yatim yang telah dipelihara oleh beruk bernama Kala sejak kecil lagi. Dia percaya Kala adalah keluarganya tetapi segalanya berubah apabila dalam satu ekspedisi dia telah menyelamatkan Jane Porter. Dia kemudian mendapati bahawa dirinya adalah manusia. Ketika itu Tarzan mesti membuat keputusan sama ada meneruskan hidup di hutan atau memulakan kehidupan baru bersama Jane Porter sebagai manusia biasa.
Bertepatan dengan sambutan Hari Pekerja, saksikan filem Lady Boss lakonan Erra Fazira, Saiful Apek, Ning Baizura dan Farid Kamil yang mengisahkan seorang gadis, Sheila yang bersikap ego tanpa mengira masa dan tempat. Dia anak seorang usahawan terkenal, Datuk Yusry. Sheila menguruskan perniagaan bapanya dengan cekap tetapi sering membelakangkan nilai kemanusiaan dan terlalu tegas dalam menjalankan kerjanya.
Kewibawaannya tercabar dengan kehadiran seorang pemuda bernama Saiful kerana lelaki itu peramah, kelakar dan jujur serta bersikap sederhana. Sepanjang bekerja di syarikat itu, Saiful sering menimbulkan kemarahan Sheila. Saiful terpikat pada gadis bernama Salmi. Datuk Yusry yang cukup menyayangi Sheila bagaimanapun tidak dapat menahan sabarnya apabila melihat anak gadisnya itu bersikap biadap terhadap seorang pengawal keselamatan.
Berhibur kemudiannya dengan Muzikal Khas Lagenda Pop Duran Duran yang bakal beraksi dalam persembahan Duran Duran : One Night Only meraikan lebih 30 tahun penglibatan mereka dalam industry muzik.
Temu bual turut dilakukan bersama anggota kumpulan ini iaitu Simon Le Bon, Nick Rhodes, John Taylor dan Roger Taylor yang sebelum ini belum pernah di ketengahkan kepada penonton. Pengacara Daybreak, Christine Bleakley bakal muncul mengacarakan program ini.
Duran Duran akan membuat persembahan di hadapan penonton secara langsung dan menyaksikan kumpulan ini akan memainkan beberapa lagu dari album baru mereka, All You Need Is Now.
Luangkan masa sambutan hari pekerja anda menonton program-program menarik dan menghiburkan hanya di TV2.